Tag: DUN

  • Covid-19: Sultan Kelantan zahir dukacita pihak sebar berita negatif

    Covid-19: Sultan Kelantan zahir dukacita pihak sebar berita negatif

    SULTAN Kelantan Sultan Muhammad V hari ini menzahirkan rasa dukacita terhadap mereka yang menyebarkan berita negatif di platform media sosial sehingga membantutkan usaha kerajaan mengawal penularan wabak COVID-19.

    Sultan Muhammad V bertitah pada pengamatan baginda, pemberian suntikan vaksin adalah kaedah yang tepat dengan masa untuk langkah pencegahan bagi melindungi masyarakat daripada COVID-19 yang terus mengancam kehidupan.

    “Hentikanlah gerakan yang boleh mendatangkan banyak konflik, yang boleh menambahkan kesulitan dan kesusahan kehidupan.  

    “Apa juga polemik dan konflik yang tercetus akan menjejaskan penumpuan kepada penyelesaian masalah pandemik dan perkembangan ekonomi, sosial, keagamaan dan lain-lain dalam masyarakat,” titah baginda.

    Sultan Muhammad V bertitah demikian dalam Titah Ucapan Diraja yang dibacakan oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14, di sini hari ini.

    Sultan Muhammad V bertitah sebagai langkah segera, kerajaan Kelantan telah membelanjakan sebanyak RM33.52 juta pada 2020 dan RM18.77 juta pada 2021 bagi membantu rakyat yang terjejas akibat penutupan aktiviti ekonomi sepanjang tempoh pandemik COVDI-19.

    “Ini, adalah tindakan yang tepat seperti sumbangan Pakej Rangsangan Ekonomi, Bantuan Keperluan Asas Setiap DUN, Inisiatif Tunai Penjaja dan Peniaga Kecil, Bantuan Usahawan Kelantan dan pelbagai lagi inisiatif yang telah memberikan manfaat secara terus kepada rakyat,” titah baginda.

    Sultan Muhammad V turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan dalam memberi perkhidmatan terbaik bagi memastikan wabak COVID-19 di negeri ini sentiasa dalam keadaan terkawal.

    “Terima kasih juga kepada semua jabatan dan agensi negeri dan persekutuan serta badan bukan kerajaan yang menyalurkan bantuan bagi meringankan beban rakyat yang sememangnya terkesan dengan pandemik COVID-19,” titah baginda.

    Persidangan DUN Kelantan ditangguhkan dan bersambung pada 9 pagi esok. – BERNAMA

  • Keabsahan kerajaan PN Johor bakal ditentukan pada sidang DUN Khamis depan – MB

    Keabsahan kerajaan PN Johor bakal ditentukan pada sidang DUN Khamis depan – MB

    Oleh:Bernama

    KEABSAHAN Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Johor hanya akan ditentukan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan pada Khamis hadapan, kata Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.

    Beliau menyifatkan persidangan DUN yang dijadualkan pada 12 Ogos ini, sebagai platform yang sesuai untuk membincangkan sebarang perkara berbangkit dengan kehadiran 56 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

    “Macam kenyataan saya terdahulu, kita akan terus menjunjung demokrasi di Johor ini tetapi kita juga tahu bahawa Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan undang-undang di negeri ini, adalah menjadi asas kepada sebarang keputusan dan tindak tanduk kita.

    Jadi melihat kepada perkembangan, Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan menentukan keabsahan beliau di Parlimen seperti mana yang dititahkan dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

    Ahli-ahli Parlimen sudah diberi mandat untuk membuat keputusan, jadi saya tidak mahu menyentuh tentang pendirian Ahli-ahli Parlimen dan sebagainya tetapi sebagai ketua kerajaan (negeri), saya merasakan bahawa perkara-perkara yang dibangkitkan ini, boleh kita bincangkan di Dewan Negeri bila kita bersidang untuk menentukan juga keabsahan kerajaan negeri dengan keputusan yang dibuat,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat program vaksinasi swasta di KPJ Abdul Samad, di sini, hari ini.

    Justeru, Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, berkata tiada keperluan bagi UMNO Johor ataupun Barisan Nasional Johor untuk membuat sebarang keputusan buat masa ini berhubung isu-isu berbangkit termasuk sokongan ke atas Perdana Menteri.

    “Di situlah (sidang DUN) saya rasa platform yang sesuai untuk kita mengambil satu keputusan berkaitan dengan isu-isu berbangkit…jadi perkara yang disebutkan (kenyataan Bersatu Johor) kalau ia bersifat politik, buat masa ini, tidak ada keperluan untuk UMNO negeri ataupun BN Johor membuat sebarang keputusan.

    Tentang kedudukan sokongan terhadap PM ke apa ke, itu semua akan kita akan (jelaskan) pada persidangan DUN nanti. Saya sendiri akan membuat pendirian terhadap perkara yang berbangkit itu,” kata Hasni, yang juga ADUN Benut itu.
    Setakat ini, Hasni mengesahkan kehadiran Muhyiddin, yang juga ADUN Gambir itu, ke sidang DUN.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Bersatu Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal semalam yang mahukan UMNO Johor membuat pendirian mengenai isu sokongan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan PN.

    Johor kini dipimpin PN Johor dengan majoriti tipis 29 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.
    Kerajaan negeri diterajui UMNO Johor dengan 14 kerusi, Bersatu dengan 12 kerusi, MIC dua dan Pas satu kerusi manakala pembangkang dibarisi DAP dengan 14 kerusi, Parti Amanah Negara (sembilan) dan PKR empat kerusi.- BERNAMA