Tag: EAIC

  • Abdul Hamid hilang hak komen isu kartel PDRM

    Abdul Hamid hilang hak komen isu kartel PDRM

    BARISAN Pesuruhjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebulat suara mendapati bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah hilang haknya untuk membuat sebarang komen berkenaan isu kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Mereka berkata, dalam rakaman percakapan beliau kepada EAIC, beliau tidak memberikan sebarang bukti yang dapat menyokong dakwaannya bahawa wujud kartel dalam PDRM.

    “Selain itu , beliau tidak menamakan mana-mana pegawai yang terlibat dalam isu kartel ini dan beliau mengakui selaku Ketua Polis Negara tidak pernah membangkitkan mengenai isu kartel ini dalam mana-mana mesyuarat melibatkan Pengarah-Pengarah Jabatan PDRM Bukit Aman,” kata mereka dalam kenyataan media hari ini.

    Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Pengerusi EAIC, Tan Sri Sidek Hassan; Timbalan Pengerusi EAIC, Tan Sri Zainun Ali dan pesuruhjaya-pesuruhjaya EAIC iaitu Tan Sri Mahmood Adam, Tan Sri Aziah Ali, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk John Louis O’ Hara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.

    EAIC merujuk kepada kenyataan Abdul Hamid Bador dilaporkan dalam media yang mengatakan dapatan siasatan EAIC mengenai isu kewujudan kartel dalam PDRM adalah “cetek dan tidak betul”.

    Justeru, barisan Pesuruhjaya EAIC mendapati bahawa:

    (a) beliau selaku Ketua Polis Negara tidak mengambil tindakan sewajarnya, walaupun mengetahui berkenaan dengan isu kartel ini sejak tahun 2020 yang mana beliau mempunyai masa dan kuasa untuk menangani isu ini sebelum mendedahkannya kepada media;

    (b) beliau selaku Ketua Polis Negara sepatutnya mengarahkan pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman untuk menjalankan siasatan secara terperinci dan tindakan sewajarnya perlu diambil terlebih dahulu sebelum isu kartel ini didedahkan kepada pihak media;

    (c) sebaliknya beliau tidak memberikan keterangan kepada pihak JIPS Bukit Aman supaya isu kartel ini dapat disiasat dan diselesaikan; dan

    (d) beliau selaku Ketua Polis Negara tidak pernah membangkitkan isu kartel ini dalam Mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

    Mereka menambah, terdapat saksi dalam siasatan EAIC yang menyatakan bahawa kenyataan mengenai kewujudan kartel yang dibuat oleh Abdul Hamid pada saat akhir sebelum kontrak beliau sebagai Ketua Polis Negara tamat pada Mei 2021 menimbulkan persoalan mengenai motif dan tujuan pendedahan tersebut.

    “Selain itu, EAIC ingin menegaskan bahawa Tan Sri Abdul Hamid Bador enggan untuk dirakam percakapan lanjut bagi mendapatkan penjelasan berkenaan dengan isu-isu ini,” jelas mereka.

  • Dakwaan wujud kartel PDRM tidak dapat ditentusahkan – EAIC

    Dakwaan wujud kartel PDRM tidak dapat ditentusahkan – EAIC

    DAKWAAN wujud ‘kartel’ dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagaimana didakwa bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador tidak dapat ditentusahkan, menurut Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

    Pengerusi EAIC ,Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, keputusan itu adalah dapatan siasatan badan itu berdasarkan kepada keterangan saksi-saksi beserta dokumen yang diperoleh.

    “Dapatan siasatan dan keputusan EAIC itu telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN),” katanya sambil memberitahu siasatan berhubung dakwaan itu telah selesai.

    Beliau berkata, siasatan EAIC mendapati wujud asas bahawa terdapat pegawai PDRM terlibat kegiatan sindiket jenayah dan siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta PDRM terhadap pegawai-pegawai terbabit.

    “Bagaimanapun, dakwaan Abdul Hamid bahawa pegawai-pegawai terlibat dapat mencaturkan perjawatan dalam PDRM untuk menguasai pasukan demi kepentingan peribadi tidak dapat ditentusahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, berdasarkan keterangan diperoleh EAIC menunjukkan mekanisme pelantikan, kenaikan pangkat selain pertukaran diamalkan oleh PDRM dan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) melibatkan proses yang teliti serta mempunyai beberapa peringkat lapisan yang sukar ditembusi selain dicampur tangan oleh pihak luar.

    Selain itu, Sidek berkata, Ketua Polis Negara merupakan ahli tetap dalam SPP dan sebarang cadangan berhubung pelantikan, kenaikan pangkat dan pertukaran pegawai kanan PDRM perlu mendapat persetujuannya.

    “Kedudukan Abdul Hamid selaku Ketua Polis Negara juga tidak dapat digugat kerana pelatikan itu adalah berdasarkan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dan atas nasihat Perdana Menteri,” katanya.

    Pada 18 Mac dan 22 Mac tahun lepas, Abdul Hamid membuat pendedahan mengenai wujudnya gerakan sekumpulan pegawai PDRM yng ingin menjatuhkan beliau serta bersekongkol dengan pihak luar sehingga mewujudkan kartel untuk mendominasi PDRM demi kepentingan mereka. – BERNAMA