Tag: elektrik

  • Ronald Kiandee desak kerajaan Sabah segera selesai masalah air, elektrik

    Ronald Kiandee desak kerajaan Sabah segera selesai masalah air, elektrik

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee menyifatkan Kerajaan Negeri Sabah sebagai gagal dalam mengurus dan mengambil tindakan sewajarnya sehingga berlaku gangguan bekalan elektrik dan air yang kritikal di negeri itu.

    Justeru Ahli Parlimen Beluran itu mendesak kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor itu segera mengambil tindakan lebih berkesan untuk menangani masalah berkenaan yang semakin kritikal ketika ini sehingga menjejaskan kehidupan penduduk.

    “Jika sebelum ini masalah ini hanya berlaku di kawasan luar bandar, namun kini mula menular ke bandar termasuk ibu negeri Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Malah lebih serius lagi katanya, beberapa hari lalu Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) juga tidak terkecuali daripada mengalami gangguan bekalan air.

    Tegasnya, kegagalan kerajaan negeri menangani gangguan bekalan utiliti penting ini memalukan dan merosakkan imej Sabah sebagai negeri pelaburan dan pelancongan.

    “Kegagalan kerajaan negeri menangani masalah ini mengecewakan dan bertentangan dengan hasrat seperti yang digariskan dalam teras Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu untuk memberi fokus kepada pertumbuhan ekonomi dan mengutamakan pembangunan infrastruktur,” katanya.

    Ujarnya lagi, kerajaan Sabah sepatutnya mempunyai perancangan yang baik untuk mengatasi masalah yang menyebabkan kehidupan tidak selesa penduduk negeri ini.

    “Rakyat Sabah tentu ingin melihat Kerajaan Madani (Persekutuan) dan Kerajaan Sabah Maju Jaya ini lebih prihatin dan mengambil tindakan berkesan untuk menangani masalah gangguan bekalan elektrik dan air yang sedang melanda Sabah ketika ini.

    “Gangguan bekalan elektrik dan air yang kritikal pada masa ini adalah disebabkan oleh kegagalan kerajaan negeri mengurus dan mengambil tindakan yang telah dikenalpasti sejak sekian lama,” katanya, lapor Astro Awani.

  • Pemandu Singapura buat hal lagi, kali ini ‘curi’ elektrik pula

    Pemandu Singapura buat hal lagi, kali ini ‘curi’ elektrik pula

    SEBELUM ini kecoh tentang isu pemandu kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura mengisi minyak petrol RON95 yang disubsidi oleh kerajaan di negara ini, walhal mereka tidak sepatutnya berbuat demikian.

    Kini, timbul pula isu kenderaan elektrik (EV) didakwa dari negara jiran itu mencuri bekalan elektrik yang dijual di stesen Shell Recharge di Tangkak.

    Memetik laporan portal paultan.org, sebuah van yang dijana kuasa elektrik jenis BYD T3 dilihat menggunakan pengecas pantas arus langsung (DC) Shell Recharge di lokasi tersebut.

    Walau bagaimanapun, tidak dinyatakan bila kejadian itu berlaku.

    Untuk makluman, pengguna EV perlu membayar untuk mendapatkan elektrik yang dibekalkan melalui stesen pengecas Shell Recharge.

    Pemandu terbabit dilihat meletakkan van dipandunya secara menyenget kerana terdapat penghadang yang hanya boleh diturunkan setelah pembayaran dibuat melalui aplikasi ParkEasy.

    Namun, pengecas DC boleh digunakan tanpa proses pengesahan sekali gus membolehkan pemandu BYD dengan nombor plat Singapura itu ‘mencuri’ elektrik tanpa membayar walau satu sen pun.

    Bagi pilihan bayar setiap kali guna, caj yang dikenakan adalah yuran pengesahan sebanyak RM4 dan RM20 bagi setiap lima minit dalam 25 minit pertama tempoh mengecas, diikuti RM20 bagi setiap blok lima minit berikutnya.

    Bayaran adalah berdasarkan tempoh kenderaan diletakkan dalam petak parkir, tanpa mengira jumlah kW/jam yang dicas ke dalam EV.

    Paultan.org menasihatkan orang ramai agar jangan melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

    “Sikap buruk daripada pemilik EV (tanpa mengira mereka dari negara mana) akan menyebabkan syarikat-syarikat swasta enggan melabur dalam infrastruktur pengecasan EV di negara ini yang kita perlukan bagi meningkatkan penggunaan EV di Malaysia,” jelasnya.

  • Gudang peralatan elektrik dan elektronik musnah terbakar

    Gudang peralatan elektrik dan elektronik musnah terbakar

    SEBUAH gudang menyimpan peralatan elektrik dan elektronik di Jalan Rozhan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang musnah dalam kebakaran malam tadi.

    Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 9.28 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian beberapa minit kemudian.

    Menurutnya, sebaik sahaja tiba didapati kebakaran itu melibatkan sebuah bangunan dua tingkat berkeluasan kira-kira 2,000 meter persegi.

    “Selain keseluruhan kawasan gudang seluas 836 meter persegi yang musnah sepenuhnya, kebakaran itu turut melibatkan ruang pejabat seluas 836 meter persegi dan tempat memuat barang seluas 334 meter persegi yang masing-masing musnah kira-kira 30 peratus.

    “Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 11.15 malam dan operasi itu ditamatkan sepenuhnya pukul 5.27 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Jurucakap itu menambah, operasi tersebut membabitkan seramai 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam, Bandar Perda, Sungai Bakap dan Jalan Perak.

    Tambahnya, mereka turut dibantu beberapa pasukan bomba sukarela berhampiran.

    “Setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian yang dialami pemilik premis itu masih dalam siasatan dan Unit Pengesan (K9) turut digunakan bagi membantu siasatan,” katanya.