Tag: emas

  • Lelaki maut tertimbus tanah ketika gali emas

    Lelaki maut tertimbus tanah ketika gali emas

    SEORANG lelaki maut akibat tertimbus dalam runtuhan tanah ketika melombong emas di Kampung Air Sejuk di Kuala Terengganu, semalam.

    Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Afandi Hussin berkata dalam kejadian sekitar 5 petang itu, Mohd Johari Mohd Asri, 34, berada di kawasan berkenaan bersama ibu dan bapanya untuk menggali emas di dalam lubang sedalam kira-kira tiga meter sebelum berlaku runtuhan tanah menyebabkan mangsa tertimbus.

    “Pada masa kejadian, cuaca mendung dan hujan lebat turun sekejap-sekejap menyebabkan tanah di kawasan tersebut lembut dan menyukarkan operasi pencarian.

    “Dengan bantuan pihak bomba, mayat Mohd Johari ditemukan pada 7 malam dan berjaya dikeluarkan setengah jam kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Afandi berkata usaha mengeluarkan Mohd Johari dilakukan dengan bantuan jentolak kerana tanah liat dan berpasir serta mudah runtuh.

    Beliau berkata mayat dihantar ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

  • Paralimpik Tokyo: Liek Hou sumbang emas kedua negara

    Paralimpik Tokyo: Liek Hou sumbang emas kedua negara

    JUARA dunia enam kali, Cheah Liek Hou menjadi pemenang pingat emas badminton yang pertama Sukan Paralimpik, apabila beliau membenam cabaran seteru utamanya Anrimusthi Dheva dari Indonesia pada perlawanan akhir perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) hari ini.

    Pemain nombor dua dunia itu menewaskan Dheva pemain pilihan pertama Paralimpik 21-17, 21-15 pada hari keempat acara badminton yang berlangsung di Yoyogi National Stadium.

    Pada set pertama, kesilapan yang dilakukan pemain nombor satu dunia itu membolehkan Liek Hou mendahului 5-0, sebelum pemain indonesia itu mengejar hingga ke kedudukan 8-5.

    Namun anak didik tidak mengambil masa lama menewaskan Dheva dalam set pertama yang hanya memakan masa 22 minit.

    Liek Hou, 33, menunjukkan persembahan terbaik dan menguasai perlawanan sejak awal sebelum menamatkan perlawanan dalam tempoh 50 minit.

    Badminton buat pertama kalinya dipertandingkan pada Sukan Paralimpik di Tokyo.

    Kali terakhir Liek Hou menang dalam pertemuan terakhir dengan Dheva ialah semasa aksi final Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Dubai, April lalu yang menyaksikan dia muncul juara.

    Kemenangan Liek Hou sekali gus bermakna kontinjen Malaysia telah pun memungut dua pingat emas setakat ini.

    Pingat emas pertama disumbangkan Bonnie Bunyau Gustin dalam acara powerlifting kategori 72 kilogram (kg), 28 Ogos lalu.

  • Dek Wan gagal pertahan emas Rio 2016

    Dek Wan gagal pertahan emas Rio 2016

    ATLET olahraga para negara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi terlepas peluang untuk mempertahankan emas dimenanginya di Rio 2016 dalam peringkat akhir acara 100 meter (m) lelaki T36 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik hari ini.

    Mohamad Ridzuan yang berlari di lorong kelima menamatkan aksinya di kedudukan keempat dengan catatan masa 12.15 saat (s) dalam saingan yang berlangsung di Stadium Olimpik itu.

    Walaupun memulakan larian dengan baik, Mohamad Ridzuan dilihat tidak berupaya untuk mengekalkan daya pecutannya terutama pada 10 m terakhir lariannya.

    Situasi itu menyebabkan pelari berusia 33 tahun yang lebih dikenali ‘Dek Wan’ itu terpaksa pulang dengan tangan kosong pada penampilan keduanya di pentas Paralimpik.

    Pelari China Deng Peicheng membuat kejutan apabila meraih kejayaan berganda menerusi emas selain memecahkan rekod Paralimpik milik jaguh Australia, James Turner, yang dilakukan pada peringkat saringan kedua semalam iaitu 11.87s, dengan rekod baharu 11.85s dalam saingan sesi pagi olahraga hari ini.

    James terpaksa berpuas hati dengan perak menerusi catatan masa 12.00s manakala gangsa milik Alexis Sebastian Chavez dari Argentina yang melakukan catatan masa 12.02s.

    Sementara itu, kecederaan menghimpit Wong Kar Gee yang bertanding dalam acara lompat jauh lelaki T13 (kecacatan penglihatan) memaksanya menarik diri pada lompatan keempat dalam aksi sulungnya di pentas Paralimpik.

    Atlet berusia 30 tahun itu hanya berjaya melakukan lompatan ketiganya dengan catatan 5.93m selepas percubaan pertama dan keduanya dibatalkan.

    Dalam pada itu, lompatan sejauh 7.36m pada percubaan ketiga oleh Orkhan Aslanov dari Azerbaijan sudah cukup baginya untuk merangkul emas dalam acara berkenaan.

    Ivan Jose Cano Blanco dari Sepanyol pula meraih perak dengan lompatan terbaik 7.04m manakala gangsa dimiliki atlet Amerika Syarikat Isaac Jean-Paul yang melakukan catatan terbaiknya sejauh 6.93m.- BERNAMA