Tag: DUN Terengganu

  • DUN Terengganu dijangka bubar sebelum 1 Julai

    DUN Terengganu dijangka bubar sebelum 1 Julai

    PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi memberi laluan kepada pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) dijangka dilakukan sebelum 1 Julai nanti.

    Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini kerana pihaknya berpendapat pentadbiran DUN Terengganu perlu dikekalkan sehingga tempoh penggal berakhir pada 30 Jun.

    “Setakat ini tiada keperluan untuk kita adakan PRN dalam tempoh terdekat, jadi kita tunggu dululah, kalau perlu sehingga habis penggal,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu Tahun 2022 & Hadiah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) & Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2021 dan Anugerah Sarjana Terengganu 2020 & 2021 di Taman Tamadun Islam (TTI) pada Ahad.

    Mengulas mengenai keputusan mengadakan PRN serentak melibatkan enam negeri yang belum membubarkan DUN, beliau berkata, perbincangan sedang dilakukan bagi memudahkan semua pihak termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Menurut Ahmad Samsuri, beliau sudah bertemu dengan salah seorang menteri besar di Kuala Lumpur pada Sabtu dan bersetuju supaya pemimpin enam negeri iaitu Terengganu, Kedah, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang mengadakan pertemuan bagi membincangkan soal itu.

    “Kebetulan kami semua ada di Kuala Lumpur sempena Majlis Mesyuarat Raja-Raja yang akan bermula Isnin hingga Khamis, jadi kami akan cuba celah mana-mana waktu sesuai.

    “Pembubaran daripada negeri-negeri boleh jadi berbagai tarikh tapi yang penting ialah mesyuarat SPR untuk menentukan tarikh yang paling sesuai PRN,” katanya.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas memaklumkan perbincangan mengenai agihan kerusi Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN yang dijadualkan berlangsung pada 7 Februari lalu terpaksa ditangguhkan.

    Bagaimanapun katanya, beliau telah bertemu dengan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berbincang tentang prinsip dan dasar rundingan agihan kerusi.

    “Team Perikatan Nasional akan berjumpa dalam tempoh terdekat, kita jangka kira-kira dua minggu akan datang,” tambahnya, , lapor BeritaBersatu.

  • PRN: Bersatu idam 10 kerusi DUN Terengganu

    PRN: Bersatu idam 10 kerusi DUN Terengganu

    PAS Terengganu disaran mempertimbangkan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Bersatu untuk ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

    Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Razali Idris berkata, rundingan berkaitan pengagihan kerusi DUN dengan pimpinan Perikatan Nasional (PN) masih berlangsung dan akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.

    Katanya, pimpinan parti mencadangkan pimpinan PAS menyerahkan 10 kerusi DUN dikuasai BN kepada BERSATU.

    “Pada asasnya kita meminta pertimbangan daripada PAS supaya 10 kerusi DUN yang dikuasai BN diserahkan kepada BERSATU,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat khas Badan Pimpinan BERSATU negeri, di sini, hari ini.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, BN menguasai 10 daripada 38 kerusi DUN membabitkan Hulu Besut, Kuala Besut, Jertih, Batu Rakit, Permaisuri, Langkap, Seberang Takir, Bukit Besi, Kijal dan Telemong, manakala baki kerusi dikuasai Pas.

    Razali yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Badan Pimpinan Bersatu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri yang dilaporkan berkata BERSATU tetap diberi kerusi pada PRN akan datang lapor BH.

    Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar dilaporkan berkata, perbincangan mengenai pengagihan kerusi dengan pimpinan parti itu sedang berlangsung.