Tag: duta

  • Rancang bakar al-Quran: Turkiye panggil duta Sweden

    Rancang bakar al-Quran: Turkiye panggil duta Sweden

    TURKIYE pada Jumaat memanggil duta Sweden ke Ankara susulan rancangan untuk membakar al-Quran berhampiran Kedutaan Turki di Stockholm.

    Menurut sumber diplomatik Turki, duta itu Staffan Herrstrom telah dimaklumkan mengenai pendirian Turkiye yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan provokatif itu yang jelas satu perbuatan jenayah kebencian dan tindakan itu juga tidak boleh diterima. Ankara berharap rancangan berkenaan tidak diteruskan.

    Membenarkan aktiviti propaganda yang sedang dirancang oleh pihak bersekutu PKK di Stockholm jelas sudah melanggar perjanjian tiga pihak, lapor Agensi Anadolu memetik sumber.

    Ketua parti sayap kanan Denmark Stram Kurs, Rasmus Paludan dikatakan sudah menerima kebenaran untuk membakar Al-Quran di luar Kedutaan Turki di Stockholm, menurut polis Stockholm.

    Minggu lalu, Turkiye meminta Sweden mengenakan tindakan terhadap kumpulan pengganas selepas tunjuk perasaan di Stockholm yang menyaksikan penunjuk perasaan memuat naik rakaman provokasi serta ancaman sebagai bantahan terhadap Turkiye dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

    Sweden dan Finland secara rasmi memohon untuk menyertai NATO Mei lalu.

    Bagaimanapun, Turkiye yang juga ahli NATO selama lebih 70 tahun menyuarakan bantahan dan mendakwa kedua-dua negara menyokong kumpulan pengganas termasuk PKK dan Pertubuhan Fetullah (FETO).

    Pada Jun lalu, Turkiye dan kedua-dua negara Nordic itu menandatangani memorandum pada sidang kemuncak NATO untuk menangani kebimbangan keselamatan Ankara, merintis jalan bagi menjadi ahli dalam perikatan itu. – BERNAMA

  • Tuduh blogger kurang cerdik, Nazri jawab isu tolak jawatan duta

    Tuduh blogger kurang cerdik, Nazri jawab isu tolak jawatan duta

    AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mendedahkan, beliau pernah ditawarkan jawatan duta ke Switzerland pada 2019, tetapi menolaknya.

    Memetik laporan FMT, beliau menolak tawaran itu kerana perlu meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen mengikut syarat negara Eropah.

    Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata demikian selepas seorang blogger, Hussein Hamid mendakwa Geneva menolak pelantikannya sebagai duta sekali gus mengaitkannya dengan siasatan pihak berkuasa Switzerland ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Beliau turut mendakwa Wisma Putra tidak cenderung kepada ahli politik dan invididu bukan pegawai diplomatik dilantik sebagai duta.

    Nazri menafikan dakwaan itu dengan menyifatkan blogger itu kurang cerdik kerana syarat untuk Ahli Parlimen menjadi duta adalah mereka perlu mengosongkan kerusi mereka.

    “Di Eropah, Ahli Parlimen tidak boleh menjadi duta. Saya tidak mahu letak jawatan sebagai Ahli Parlimen, penggal saya tamat dalam tempoh setahun setengah. Saya perlu tunggu sehingga penggal saya tamat.”

    Bagaimanapun Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, semua orang mempunyai hak untuk bercakap apa yang mereka mahu.

    “Saya tidak kisah apa orang cakap. Orang paling penting ialah pengundi saya.

    “Blogger-blogger ini bodoh. Mereka fikir mereka tahu semua, sedangkan mereka tidak tahu. Ia okey jika anda tak suka saya dan membuat komen. Lebih baik bertanding lawan saya di pilihan raya.

    “Tetapi saya tidak akan bertanding lagi (pada pilihan raya akan datang),” katanya.