Tag: dunia

  • China salur 1.2 bilion dos vaksin kepada dunia

    China salur 1.2 bilion dos vaksin kepada dunia

    CHINA sudah menyalurkan 1.2 bilion dos vaksin COVID-19 serta vaksin berbentuk cecair kepada lebih 100 negara dan pertubuhan antarabangsa, menurut Kementerian Luar.

    Jurucakapnya, Zhao Lijian berkata setakat ini, China telah menggerakkan bantuan peralatan perubatan kepada 150 negara dan 14 organisasi antarabangsa.

    Beliau berkata demikian dalam satu sidang media berhubung penglibatan China dalam usaha memerangi pandemik di peringkat dunia, di sini, pada Khamis.

    Terdahulu, Presiden Xi Jinping semasa sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), mengulangi komitmen dan iltizam China untuk memastikan vaksin COVID-19 dimanfaatkan untuk kebaikan global.

    Seperti diumumkan beliau, China komited untuk membekalkan dua bilion dos kepada dunia sepanjang tahun ini.

    Selain menyumbangkan US$100 juta (RM418 juta) kepada Pelan Peruntukan Vaksin COVID-19 (COVAX), negara Tembok Besar itu berjanji akan berkongsi 100 juta dos lagi kepada negara-negara membangun tahun ini.

    “Kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan kesaksamaan dalam akses dan kemampuan memiliki vaksin di negara membangun,” kata Zhao.

    Beliau turut merayu kepada pihak-pihak lain supaya terlibat dalam membantu negara membangun menerusi pendekatan praktikal.- BERNAMA

  • Kes positif Covid-19 global 221.3 juta, kematian 4.57 juta

    Kes positif Covid-19 global 221.3 juta, kematian 4.57 juta

    KUMULATIF kes positif Covid-19 di seluruh dunia pada masa ini melebihi angka 221.3 juta setelah lebih 400,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lalu.

    Menurut data terkini Johns Hopkins University, Amerika Syarikat (AS) merupakan negara paling terjejas teruk dengan 39.9 juta kes diikuti India (32.9 juta kes) dan Brazil (20.8 juta kes).

    United Kingdom, Perancis, Rusia dan Turki merupakan negara yang merekodkan lebih 6 juta kes manakala Argentina dengan 5 juta kes diikuti Colombia dan Sepanyol masing-masing melebihi 4 juta kes.

    Selain itu, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes Covid-19 di Asia Tenggara dengan lebih 4.1 juta kes diikuti Filipina (lebih 2 juta kes), Malaysia (1.8 juta kes) dan Thailand (1.2 juta kes).

    Dalam perkembangan berkaitan, angka kematian akibat Covid-19 seluruh dunia kini melebihi 4.57 juta kes.

    Mengikut data dikeluarkan Johns Hopkins University, AS merupakan negara mencatatkan kadar kematian tertinggi dengan lebih 648,000 kes.

    Brazil di tempat kedua dengan lebih 582,000 kes, India (440,000 kes), Mexico (lebih 262,000 kes), United Kingdom (lebih 133,000 kematian).

    Rusia, Itali dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian manakala Jerman lebih 92,000 kes dan Sepanyol 84,000 kematian.

    Sementara itu, Indonesia mendominasi angka kematian di Asia Tenggara dengan lebih 135,000 kes kematian diikuti Filipina (lebih 34,000), Malaysia (18,000 kes) dan Thailand (lebih 12,000 kematian).

  • Usah jadikan isu, pembinaan velodrom di Dungun bukan untuk kejohanan bertaraf dunia

    Usah jadikan isu, pembinaan velodrom di Dungun bukan untuk kejohanan bertaraf dunia

    Mohd Lazim Endut

    PROJEK pembinaan velodrom berbasikal di Dungun yang dilaksanakan sejak tahun 2009 bukan bertujuan untuk penganjuran kejohanan bertaraf dunia.

    Wan Sukairi Wan Abdullah

    Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan kerajaan negeri (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia hanya ditumpukan kepada aspek pembangunan sukan berbasikal negeri.

    Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam meminta tiada pihak cuba menangguk di air keruh dengan menjadikan ia sebagai isu.

    Menurut Wan Sukairi, pembinaan velodrom tersebut tidak sepatutnya dijadikan isu walaupun ia tidak memenuhi spesifikasi Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi penganjuran kejohanan bertaraf dunia.

    Beliau berkata, ini kerana tujuan asal velodrom berharga RM11.8 juta itu dibina adalah untuk dijadikan sebagai pusat latihan dan pembangunan sukan berbasikal negeri berikutan Terengganu adalah ‘lubuk’ pelumba basikal negara.

    “Kita berharap isu mengenai velodrom ini dibina tidak memenuhi spesifikasi UCI bagi kejohanan bertaraf dunia tidak sepatutnya dibangkitkan apatah lagi projek di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada tahun 2009 itu hanya membabitkan kos RM11.8 juta dan tidak menepati ciri-ciri velodrom bertaraf antarabangsa.

    “Sebelum Projek itu dimulakan, kerajaan negeri ada memohon agar ia dibina di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak mengikut spesifikasi UCI dengan kos lebih tinggi sebagaimana di Nilai, namun tidak diluluskan,” ujarnya.

    Justeru kata Wan Sukairi, hakikat itu perlu diterima dan bukannya menimbulkan pelbagai isu kurang sihat.

    Menurut beliau, isu seperti itu perlu dihentikan kerana ia
    boleh mencetuskan suasana tidak harmoni apatah lagi Datuk Azizulhasni Awang sudah melakukan pengorbanan tinggi dengan membawa pulang pingat perak dalam acara keirin pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo pada 8 Ogos lalu.

    Mengenai nama velodrom yang dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2022, Wan Sukairi memberitahu, sehingga ini kerajaan negeri belum membuat keputusan memandangkan ia masih belum siap sepenuhnya.

    “Kita belum membuat keputusan kerana ia belum siap sepenuhnya, kita memang bercadang untuk namakan velodrom Azizulhasni Awang.

    “Marilah sama-sama kita berdoa agar ia menjadi kenyataan.

    “Sehingga ini kerja-kerja pembinaan telah siap 90 peratus dan dijangka boleh beroperasi awal tahun 2023,” jelas beliau.