Tag: edar dadah

  • Penagih tegar dengan 13 rekod jenayah ditahan edar pelbagai jenis dadah

    Penagih tegar dengan 13 rekod jenayah ditahan edar pelbagai jenis dadah

    TIDAK serik mengedar dadah walaupun beberapa kali ditahan polis sejak 2014 dengan kali terakhir ditahan pada 2019 di Batu Gajah, Perak.

    Kali ini, lelaki tempatan berusia 52 tahun yang juga penagih dadah tegar dan mempunyai 13 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah ditahan sekali lagi tempat letak kenderaan sebuah apartment di Air Itam, Georgetown, Pulau Pinang, Isnin lalu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, ketika ditahan dalam operasi kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, suspek berada di atas motosikal serta dipercayai sedang dalam persiapan menjual dadah kepada pelanggan.

    Menurut beliau, pemeriksaan lanjut terhadap suspek menemukan sebanyak 100 keping aluminium foil mengandungi 1,000 biji dadah jenis Eramin 5 seberat 280 gram bernilai RM8,000.

    Menurutnya, susulan penahanan suspek, polis menyerbu sebuah rumah di Jelutong pukul 4 petang hari yang sama dan merampas pelbagai jenis dadah yang disimpan di situ yang keseluruhannya bernilai RM227,914.

    Antara dadah yang dirampas, jelasnya, termasuk 87 paket syabu seberat 4.50 kilogram bernilai RM148,566; sembulan paket heroin seberat 982 gram bernilai RM4,075 dan 85 keping aluminium foil mengandungi 850 biji dadah Erimin 5 seberat 238 gram bernilai RM6,800.

    “Selain itu, polis turut merampas lapan paket ganja dan 37 batang rokok berisi ganja seberat 43.3 gram bernilai RM1,948; 1,400 biji pil ekstasi bernilai RM30,800; 800 biji pil WY seberat 80 gram bernilai RM8,800; 29 paket plastik serbuk MDMA bernilai RM5,800 dan 100 paket ketamin bernilai RM13,125,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Tambah beliau, hasil risikan mendapati suspek aktif mengedar dadah sejak awal tahun ini untuk pasaran tempatan terutama kepada penagih tegar dan pengunjung di kelab-kelab malam.

    Jelasnya, hasil saringan air kencing ke atas suspek juga didapati positif dadah dan direman selama enam hari bermula 4 April hingga 9 April ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Selain itu, kita turut menyita dua buah kenderaan iaitu sebuah motosikal dan kereta jenis Hyundai berjumlah RM37,500 dan wang tunai bernilai RM2,010 dengan nilai keseluruhan rampasan dadah serta sitaan harta berjumlah RM267,424,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily berkata, polis Pulau Pinang telah meluluskan sebanyak 246 permit menjual bunga api di negeri itu sehingga hari ini iaitu masing-masing 61 di daerah Seberang Perai Tengah (SPT); 45 di Timur Laut; 28 di Barat Daya; 12 di Seberang Perai Selatan (SPS) dan 100 di Seberang Perai Utara (SPU).

  • Suami isteri antara tiga didakwa miliki, edar dadah

    Suami isteri antara tiga didakwa miliki, edar dadah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEPASANG suami isteri dan adik lelaki berkenaan dihadapkan di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan iaitu memiliki dan mengedar dadah pada awal bulan ini.

    Tertuduh tersebut S. Avinash Anantha, 33, bersama isteri, K. Elengkeswary, 34 dan adik Avinash iaitu S. Rajiv Anantha, 28.

    Berdasarkan pertuduhan pertama, semua mereka didakwa bersama-sama di rumah beralamat 2, (PTD 213384) Jalan Pulai Perdana 7/3, Taman Sri Pulai Perdana di Johor Bahru pada 10 Januari lalu, mengedar dadah berbahaya jenis cannabis anggaran berat 23,810 gram.

    Ketiga-tiganya didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 39B (1)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1980) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 sebatan.

    Bagi pertuduhan kedua, semua tertuduh didakwa di nombor 2, (PTD 213384) Jalan Pulai Perdana 7/3, Taman Sri Pulai Perdana di sini pada 12.30 tengah malam, 10 Januari lalu, didapati memiliki 171 gram ketamine.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-dua sekali jika disabit kesalahan.

    Kesemua tertuduh mengangguk faham apabila tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret dalam Bahasa Melayu, namun tiada pengakuan direkodkan.

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Shakira Muhammad Syafiq Sim manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datin Freda Josephine Gonzales.

    Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada kesemua tertuduh.

    Majistret R. Salini menetapkan 15 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Suami isteri edar dadah diberkas polis

    Suami isteri edar dadah diberkas polis

    POLIS menahan suami isteri selepas disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah berikutan penemuan pelbagai jenis dadah di pangsapuri sewa mereka di bandar raya ini, Khamis lalu.

    Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan dilakukan pada 5 petang berjaya menahan pasangan warga tempatan berusia 42 dan 36 tahun itu di tempat letak kereta sebuah pasar raya besar di Taman Suria, di Johor Bahru.

    Katanya, polis kemudian pergi ke pangsapuri mereka di Larkin pada 8 malam sebelum merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM214,287.

    “Susulan penahanan suami isteri itu, polis menyerbu sebuah pangsapuri berpagar dan berpengawal sebelum merampas 14.32 kilogram (kg) heroin, 158 gram serbuk ekstasi, 38.23 gram syabu serta 71 gram ketamin dalam kediaman itu.

    Katanya, polis kemudian pergi ke pangsapuri mereka di Larkin pada 8 malam sebelum merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM214,287.

    “Susulan penahanan suami isteri itu, polis menyerbu sebuah pangsapuri berpagar dan berpengawal sebelum merampas 14.32 kilogram (kg) heroin, 158 gram serbuk ekstasi, 38.23 gram syabu serta 71 gram ketamin dalam kediaman itu.

    “Turut disita ialah wang tunai RM530,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Khaw Kok Chin.

    Menurut Kamarul Zaman, pasangan itu dipercayai aktif mengedar dadah sejak Mei lalu dengan menjadi orang tengah antara pembekal dan pembeli.

    “Suspek akan membungkus semula dadah yang diperolehi di kediaman mereka sebelum menjualnya,” katanya.

    Menurutnya, saringan ujian air kencing mendapati mereka negatif bahan terlarang.

    Katanya, semakan mendapati suspek wanita mempunyai rekod lampau berkaitan Akta Kanak-kanak 2001, manakala suspek lelaki mempunyai rekod berkaitan dadah.

    “Kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 8 September ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Lima termasuk dua beradik didakwa edar lebih 100 kilogram dadah

    Lima termasuk dua beradik didakwa edar lebih 100 kilogram dadah

    DUA beradik dan tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tapah hari ini atas pertuduhan mengedar lebih 100 kilogram dadah di sebuah bangsal di Chenderiang di sini bulan lepas.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada dua beradik, R. Sivaraj, 29, dan R. Sathiswaran, 30, serta tiga lagi tertuduh iaitu L. Vichnesh, 30, A. Tanabalan, 31, dan R. Suresraj, 33, yang hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan secara serentak di hadapan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah.

    Kesemua lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya berat kasar iaitu 111,326 gram (g) disyaki methamphetamine dan kesalahan itu dilakukan di sebuah bangsal berkanvas hijau dan oren di Lot 11876 Mukim Chenderiang di sini pada 9.45 pagi, 26 Ogos lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Tanabalan turut didakwa mengedar dadah berat kasar iaitu 2,075g disyaki methamphetamine mengikut Seksyen 39B(1)(a) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, pada masa dan tempat sama.

     Kedua-dua pertuduhan memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup dan hendaklah jika tidak dihukum mati, dihukum dengan minimum 15 sebatan jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Charan Singh.

    Mahkamah kemudian menetapkan 3 Nov depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

    Pada 26 Ogos, polis menahan mereka dalam serbuan melibatkan rampasan bernilai RM6.7 juta di sebuah bangsal di Chenderiang dan dipercayai sudah mula aktif menjalankan aktiviti itu sejak Jun lepas.- BERNAMA

  • Lelaki Singapura dan kekasih didakwa miliki, edar dadah

    Lelaki Singapura dan kekasih didakwa miliki, edar dadah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga Singapura dan teman wanitanya berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, awal bulan ini.

    Pasangan itu, Loh Kok Kiong, 49, dan Soh Yong Xin, 32, berdepan pertuduhan pertama iaitu didakwa bersama-sama mengedar methamphetamine dengan berat kasar 9.625 kilogram di Blok F-21-10, Ataraxia 2, Jalan Forest City 15, Forest City, Gelang Patah, pada pukul 11.15 pagi, 9 Ogos lalu.

    Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan minimun 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Kedua-dua tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Mohd. Zulhilmi Ibrahim.

    Sementara bagi pertuduhan kedua, mereka mengaku tidak bersalah memiliki ketamin seberat 666 gram di lokasi sama, pada waktu dan tarikh yang sama.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, di mahkamah yang sama, Kok Kiong menghadapi empat lagi pertuduhan mengedar, memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badannya pada tarikh yang sama.

    Lelaki warga Singapura itu mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan bagi dua pertuduhan dihadapinya iaitu mengedar 1.505 kilogram methamphetamine dan 139 gram nimetazepam pada jam 1.30 petang di B-21-12, Residensi Lapan, Jalan Sutera Kuning, Taman Sutera di Johor Bahru.

    Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan minimun 15 sebatan.

    Selain itu, dia didakwa memiliki 100 gram ketamin pada jam 11.15 pagi di kawasan letak kereta berhadapan Blok F, apartment sama di Forest City, Gelang Patah.

