Tag: Dungun

  • Dipercayai bunuh isteri dengan tukul besi, suspek direman 7 hari

    Dipercayai bunuh isteri dengan tukul besi, suspek direman 7 hari

    LELAKI yang disyaki membunuh isterinya menggunakan tukul besi di rumah mereka di Kampung Besol, Bukit Besi di Dungun, pagi semalam direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

    Suspek berusia 32 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Dungun kira-kira pukul 8.40 pagi tadi dan perintah tahanan reman ke atasnya dikeluarkan oleh Majistret Noradila Ab Latif.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata polis mendapat perintah reman terhadap suspek sehingga Rabu depan.

    “Suspek yang bekerja sebagai buruh binaan ditahan oleh anggota polis semalam sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu,” katanya.

    Dalam kejadian itu, suspek dipercayai bertindak membunuh isterinya, Rubiah Sabtu, 41, dengan memukul di bahagian muka dan kepala dipercayai menggunakan tukul besi.

    Kejadian kira-kira pukul pagi itu berlaku selepas mangsa pulang ke rumah sebaik selesai menghantar seorang anaknya di sebuah sekolah berhampiran.

    Suspek dipercayai bertindak demikian disebabkan berlaku perselisihan faham di antara mereka.

    Terdapat enam kesan kecederaan akibat hentakan kuat dipercayai menjadi punca kematian Rubiah dengan pemeriksaan fizikal ke atas mangsa menemukan dua kesan hentakan pada bahagian mata kanan serta di bahagian dahi, hidung, mulut dan telinga kanan mangsa.

  • 5,000 penduduk terputus hubungan jalan runtuh

    5,000 penduduk terputus hubungan jalan runtuh


    KIRA-kira 5,000 penduduk di beberapa kampung di daerah Dungun terputus hubungan apabila laluan Jerangau-Jabur di Kilometer 73, dekat Bukit Besi, Terengganu runtuh berikutan kejadian banjir besar Selasa lalu.

    Menurut penduduk, Shamsul Azmi Ghazali, 32,  laluan itu menjadi nadi perhubungan penduduk ke Kuala Dungun, Bukit Besi hingga ke Kemaman.

    Katanya, runtuhan itu mengakibatkan sebahagian struktur jalan berlubang hampir dua meter, sekali gus ditutup kepada semua kenderaan.

    “Memang bahaya dan wajar ditutup kerana kita bimbang jalan itu akan runtuh sepenuhnya dan boleh mengancam keselamatan nyawa pengguna.

    “Kejadian itu menyebabkan penduduk Pasir Raja, Kuala Jengai, Tepoh, Minda, Talong, Dendang, Paya Lawas dan Jerangau terpaksa menggunakan jalan Kampung Wa dan Kampung Besul untuk ke Bandar Dungun dan Kemaman,” katanya, lapor Berita Harian.

    Shamsul Azmi berkata, kejadian itu mendatangkan kesulitan kepada penduduk untuk melakukan urusan penting kerana terpaksa menggunakan laluan lain yang jaraknya sangat jauh.

    Bagi Zukria Yaakub, 45, dia kesal kerana masih ada pengguna jalan yang sanggup mengambil risiko melalui jalan itu.

    “Ada yang sanggup mengalih batu penghadang yang diletakkan pihak berkuasa. Mereka ini tidak tahu tanah di bawah jalan itu sudah terhakis teruk dan boleh menyebabkan kenderaan mereka terhumban.

    “Penduduk sangat berharap pihak berwajib segera membaiki jalan itu,” katanya.

    Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

    “Kerja-kerja pembaikan jalan akan segera dilakukan dan berharap penduduk bersabar,” katanya.

  • KASA arah semua jabatan, agensi siap sedia hadapi banjir

    KASA arah semua jabatan, agensi siap sedia hadapi banjir

    KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) mengarahkan semua jabatan dan agensi di bawahnya melakukan persiapan sebaik mungkin bagi menghadapi banjir yang diramal berlaku berikutan musim Monsun Timur Laut tidak lama lagi.

    Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata antara yang sedang dilakukan adalah pemasangan pam air, penyelenggaraan pintu air dan kerja-kerja mendalamkan kawasan takungan air di lokasi berisiko banjir oleh Jabatan Pengairan dan Saliran. 

    “Kami (KASA) pantau supaya semua aset dapat digunakan pada waktu banjir nanti. Terdapat ratusan kawasan ‘hotspot’ banjir dikenal pasti di seluruh negara. Ada kawasan kami pasang pam air bergerak, ada yang kami pasang pam air kekal dan selenggara pintu air sebelum menghadapi musim tengkujuh ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun di Dewan Sivik Bijangga di sini hari ini.

