Tag: DUN Tioman

  • “Menang tak megah! Kalah tak rebah!” – Calon PN Tioman

    “Menang tak megah! Kalah tak rebah!” – Calon PN Tioman

    “MENANG tak megah! Kalah tak rebah!”. Itu antara sebahagian ucapan penghargaan calon Perikatan Nasional (PN ) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Nor Idayu Hashim, malam ini.

    Ini susulan kekalahan tipis PN pada pilihan raya kecil DUN Tioman kepada calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti kecil 573 undi.

    Datuk Seri Mohd Johari Hussain memperoleh 8,080 undi manakala Nor Idayu mendapat 7,507 undi.

    Berikut kenyataan penuh Nor Idayu yang disiarkan dalam akaun Facebook beliau.

    ASSALAMUALAIKUM WBT

    Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas yang telah bekerja keras untuk memenangkan Islam dalam pilihanraya memenangkan PERIKATAN NASIONAL pada PRK ini.

    Saya mohon maaf sekiranya ada kekhilafan diri saya sepanjang tempoh berkempen kepada semua petugas.

    Semoga Allah terima segala amal kita semua dan diberkati Allah.
    Kekalkan momentum kita untuk menangkan Islam dan moga terus istiqomah dalam perjuangan ini.

    Menang tak megah! Kalah tak rebah!

    TAKBIR!!!

    IKHLAS DARI:
    NOR IDAYU BINTI HASHIM

  • BN menang di DUN Tioman dengan majoriti 573 undi

    BN menang di DUN Tioman dengan majoriti 573 undi

    BARISAN Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) hari ini.

    Ia susulan kemenangan calonnya, Datuk Seri Mohd Johari Hussain yang memperoleh 8,080 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Nor Idayu Hashim dengan majoriti kecil 573 undi.

    Nor Idayu mendapat 7,507 undi manakala calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Fadzli Mohd Ramly yang sebelum ini mengumumkan menarik diri mendapat 784 undi.

    Dua lagi calon, Osman Bakar daripada Pejuang dan Sulaiman Bakar (Bebas) hilang deposit.

    Osman mendapat 79 undi manakala Sulaiman pula hanya memperoleh 58 undi.

    Keputusan pilihan raya DUN Tioman menyaksikan BN Pahang kini memiliki 17 kerusi DUN, menyamai jumlah kerusi DUN dimenangi PN Pahang dalam PRU-15.

    PRU-15 DUN Tioman ditangguhkan susulan kematian calon PN, Allahyarham Md Yunus Ramli yang meninggal dunia 19 November lalu ketika menerima rawatan di Hospital Rompin.

    Mohd Johari menyandang kerusi DUN Tioman sejak 2008 dan menang dengan majoriti 1,280 undi dalam pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

    DUN Tioman mempunyai 28,465 pengundi termasuk 262 pengundi awal dan tiga pengundi pos.

  • Kerjasama BN-PH beri kelebihan calon PN di Padang Serai, Tioman

    Kerjasama BN-PH beri kelebihan calon PN di Padang Serai, Tioman

    PAS Kelantan yakin calon Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman akan menjadi pilihan rakyat pada hari pengundian 7 Disember ini.

    Setiausaha Badan Perhubungan Pas negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, situasi itu dapat dilihat berdasar momentum sokongan penduduk tempatan di kedua-dua lokasi terbabit.

    Menurutnya, tindakan Barisan Nasional (BN) melutut kepada Pakatan Harapan (PH) sukar diterima pengundi Melayu yang rata-rata menolak DAP.

    “Ia adalah antara beberapa isu panas yang semakin diperkatakan rakyat sekarang. Mereka melihat Umno terperangkap dengan agenda PH,” katanya di Kota Bharu lapor Harakahdaily.

    Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kedua-dua kawasan Parlimen itu terbabit ditangguh sebelum ini berikutan kematian calon yang bertanding sebelum hari pengundian berlangsung.

    Di Parlimen Padang Serai, PN menampilkan ADUN Lunas, Datuk Azman Nasrudin. Beliau berdepan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak; Dato’ C. Sivaraajh (BN); dan Hamzah Abd Rahman (Pejuang).

    Di Tioman pula Nor Idayu Hashim mewakili calon PN berdepan Mohd Johari (BN), Sulaiman Bakar (Bebas), Osman Bakar (Pejuang) dan Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH).

    Sementara, Wan Roslan yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, petugas pilihan raya Pas peringkat kawasan dialu-alukan membantu kempen PN di Tioman dan Padang Serai.

    Menurutnya biarpun tiada arahan rasmi, namun sekiranya ada petugas pilihan raya yang berminat membantu sangat dialu-alukan kerana keringat mereka diperlukan.

    “Atas dasar tanggungjawab dalam perjuangan, petugas pilihan raya dari Kelantan dialu-alukan turun padang membantu kempen calon PN.

    “Orang Kelantan terkenal dengan semangat kental dalam politik, sebut sahaja pilihan raya mereka sedia menggalas tanggungjawab bagi memastikan kemenangan calon kita,” ujarnya.