    Bagi pertuduhan terakhir, lelaki itu mengaku tidak bersalah memasukkan methamphetamine ke dalam dirinya pada jam 10.30 malam di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 boleh dihukum Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan perintah pengawasan selama dua hingga tiga tahun.

    Pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh.

    Mahkamah kemudian menetapkan 20 September depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan patalogi.

  • Kastam patah cubaan edar dadah RM1 juta

    Kastam patah cubaan edar dadah RM1 juta

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia mematahkan cubaan mengedar 28 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM1 juta hasil serbuan di Puchong, Selangor pada 13 Sept lepas. 

    Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, sepasukan anggota Cawangan Narkotik Kastam menahan sebuah kereta Proton Saga di tempat letak kereta berhadapan sebuah hotel yang dinaiki dua lelaki.

    Menurutnya, semasa pemeriksaan itu, pemandu kereta bertindak memecut kereta dan melanggar kenderaan pegawai kastam sebelum kedua-dua mereka keluar melarikan diri apabila tiba di tengah jalan di Jalan Bandar, Puchong.

    “Bagaimanapun, anggota kastam berjaya menahan seorang lelaki warga Indonesia berumur 31 tahun yang bersembunyi di sebuah kedai manakala seorang lagi rakannya melarikan diri.

    “Hasil pemeriksaan ke atas kereta yang ditinggalkan itu menemukan dua beg galas di dalamnya berisi bungkusan teh berwarna hijau mengandungi ketulan mampat bahan kristal jernih dadah jenis methamphetamine dengan kereta berkenaan disyaki hasil curi,” katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik JKDM, Kampung Jijan, di sini hari ini.

    Abdul Latif berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan menyembunyikan dadah di dalam beg yang diletakkan dalam bonet kenderaan selain menggunakan kenderaan curi dengan nombor pendaftaran palsu serta sentiasa menukar kenderaan lain bagi mengelakkan mereka dikesan.

    Beliau berkata siasatan juga mendapati bekalan dadah itu bukan untuk pasaran tempatan tetapi dihantar ke Indonesia melalui jalan laut.

    Susulan kes berkenaan, beliau berkata empat lagi lelaki dalam lingkungan 27 hingga 31 tahun termasuk seorang yang melarikan diri semasa serbuan pertama turut ditahan di lokasi berasingan Isnin lepas.

    “Dua ditahan di Gua Musang, Kelantan, seorang di Klang, Selangor dan seorang lagi ditahan ketika memberi keterangan di Cawangan Narkotik JKDM di sini, hasil saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

    Katanya, suspek pertama warga Indonesia direman 14 hari bermula 14 Sept mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama manakala permohonan reman turut dibuat terhadap empat suspek lain bagi membantu siasatan.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata JKDM merampas sebanyak 16,000 kg dadah jenis amphetamine membabitkan nilai berjumlah RM5.2 bilion, methaphetamine, 624 kg (RM22.5 juta), ketamin 2.6 kg (RM124,160), heroin 3.9 kg (RM337,569) sejak Januari lepas.

    Jelasnya, bagi rekod penahanan pula, sehingga kini 14 orang yang disyaki (OYDS) ditahan dan tujuh orang kena tuduh (OKT) dihadapkan ke mahkamah untuk perbicaraan.- BERNAMA

  • Penjual daging didakwa edar dadah terlepas hukuman gantung

    Penjual daging didakwa edar dadah terlepas hukuman gantung

    SEORANG penjual daging di pasar awam terselamat daripada hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi Georgetown hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 59.7 kilogram (kg) tiga tahun lalu.

    Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Sahul Hamid Mohd, 44, di akhir kes pendakwaan.

    Dalam penghakimannya beliau berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai milikan terhadap dadah itu.

    “Setelah menilai kes pendakwaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh memiliki dadah yang dirampas dan kereta yang mengandungi dadah berkenaan, maka tidak timbul isu pengedaran dadah,” katanya.

    Menurutnya sembilan saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan, namun terdapat percanggahan daripada dua keterangan saksi mengenai tarikh gambar barang rampasan yang diambil sehingga menimbulkan keraguan.

    “Mengikut keterangan saksi juga, tiada cap jari tertuduh yang ditemui dalam kereta mahupun di guni daun kanabis yang dirampas,” katanya.

    Mengikut pertuduhan, Sahul Hamid didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 59,708.4 gram di kawasan parkir kereta Pasa Raya Tesco Extra Sembilang, di Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah pada pukul 3.15 petang, 8 Januari 2018.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan 15 kali sebatan jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari, manakala tertuduh diwakili peguam S. Rethinakumar dan T. Tamilsalvan.

    Sahul Hamid yang berbaju T putih dan seluar jeans kelihatan sebak dan memeluk ahli keluarganya selepas keputusan mahkamah.