Tag: DUN selangor

  • KJ disebut-sebut bakal bertanding DUN Selangor – laporan

    KJ disebut-sebut bakal bertanding DUN Selangor – laporan

    KHAIRY Jamaluddin dikatakan bakal bertanding di kerusi DUN di bawah Parlimen Sungai Buloh, sekiranya bekas Ketua Pemuda UMNO itu menerima tawaran Bersatu untuk menyertai parti berkenaan sebelum pilihan raya negeri akan datang.

    Menurut pemimpin kanan Pas Selangor, nama Khairy walaupun tidak tersenarai dalam senarai Pas untuk pilihan raya negeri, mungkin termasuk di bawah Bersatu.

    “Lagipun kita memang menerima baik mana-mana pihak luar yang ingin bertanding mewakili PN dan boleh memberi kemenangan kepada kita.

    “Malah, jika ada arahan daripada pimpinan Pusat untuk menarik pihak luar untuk bertanding dan memberi kemenangan, kita juga tidak ada masalah untuk itu,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia hari ini.

    Sebelum ini dilaporkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menawarkan Khairy bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang jika dia menyertai Bersatu.

    Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris, tawaran itu dibuat apabila bekas menteri kesihatan itu melawat rumah Muhyiddin selepas dipecat daripada UMNO.

    Khairy bagaimanapun tidak menjawab tawaran itu dan meminta sedikit masa untuk membuat keputusan.

    Terdapat tiga kerusi DUN di bawah kerusi parlimen Sungai Buloh iaitu Bukit Lanjan, Kota Damansara, dan Paya Jaras. Pada pilihan raya umum ke-15, Khairy bertanding di kerusi parlimen Sungai Buloh bagi pihak BN tetapi tewas kepada R Ramanan dari Pakatan Harapan dengan 2,693 undi.

    Semalam, bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim memberi bayangan beliau mungkin dilibatkan dalan perencanaan PN memenangi pilihan raya negeri (PRN) di Selangor tidak lama lagi.

    Beliau dikatakan sudah turun ke Semenyih beberapa kali.

    “Sekiranya saya bertanding pun, bukan niat saya hendak pegang jawatan tetapi niat hendak pastikan PN menang.

    “Terus terang saya katakan bahawa, saya tak perlu berebut jawatan dengan siapa kerana satu ketika saya sendiri pernah menjadi pemimpin besar,” katanya seperti dipetik BH Online.

    Pun begitu Shahidan dipetik sebagai berkata dia tidak mempunyai sebarang agenda merebut apa-apa jawatan namun sedia menggunakan pengaruhnya untuk membina “gelombang yang dahsyat” buat PN di negeri itu.

    Semenyih merupakan kubu buat UMNO-BN sehinggalah PH merampasnya dalam PRU ke-14 pada 2018. Bagaimanapun kemenangan itu dicapai melalui calon Bersatu yang ketika itu menjadi komponen PH iaitu Bakhtiar Mohd Nor dengan majoriti 8,964 undi.

    Bagaimanapun pilihan raya kecil (PRK) terpaksa diadakan di kerusi itu apabila Bakhtiar meninggal dunia 11 Jan 2019.

    Dalam PRK yang diadakan pada 2 Mac tahun itu BN kembali merampas kerusi tersebut melalui calon mereka, Zakaria Hanafi dengan kelebihan 1,914 undi.

    Mengikut daftar pengundi pada 2018 yang digunakan dalam PRK tersebut, kawasan DUN Semenyih mempunyai 54,503 orang pemilih berdaftar.

    Selangor bakal membubarkan dewan undangan negeri (DUN) – atau terbubar dengan sendirinya – tidak lama lagi bagi membolehkan PRN diadakan selaras dengan peruntukan perlembagaan.

    Turut berdepan PRN ialah Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

    Kelantan dan Terengganu kini ditadbir Pas manakala yang lain-lain dipimpin oleh PH sejak PRU ke-14 yang berlangsung pada 2018.

    Semua negeri terbabit tidak membubarkan DUN masing-masing pada 2022 apabila PRU ke-15 diadakan.

    Selain pernah menjadi menteri besar, Shahidan merupakan bekas menteri dan anggota Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebelum digugurkan daripada menjadi calon parti tersebut pada 2022.

    Dia kemudian menyertai Pas dan menjadi calon PN pada tahun lalu.

  • Selangor disaran laksana pelan tindakan iklim secara meluas – Azmin

    Selangor disaran laksana pelan tindakan iklim secara meluas – Azmin

    KERAJAAN negeri Selangor disaran agar menggerakkan Pelan Tindakan Iklim (CAP) secara meluas terutama di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya ia dapat dilaksanakan lebih konsisten dan teratur.

    Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, PBT akan memainkan peranan penting memandangkan institusi ini bakal menjadi ejen pelaksana sekali gus menentukan kejayaan pelaksanaan dasar itu.

    Justeru, bekas menteri besar Selangor itu berkata, kerajaan negeri perlu berlaku adil kepada pimpinan PBT dalam memastikan mereka betul-betul faham mengenai CAP dan tindakan yang perlu diambil supaya dapat bersama mengurangkan kesan perubahan iklim.

    “Kita akui Selangor adalah negeri maju, negeri industri tetapi bukan dengan mengorbankan aspek persekitaran dan masa depan negeri ini.

    “Jika kita ada pelan tindakan yang dapat mencerakinkan atau menggariskan tindakan yang perlu diambil di semua peringkat, maka cara kehidupan kita, tindak-tanduk kita, cara bekerja dalam komuniti itu pastinya dapat mengurangkan kesan perubahan iklim yang sedang berlaku di seluruh dunia,” katanya, lapor MalaysiaNow.

    Beliau menyatakannya semas berucap dalam sesi Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Sultan Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

    Mengulas lanjut, Azmin turut menyarankan kerajaan negeri Selangor supaya memberi perhatian terhadap cadangan dikemukakan dalam Laporan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang boleh digunakan PBT dalam menangani kesan perubahan iklim yang sedang berlaku.

    Beliau yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) berkata, antara cadangan yang dikemukakan ialah pelaksanaan bangunan cekap tenaga ekoran pembangunan pesat di banyak daerah di negeri ini serta inisiatif ke arah pengangkutan awam berkarbon rendah.

    Tambahnya, tidak cukup sekiranya kerajaan negeri sekadar memperkenalkan bas Selangorku kerana perlu ada pelan tindakan yang dapat melibatkan semua pengangkutan awam termasuk kenderaan di jabatan dan agensi kerajaan.

    “Terdapat juga keperluan melabur dalam tenaga boleh diperbaharui berbanding kebergantungan kepada bahan api fosil.

    “Banyak industri di Selangor masih menggunakan bahan api fosil untuk menjana tenaga dala aktiviti perniagaan mereka.

    “Bagaimana mungkin PBT dapat mengenakan syarat tertentu untuk memenuhi kehendak mengurangkan impak perubahan iklim ini jika tiada ada CAP yang dibentangkan oleh kerajaan negeri,” katanya.

    Pada masa sama, Azmin turut menjelaskan keperluan untuk kerajaan negeri mempertimbangkan inisiatif pengurusan sisa mapan susulan populasi di Selangor semakin meningkat serta memperbanyakkan infrastruktur hijau dalam usaha mempromosi biodiversiti di Selangor.

    “Ini hanya beberapa cadangan. Kalau boleh kerajaan dapat beri perhatian serius, bukan setakat tarik pelaburan dalam Selangor tetapi juga bagaimana pelaburan ini dapat menepati kehendak untuk meminimumkan impak perubahan iklim.

    “Jika industri tidak memenuhi syarat-syarat tersebit, maka produk dan perkhidmatan tidak dapat dieksport kepada negara-negara maju,” kata Azmin yang juga bekas menteri kanan perdagangan antarabangsa dan industri.

  • ‘Bagi PN jadi Ketua Pembangkang Selangor’, Shahidan beritahu UMNO

    ‘Bagi PN jadi Ketua Pembangkang Selangor’, Shahidan beritahu UMNO

    UMNO diminta melepaskan jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi membolehkan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kedudukan itu.

    Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) secara berseloroh membuat cadangan itu berkata, UMNO merupakan sebahagian Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukan lagi pembangkang di negeri itu.

    “Saya dengar cerita di Selangor, UMNO ada lima kerusi, PN ada tujuh kerusi tetapi Ketua Pembangkang tidak mahu berhenti sebab dia ingat UMNO masih pembangkang, padahal UMNO sekarang (kerjasama) PH.

    “Dia kena berhenti dan bagi PN yang jadi Ketua Pembangkang di Selangor. Orang Selangor walau macam mana pun cari sesuatu yang lebih menarik, sokong PN dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) akan datang sebab UMNO nampaknya walaupun dah kalah, tidak mahu berhenti jadi Ketua Pembangkang,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau menyatakannya ketika perbahasan sesi penggulungan Kementerian Belia dan Sukan di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

    Media melaporkan, kerajaan negeri Selangor belum menerima surat peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tawar, Datuk Rizam Ismail sebagai ketua pembangkang negeri itu setakat ini.

    Perkara itu disahkan Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim ketika mengulas usul dibangkitkan ADUN Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung lantikan Ketua Pembangkang DUN Selangor yang baharu susulan Rizam daripada Barisan Nasional kini menjadi sebahagian kerajaan negeri selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan.