  • Pusat mengundi awal dibuka esok bagi Parlimen Padang Serai, DUN Tioman

    Pusat mengundi awal dibuka esok bagi Parlimen Padang Serai, DUN Tioman

    SEJUMLAH 76 orang pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis akan mengundi awal esok bagi Parlimen Padang Serai, manakala bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pula melibatkan 243 anggota polis.

    Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak menerusi kenyataan memaklumkan, proses mengundi bagi Parlimen Padang Serai bertempat di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, mulai 8 pagi hingga 2 petang.

    Beliau berkata bagi DUN Tioman pula, akan mengundi awal di Bilik Rehat Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin (8 pagi hingga 5 petang) dan di Bilik Maklumat Balai Polis Tekek Pulau Tioman (8 pagi hingga 12 tengah hari).

    “SPR turut menyarankan kepada pengundi yang positif COVID-19, untuk berhubung terus dengan Pegawai Kesihatan Daerah bagi memudahkan urusan pengundian awal nanti.

    “Proses pengundian awal ini turut disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding. SPR akan menyiarkan proses pengundian ini secara penstriman langsung menerusi Facebook SPR di beberapa Pusat Mengundi Awal yang terpilih,” katanya.

    Beliau berkata kertas undi awal akan disimpan di lokap balai polis untuk jagaan selamat, selain pengiraan dibuat pada 7 Dis bermula jam 4 petang di tempat pengiraan undi yang ditetapkan.

    Dalam pada itu, SPR turut menasihati agar pengundi yang dikategorikan mengundi awal, membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

    Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon Pakatan Harapan Dr Mohamad Sofee Razak, Datuk Azman Nasrudin (PN-Bersatu), Datuk C. Sivaraj  (BN-MIC), Hamzah Abd Rahman (Pejuang-Putra), Sreanandha Rao (Bebas) dan Mohd Bakhri Hashim (Parti Warisan).

    Warisan kemudian mengumumkan tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya berkenaan, namun logo Warisan masih tersenarai dalam kertas undi, kerana sudah didaftarkan sebagai antara parti yang bertanding.

    DUN Tioman pula melibatkan saingan lima penjuru antara calon PN Nor Idayu Hashim, Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas) walaupun calon PH, Mohd Fadzli Mohd Ramly mengumumkan untuk menarik diri kerana logo PH masih tersenarai dalam kertas undi.

    SPR telah menetapkan proses penamaan calon bagi Parlimen dan DUN tersebut berlangsung pada 24 Nov lepas diikuti pengundian awal esok dan 7 Dis ditetapkan sebagai hari pengundian. – BERNAMA

  • Penyokong UMNO kesal pemimpin langgar prinsip

    Penyokong UMNO kesal pemimpin langgar prinsip

    RAMAI penyokong UMNO di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman melahirkan perasaan kesal kerana pemimpin parti itu sanggup menggadai prinsip dengan melanggar ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021.

    Kekesalan mereka diluahkan kepada pemimpin Pas dan Perikatan Nasional (PN) pada kempen pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pada Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini jelas mereka menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

    “Jadi, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kawasan DUN Tioman begitu penting bagi rakyat menolak kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

    “Rakyat menolak agenda yang sedang dilaksanakan BN-PH. Pengundi di Tioman dan Padang Serai akan menggunakan peluang PRU15 DUN Tioman pada 7 Disember ini bagi menolak BN-PH,” katanya pada program Sembang Santai PRU N.42 Tioman secara langsung melalui TV Makmur semalam, lapor Harakahdaily.

    Program yang diberi judul, Muafakat Rakyat itu dihoskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paching, Mohd Tarmizi Yahaya.

    Tuan Ibrahim semntara itu mengajak anak-anak muda dan pengundi Tioman yang tinggal di luar daerah pulang mengundi pada 7 Disember ini.

  • Calon PN DUN Tioman diterima rakyat – Tuan Ibrahim

    Calon PN DUN Tioman diterima rakyat – Tuan Ibrahim

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Nor Idayu Hashim dilihat mudah diterima rakyat sekali gus mencerahkan peluang gabungan itu menambah jumlah kerusi DUN dimenanginya di Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sejak beberapa hari berkempen, Nor Idayu sentiasa menyapa dan berbual mesra dengan para pengundi.

    Malah katanya, calon PN itu tidak mengira beza umur dan latar belakang masyarakat dalam usaha mendekati sekali gus menawan hati pengundi.

    “Calon Perikatan Nasional di Tioman, Idayu Hashim dilihat mudah diterima rakyat.

    “Sejak beberapa hari kempen, beliau sentiasa menyapa dan berbual mesra dengan para pengundi di Tioman tanpa mengira beza umur dan latar masyarakat.

    “Insya-Allah, misi menghantar ADUN wanita ke DUN Pahang semakin hampir. Doakan semua!,” katanya menerusi catatan di Facebook beliau hari ini.

    Tinjauan Warta Rakyat mendapati Nor Idayu tidak kekok mendekati pengundi di DUN Tioman dan diterima baik masyarakat.