    Sementara itu, menurut Tuan Ibrahim kementerian juga sedang membina kira-kira 50 empangan sabo secara berperingkat di kawasan berisiko kepala air di seluruh negara.

    Katanya empangan tersebut yang berfungsi sebagai penahan puing termasuk bongkah batuan dan kayu serta melambatkan aliran air, akan dapat mengurangkan impak tragedi kepala air.

    Terdahulu, beliau berkata Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun yang dilancarkan hari ini akan bermula pada 26 Sept ini dan dijangka siap 25 Mac 2027.

    Menurutnya projek bernilai RM242.97 juta itu, merangkumi kerja-kerja pengorekan alur pelayaran, serta pembinaan struktur pemecah ombak, struktur dinding penahan lapis lindung pantai dan ‘groin’ iaitu struktur hidraulik yang dibina secara berserenjang bagi mengurangkan kesan pukulan ombak pada pantai, selain pembinaan lampu tanda arah suar.

    Katanya objektif utama projek ini adalah bagi mengatasi kejadian mendapan di muara sungai berkenaan yang tidak selamat untuk navigasi bot nelayan dan bot pelancongan ke Pulau Tenggol.

    “Keadaan menjadi bertambah buruk semasa musim Monsun Timur Laut apabila angin kencang dan gelombang kuat menyebabkan kerosakan bot dan risiko kehilangan nyawa, selain pemendapan itu turut mengurangkan keupayaan sungai mengalirkan air ke laut dan mengakibatkan banjir.

    “Saya berharap projek ini dapat membantu 500 buah bot berdaftar di muara Sungai Dungun menjalankan aktiviti perikanan dan pelancongan dengan selamat serta bebas daripada masalah kerosakan bot, seterusnya menjana ekonomi tempatan. Risiko banjir pantai juga akan dapat dikurangkan melibatkan hampir 5,000 penduduk tempatan,” katanya.- BERNAMA

  • Usah jadikan isu, pembinaan velodrom di Dungun bukan untuk kejohanan bertaraf dunia

    Usah jadikan isu, pembinaan velodrom di Dungun bukan untuk kejohanan bertaraf dunia

    Mohd Lazim Endut

    PROJEK pembinaan velodrom berbasikal di Dungun yang dilaksanakan sejak tahun 2009 bukan bertujuan untuk penganjuran kejohanan bertaraf dunia.

    Wan Sukairi Wan Abdullah

    Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan kerajaan negeri (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia hanya ditumpukan kepada aspek pembangunan sukan berbasikal negeri.

    Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam meminta tiada pihak cuba menangguk di air keruh dengan menjadikan ia sebagai isu.

    Menurut Wan Sukairi, pembinaan velodrom tersebut tidak sepatutnya dijadikan isu walaupun ia tidak memenuhi spesifikasi Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi penganjuran kejohanan bertaraf dunia.

    Beliau berkata, ini kerana tujuan asal velodrom berharga RM11.8 juta itu dibina adalah untuk dijadikan sebagai pusat latihan dan pembangunan sukan berbasikal negeri berikutan Terengganu adalah ‘lubuk’ pelumba basikal negara.

    “Kita berharap isu mengenai velodrom ini dibina tidak memenuhi spesifikasi UCI bagi kejohanan bertaraf dunia tidak sepatutnya dibangkitkan apatah lagi projek di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada tahun 2009 itu hanya membabitkan kos RM11.8 juta dan tidak menepati ciri-ciri velodrom bertaraf antarabangsa.

    “Sebelum Projek itu dimulakan, kerajaan negeri ada memohon agar ia dibina di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak mengikut spesifikasi UCI dengan kos lebih tinggi sebagaimana di Nilai, namun tidak diluluskan,” ujarnya.

    Justeru kata Wan Sukairi, hakikat itu perlu diterima dan bukannya menimbulkan pelbagai isu kurang sihat.

    Menurut beliau, isu seperti itu perlu dihentikan kerana ia
    boleh mencetuskan suasana tidak harmoni apatah lagi Datuk Azizulhasni Awang sudah melakukan pengorbanan tinggi dengan membawa pulang pingat perak dalam acara keirin pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo pada 8 Ogos lalu.

    Mengenai nama velodrom yang dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2022, Wan Sukairi memberitahu, sehingga ini kerajaan negeri belum membuat keputusan memandangkan ia masih belum siap sepenuhnya.

    “Kita belum membuat keputusan kerana ia belum siap sepenuhnya, kita memang bercadang untuk namakan velodrom Azizulhasni Awang.

    “Marilah sama-sama kita berdoa agar ia menjadi kenyataan.

    “Sehingga ini kerja-kerja pembinaan telah siap 90 peratus dan dijangka boleh beroperasi awal tahun 2023,” jelas beliau.