Tag: ejen Mossad

  • Dakwaan ahli ejen Mossad, PKR tak perlu takut – Hamzah

    Dakwaan ahli ejen Mossad, PKR tak perlu takut – Hamzah

    PARTI Keadilan Rakyat (PKR) tidak perlu bimbang atau takut dengan dakwaan bahawa ahli mereka terlibat dalam kegiatan operasi Mossad di negara ini.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan negara, parti itu sama sekali tidak akan dipersalahkan.

    Menurutnya, isu membabitkan kewujudan agensi pengintipan rejim haram Israel itu adalah perkara yang berkaitan keselamatan negara dan parti politik tidak wajar dipersalahkan sekiranya ada kalangan ahli terlibat.

    “Kalau dia jadi ahli PKR pun apa salahnya. Pada saya bukan salah parti sebab parti pun tidak tahu yang orang itu perangai macam mana.

    “Apabila seseorang ahli itu mendaftar, kita hanya lihat kepada IC (MyKad) sahaja, bukan semak satu per satu secara terperinci latar belakang orang itu.

    “Jadi pada PKR, tak payah takutlah, saya tak menyalahkan PKR tentang mereka yang jadi ejen ini. Tak perlu kita politikkan kerana yang penting ada rakyat Malaysia yang bekerjasama dengan Mossad. Itu yang harus kita sama-sama bertanggungjawab dan yang sepatutnya kita maklumkan kepada rakyat,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan Deepavali kepada 300 komuniti India di Kampung Ulu Sepetang dekat Batu Kurau hari ini..

    Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) berkata, buat masa ini, polis tidak boleh mendedahkan sebarang risikan dan strategi yang diguna pakai dalam kes tersebut meskipun terdapat desakan daripada beberapa pemimpin parti politik untuk berbuat demikian.

    Katanya, pendedahan secara umum termasuk kemungkinan tangkapan ejen lain yang terlibat boleh merencatkan dan menyebabkan kegagalan kepada operasi yang dilaksanakan.

    “Polis telah menyelesaikan masalah ini tidak sampai pun 48 jam, jadi apa lagi yang harus kita persoalkan.

    “Seeloknya jangan kita tanyakan isu-isu yang sebenarnya dalam strategi polis. Apabila kita lakukan risikan, kita tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan mereka lari, sebab polis ni kerjanya, kadang-kadang kita tak sedarpun mereka berada di seluruh negara,” katanya.

    Tular di media sosial dakwaan bahawa pasangan suami isteri yang ditahan selepas didakwa mempunyai hubungan dengan Mossad merupakan anggota PKR serta ada kaitan dengan parti.

    Perkara itu bagaimanapun telah dinafikan Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil yang menyatakan dua individu itu bukan anggota mana-mana Cabang PKR dan tiada kaitan dengan parti.

    Sebuah akhbar tempatan sebelum ini melaporkan, ejen perisikan Israel memasuki negara ini dalam usaha mengesan dan menculik dua lelaki Palestin dipercayai merupakan aset Briged Hamas al-Qassam.

    Perkara tersebut terbongkar apabila dua rakyat Malaysia ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes penculikan warga Palestin akhir September lalu.

    Dipercayai mereka yang berusia 30 tahun itu dilatih sebagai penyiasat persendirian di Perancis oleh ejen Mossad sekitar 2018, disyaki menjadi dalang kepada rangkaian perisikan Israel di negara ini.

  • KDN teliti dakwaan ejen Mossad culik warga Palestin di KL

    KDN teliti dakwaan ejen Mossad culik warga Palestin di KL

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti dakwaan kemasukan ejen perisikan Israel, Mossad yang menculik seorang warga Palestin seperti dalam laporan sebuah akhbar tempatan hari ini.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, langkah itu bagi membolehkan tindakan lanjut diambil, jika benar ejen Mossad memasuki Malaysia.

    Katanya, kerajaan sentiasa meneliti dan memantau setiap dokumen kemasukan rakyat asing ke negara ini.

    Beliau berkata, jika terdapat mana-mana rakyat asing yang memasuki negara tanpa dokumen sah, tindakan akan diambil.

    “Sesiapa saja yang masuk ke negara kita, mereka perlu ada dokumen sah. Jadi, bila kita ada maklumat yang mengatakan ada orang masuk menggunakan dokumen tidak sah, kita akan pantau.

    “Akhirnya, kalau kita rasa sudah sampai masa kita tangkap mereka, kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Terdahulu, laporan sebuah akhbar tempatan mendakwa perisik Israel memasuki negara ini dalam usaha mengesan dan menculik dua lelaki Palestin yang mereka percaya merupakan aset Briged Hamas al-Qassam baru-baru ini.

    Menurut laporan itu, tindakan perisik terbabit menyesuaikan taktik supaya tidak meninggalkan kesan penglibatan mereka dan aset tempatan dipercayai direkrut untuk membantu rejim Zionis memburu anggota Hamas di Malaysia.

    Dalam operasi di tengah-tengah Kuala Lumpur, akhbar itu mendakwa, pasukan perisik memintas dua warga Palestin sejurus selepas pukul 10 malam pada 28 September, apabila kedua-duanya mahu memasuki kenderaan diletakkan berhampiran Jalan Yap Kwan Seng, di ibu negara.

    Pada 2018, pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr Fadi Mohammad Al-Batsh yang merupakan warga Palestin ditembak mati individu dipercayai ejen Mossad.