    Menerusi siri jelajah yang dikongsi di Facebook calon PN itu, beliau mula berkempen dengan mendekati pengundi di kedai roti canai Pak Ali sebelum beramah mesra bersama pengunjung di Pasar Besar Kuala Rompin.

    Beliau juga berkesempatan menyantuni peserta program memanah di Masjid Tengku Mahkota Abdullah.

    Di Pahang, PN mempunyai 17 kerusi DUN, BN mempunyai 16 kerusi dan PH mempunyai 8 kerusi.

  • PN umum Nor Idayu calon baharu di DUN Tioman

    PN umum Nor Idayu calon baharu di DUN Tioman

    PERIKATAN Nasional (PN) mengumumkan Nor Idayu Hashim sebagai calon baharu gabungan itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Perkara itu dimaklumkan Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi satu kenyataan.

    Menurutnya, PN akan bertanding di DUN N.42 Tioman dengan mengekalkan calon gabungan itu daripada Pas.

    “Saya sudah menerima surat daripada Pesuruhjaya Pas Pahang Rosli Abdul Jabar mengenai calon yang dimaksudkan.

    “Calon yang dipilih Nor Idayu Hashim, 35. Nor Idayu dipilih dalam kalangan pimpinan akar umbi bagi mewakili suara wanita di dalam Dun Pahang.

    “Nor Idayu juga seorang muslimat dalam kalangan pemimpin wanita tempatan dan orang muda yang berupaya menyelami isi hati akar umbi,” katanya hari ini.

    Pada 19 November lalu, Md Yunus Ramli, calon PN bagi Dun Tioman meninggal dunia dipercayai selepas mengalami serangan jantung.

    Berikutan itu, pengundian bagi kerusi Dun Tioman pada PRU-15 pada 19 November itu ditangguhkan.

    Pada PRU-15, Allahyarham Md Yunus sepatutnya menghadapi saingan lima penjuru yang turut membabitkan calon daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan (PH), Osman A Bakar (Pejuang) serta Sulaiman Bakar (Bebas).

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari penamaan calon bagi kerusi DUN Tioman ditetapkan esok, sementara pengundian awal pada 3 Disember dan hari pengundian pada 7 Disember depan.

  • SPR tetapkan 7 Disember hari mengundi DUN Tioman

    SPR tetapkan 7 Disember hari mengundi DUN Tioman

    TARIKH pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi DUN Tioman ditetapkan pada 7 Disember ini susulan kematian calon Perikatan Nasional (PN), Md Yunus Ramli pagi ini.

    Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 13 hari, selepas hari penamaan pada 23 November.

    Katanya, hari mengundi awal pula ditetapkan pada 3 Disember.

    “Calon-calon yang sah dinamakan sebelum ini dikehendaki hadir ke pusat penamaan calon bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan giliran pada kertas undi.

    “Bakal calon baharu yang ingin bertanding…hendaklah menyerahkan kertas penamaan calon yang lengkap diisi dan disemak oleh pejabat pegawai pengurus oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    SPR memaklumkan daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRU DUN Tioman adalah yang terkini sehingga daftar pemilihan tambahan Ogos 2022 yang dikemaskini sehingga 9 Oktober.

    Proses pengundian PRU15 di DUN Tioman ditunda susulan kematian calon Perikatan Nasional Md Yunus Ramli.

    Yunus, 61, meninggal dunia di Hospital Kuala Rompin, Pahang pada 3.30 pagi tadi, dipercayai akibat komplikasi jantung.

    Beliau dijadualkan bersaing dengan empat calon lain, iaitu bekas penyandang Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan), Osman A Bakar (Pejuang), dan calon bebas, Sulaiman Bakar.

  • PN tentukan calon DUN Tioman selepas PRU-15

    PN tentukan calon DUN Tioman selepas PRU-15

    CALON baharu Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman akan ditentukan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Ini bagi menggantikan calon gabungan itu, Md Yunus Ramli yang meninggal dunia pagi ini.

    Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, berita kematian ini sudah memaklumkan kepada pucuk pimpinan tertinggi PN di pusat.

    “PN akan meletakkan calon lain sebagai ganti. Oleh kerana kerusi terbabit adalah milik Pas, maka Pas akan memilih calon daripada parti mereka.

    “Pemilihan itu akan dibuat secepat mungkin, namun bukan hari ini kerana semua pihak masing-masing sibuk dengan proses pengundian,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Sungai Talam hari ini lapor Sinar Harian.

    Sebelum itu, Saifuddin membuang undi di sekolah terbabit pada pukul 9.25 pagi.

    Pada pagi Sabtu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rompin, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek menangguh proses pengundian bagi kerusi DUN Tioman selepas Md Yunus meninggal dunia.

    Penangguhan ini hanya melibatkan kerusi DUN berkenaan manakala pemilihan bagi kawasan Parlimen Rompin akan dilakukan seperti biasa.

    Dalam pada itu Saifuddin turut menzahirkan rasa sedih di atas kehilangan calon tersebut dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.