Tag: Dzulkhairi Mukhtar

  • Pemandu Perodua Viva lawan arus ditahan

    Pemandu Perodua Viva lawan arus ditahan

    POLIS menahan seorang pemandu kereta Perodua Viva yang dipercayai memandu secara melawan arus di bulatan Medini dekat Iskandar Puteri Isnin lepas.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata lelaki berumur 34 itu ditahan pada 5 petang semalam di Balai Polis Trafik Gelang Patah selepas diminta hadir memberi keterangan.

    Beliau berkata hasil risikan yang dijalankan mendapati individu terbabit membawa kereta milik sepupunya pada hari kejadian.

    “Pemilik kereta itu diminta hadir ke balai polis trafik dan memberitahu bahawa sepupunya membawa kenderaan miliknya ketika kejadian, individu (pemandu) terbabit kemudian diminta hadir untuk diambil keterangan dan memberikan alasan bahawa keliru dengan jalan bulatan tersebut.

    “Individu tersebut juga mengaku memandu secara menyonsang arus yang boleh mendatangkan bahaya kepada dirinya serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Dzulkhairi bagaimanapun berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati individu terbabit negatif dadah.

    Katanya, pihak polis turut mengeluarkan saman kepada pemilik kenderaan itu atas kesalahan membenarkan individu memandu tanpa lesen dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Terdahulu, video berdurasi 17 saat tular dalam media sosial yang memaparkan sebuah Perodua Viva berwarna perak dipandu melawan arus dan dipercayai video itu dirakam pengguna lebuh raya lain sebelum ia dimuat naik dalam Facebook.- BERNAMA

  • Penjawat awam, remaja bawah umur antara 13 ditahan leka berparti

    Penjawat awam, remaja bawah umur antara 13 ditahan leka berparti

    RAHIMI MOHAMAD

    KESERONOKAN seorang penjawat awam lelaki dan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang sedang berparti bersama 11 individu lain terbantut apabila kegiatan mereka dihidu polis.

    Dalam serbuan pada pukul 4 pagi semalam di sebuah unit Pangsapuri Medini, dekat Iskandar Puteri Johor itu, kesemua 10 lelaki dan tiga wanita yang ditahan berusia 17 hingga 27 tahun.

    Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berdasarkan risikan, ‘private party’ itu bermula kira-kira pukul 9 malam, Sabtu lalu hingga lewat pagi keesokkan harinya.

    “Penganjur parti liar itu menghantar jemputan kepada individu berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp dan tidak mengenakan sebarang bayaran terhadap mereka.

    “Hasil ujian saringan air kencing ke atas kesemua suspek mendapati sembilan lelaki dan dua perempuan positif dadah jenis methamphetamine.

    “Bagaimanapun tiada dadah ditemukan di pangsapuri tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Namun, hasil semakan mendapati dua daripada kesemua suspek yang ditahan mempunyai rekod orang dikehendaki bagi kesalahan berkaitan dadah.

    Dzulkhairi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain telah melakukan kesalahan dengan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah set pembesar suara dan alat pemancar cahaya yang dipercayai digunakan untuk parti terbabit.