Tag: EIA

  • Projek PSI: Kerajaan sedia dengar keluhan, bantahan nelayan – Anwar

    Projek PSI: Kerajaan sedia dengar keluhan, bantahan nelayan – Anwar

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedia mendengar sebarang keluhan atau bantahan daripada nelayan tempatan berhubung projek Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI).

    “Kalau mereka mahu kemukakan bantahan kita akan dengar dan kerajaan negeri juga akan berikan penjelasan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jaminul Ehsan, Kampung Kubu Gajah di Sungai Buloh di sini, yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

    Perdana Menteri menegaskan projek PSI itu pada masa ini menerima kelulusan bersyarat daripada Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

    “EIA meluluskan pada prinsipnya dengan 71 syarat. Jadi kita telitilah. Saya dah kemukakan beberapa kebimbangan terutama (bagi) pihak nelayan dan penduduk setempat yang berbilang kaum dan biarkan proses ini berjalan,” katanya.

    Sebelum ini Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara) melahirkan rasa kecewa dan mendakwa usaha mereka untuk berjumpa Perdana Menteri bagi membincangkan isu PSI ‘tidak dilayan’.

    Projek penambakan laut secara besar-besaran itu mendapat bantahan nelayan tempatan di situ yang mendakwa bakal terjejas sumber pendapatan dan hasil laut mereka.

    Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengumumkan PSI mendapat kelulusan EIA daripada JAS Putrajaya bertarikh 11 April lepas, dengan 71 syarat yang perlu dipenuhi.

    Chow berkata laporan EIA yang diluluskan itu akan dimuat naik dalam laman sesawang Penang Infrastructure Corporation (PIC) untuk bacaan umum.

    PSI membabitkan pembangunan tiga pulau buatan dengan keluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas. – BERNAMA

  • “Lawan PSI sehingga nafas terakhir’, kata nelayan P.Pinang

    “Lawan PSI sehingga nafas terakhir’, kata nelayan P.Pinang

    BIAR pun mendapat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) baru-baru ini, kira-kira 6,000 nelayan di Pulau Pinang sedaya upaya akan menentang Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) daripada dilaksanakan.

    Menurut Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) Ibrahim Che Ros, mereka berpendirian teguh akan terus menolak projek penambakan besar-besaran itu.

    “Tidak mungkin untuk kami menerima projek itu, mengetahui yang ia akan menjejaskan kehidupan dan mata pencarian kami, kami akan melawan PSI sehingga nafas terakhir kami.

    “Apa yang sudah jadi kepada kebanyakan suara, malah dalam kalangan pemimpin kita sekarang yang sebelum ini menentang projek itu? Kenapa sekarang senyap dan hanya memekakkan telinga?

    “Kami amat kecewa,” katanya, lapor Harian Metro.

    Ketua Menteri Pulau Pinang Chon Kon Yeow sebelum ini mengumumkan bahawa Pulau Pinang akhirnya mendapat kelulusan EIA untuk projek penambakan PSI, dengan 71 syarat yang perlu dipenuhi pada Rabu lalu.

    Beliau berkata, sebarang kerja penambakan hanya akan dimulakan selepas kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) diperoleh dan dijangka lulus pada suku ketiga tahun ini.

    Kumpulan alam sekitar dan nelayan meluahkan rasa kecewa kerana EIA sudah diluluskan.

    Mereka mendakwa bahawa semua kebimbangan yang dibangkitkan selama ini menjadi sia-sia dan mereka menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk membuat keputusan yang telus.

    Mengulas lanjut Ibrahim berkata, mereka akan menghantar surat rayuan kepada JAS untuk mengkaji semula kelulusan yang diberikan EIA untuk PSI.

    Ibrahim turut melahirkan rasa kecewa kerana kedua-dua surat Pen Mutiara untuk pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mendapat sambutan.

    Beliau berkata, Pen Mutiara menulis surat kepada Perdana Menteri pada akhir tahun lalu untuk melakukan mesyuarat projek PSI dan menjemputnya untuk ke majlis berbuka puasa.

    “Kalau tanya saya, kami memang kecewa dengan Perdana Menteri, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Iklim serta Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan kerana gagal mempertahankan hak nelayan.

    “Malah, (Datuk Seri) Anwar pernah datang ke Sungai Batu sebelum ini ketika beliau baru menjadi Presiden PKR, berjumpa dengan nelayan di sana dan berjanji untuk membantu mereka.

    “Beliau adalah Perdana Menteri sekarang, apa yang menghalang beliau?,” katanya lagi.

  • EIA projek tambak laut dibatal, Pulau Pinang fail semakan kehakiman

    EIA projek tambak laut dibatal, Pulau Pinang fail semakan kehakiman

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    KERAJAAN Negeri Pulau Pinang akan mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang membatalkan kelulusan laporan impak alam sekitar (EIA) bagi projek tambak laut perairan selatan (PSR).

    Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri berpandangan keputusan JAS adalah berasaskan kepada ketidakpatuhan proses perancangan semata-mata, bukannya atas hujah-hujah substantif ataupun ‘merits of the case’.

    Tambahnya, keputusan bertulis Lembaga Rayuan menjelaskan laporan EIA didapati tidak memenuhi kehendak Seksyen 34A(4)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSN2030) dianggap belum lagi berkuat kuasa ketika kelulusan EIA diberi.

    Bagaimanapun jelas beliau, kerajaan negeri tidak bersetuju dengan keputusan Lembaga Rayuan itu dan berpendapat segala proses dan tatacara perancangan serta kelulusan-kelulusan yang perlu telah pun dipatuhi.

    “Ini termasuk kelulusan RSN2030 oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) pada 14 Mac 2019 serta pembentangan kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) pada 18 April 2019.

    “Kedua-dua pematuhan ini dianggap memadai bagi kehendak Seksyen 34A(4)(a) yang menetapkan bahawa projek tersebut hendaklah selari dengan ‘development plan or physical plan approved by the relevant approving authority’.

    “Justeru, kelulusan yang diberi oleh Ketua Pengarah JAS pada 15 Jun 2019 tidak bercanggah sama sekali dengan keperluan-keperluan akta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Dalam masa sama, tambah Zairil, kerajaan negeri juga akan memulakan proses mengemukaan semula laporan EIA kepada JAS agar projek yang kritikal bagi pemulihan ekonomi Negeri ini pada zaman pasca Covid-19 dapat diteruskan bagi kemaslahatan rakyat.

  • Kelulusan EIA projek tambak laut perairan selatan Pulau Pinang dibatalkan

    Kelulusan EIA projek tambak laut perairan selatan Pulau Pinang dibatalkan

    KUMPULAN nelayan Pulau Pinang memperoleh kemenangan awal dalam usaha mereka membantah projek tambak laut di perairan selatan negeri itu selepas Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini menolak kelulusan laporan kesan impak alam sekitar (EIA) projek tersebut.

    Keputusan itu dibuat tiga anggota panel berkenaan yang dipengerusikan Hakim Rozina Ayob dan dua pakar alam sekitar, Prof. Datuk Dr. Mazlin Mokhtar dan Prof.  Madya Dr. Ramdzani Abdullah.

    Dalam rumusan kepada keputusan itu, peguam yang mewakili nelayan, R. Meenakshi berkata, Lembaga Rayuan  mengetepikan kelulusan terdahulu yang diberikan Ketua Pengarah JAS kerana ia adalah ultra vires, tidak sah dan batal mengikut Seksyen 34A (4) (a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

    Menurut Meenakshi, keputusan itu adalah sangat penting kerana ia
    bukan sahaja untuk kes PSR tetapi semua kelulusan EIA oleh JAS.

    “Keputusan Lembaga Rayuan ini adalah paling penting untuk memahami bagaimana Ketua Pengarah JAS mesti membuat keputusan yang memastikan projek-projek di mana EIA diperlukan adalah mengikut rancangan struktur atau rancangan tempatan yang berkesan secara undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Pada 29 Julai 2019, seramai 185 nelayan dari Unit Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar yang terjejas secara langsung daripada projek tambak laut itu memfailkan rayuan kepada JAS berhubung kelulusan EIA projek itu yang dibuat pada 25 Jun tahun sama.

    Menerusi projek PSR itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang merancang menambak kawasan laut di Teluk Kumbar dan Permatang Damar Laut melibatkan keluasan kira-kira 1,821 hektar.

    Ia bertujuan membentuk tiga buah pulau buatan yang dinamakan sebagai Pulau A seluas 930 hektar; Pulau B (566 hektar) dan Pulau C (323 hektar) yang dijangka siap dalam tempoh kira-kira 25 tahun.

    Projek tambakan laut itu dicadangkan bertujuan mewujudkan bank tanah untuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang membiayai Rancangan Induk Pengangkutan (PTMP) yang dianggarkan menelan kos keseluruhan lebih RM40 bilion.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang dalam reaksi terhadap keputusan Lembaga Rayuan JAS tersebut memaklumkan, kerajaan negeri akan mempertimbangkan tindakan undang-undang melalui permohonan semakan kehakiman (judicial review). 

    “Kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan tindakan-tindakan lain antaranya kemungkinan mengemukakan laporan EIA yang dikemas kini semula berdasarkan kepada kelulusan pihak berkuasa negeri yang dirujuk dalam keputusan Lembaga Rayuan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.