    Sementara itu mengenai atlet yang dihantar menyertai pertandingan peringkat antarabangsa, Shahidan yang juga Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memohon kerajaan mempertimbangkan untuk membiayai pasukan kedua atau B tanpa perlu membebankan persatuan.

    “Apabila kita menghantar pasukan untuk bertanding di peringkat antarabangsa, ada pasukan A yang kerajaan bayar dan pasukan B dibayar oleh persatuan.

    “Ini tidak bagus, tidak boleh berterusan. Atlet perlu diberi pendedahan dan ada potensi, mereka dipilih oleh Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik yang pilih.

    “Kita juga kena bayar jurulatih terlibat, jadi saya merayu kepada Yang Berhormat Menteri (Belia dan Sukan), supaya pasukan B kalau tidak dibiayai sepenuhnya tidak apa, sekurang-kurangnya dibayar separuh dan jurulatih dibayar 100 peratus oleh MSN,” ujarnya.

  • 53,571 pekerja industri di Selangor positif Covid-19 sejak Julai

    53,571 pekerja industri di Selangor positif Covid-19 sejak Julai

    SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini bahawa, setakat ini seramai 53,571 orang pekerja industri telah dikenal pasti positif COVID-19 sejak Julai, melalui saringan yang dijalankan di tempat kerja masing-masing.

    Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, saringan yang dijalankan itu adalah melalui pihak majikan sebagai persediaan sebelum masuk ke tempat kerja, kontak rapat kepada rakan kerja yang positif, dan saringan kendiri pekerja itu sendiri di fasiliti kesihatan swasta.

    “Daripada jumlah pekerja industri yang dinyatakan, 62 peratus adalah terdiri dari pekerja di sektor perkilangan (33,214 orang); 14.5 peratus adalah terdiri dari sektor perkhidmatan (7,768 orang); 13.5 peratus pekerja sektor pembinaan (7,232 orang) dan 10 peratus pekerja di sektor perdagangan (5,357 orang).

    “Secara kasarnya, jumlah tersebut meliputi 17.1 peratus kes yang dikenal pasti di Selangor adalah pekerja daripada (sektor) industri,” katanya yang menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PAS-Sijangkang), yang ingin mengetahui jumlah individu yang disyaki dijangkiti dalam sektor industri semasa mereka bekerja.

    Dalam pada itu Amirudin berkata, sebanyak 79 buah kilang sektor pembuatan telah diberikan arahan penutupan, di bawah Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 disebabkan melakukan tiga atau lebih kesalahan yang melanggar prosedur operasi standard akta tersebut, mulai 13 Julai sehingga 23 Ogos oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

    “Arahan penutupan ini dikeluarkan selama tempoh tujuh hari dan pemilik industri turut diberikan arahan kerja serta penambahbaikan, untuk diselesaikan dalam tempoh penutupan tersebut,” katanya.- BERNAMA

  • 7,499,702 dos vaksin dibekalkan kerajaan pusat kepada Selangor

    7,499,702 dos vaksin dibekalkan kerajaan pusat kepada Selangor

    SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini bahawa, sejumlah 7,499,702 dos vaksin telah dibekalkan kerajaan pusat dan diterima negeri ini sehingga semalam.

    Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan, daripada jumlah tersebut 3,874,982 dos vaksin adalah Sinovac, vaksin Pfizer sebanyak 3,364,920 dos dan Astra Zeneca sebanyak 259,800 dos.

    Jelas Dr Siti Mariah daripada aspek kumpulan sasar, penerima vaksin adalah mengikut janji temu yang telah diberikan menerusi aplikasi MySejahtera, yang telah dikoordinasi dengan jumlah vaksin yang telah dijadualkan mengikut fasa yang telah ditetapkan.

    Beliau menjawab soalan Saari Sungib (PH-Hulu Kelang) dalam persidangan di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, yang ingin mengetahui tentang jumlah kuota, kumpulan sasaran dan penerima, serta jadual penyerahan vaksin di Selangor yang dibekalkan kerajaan pusat kepada negeri Selangor.

    Dalam pada itu, Dr Siti Mariah berkata buat masa ini, kerajaan negeri hanya boleh membantu dalam menggiatkan lagi kempen meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat, berhubung kepentingan pengambilan vaksin COVID-19.

    Beliau memberitahu dewan, pengambilan vaksin COVID-19 bukan mandatori dan tiada sebarang peruntukan undang-undang boleh dikenakan terhadap golongan yang enggan mendapatkan suntikan berkenaan.

    “Jadi, ini yang perlu kita tekankan untuk memberi kesedaran kepada semua orang ramai menerusi kempen, kerana jika mereka tidak lindungi diri sendiri pun, sekurang-kurangnya mereka mempunyai kesedaran untuk melindungi orang lain,” katanya.

    Dr Siti Mariah berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Taman Templer), yang ingin tahu langkah yang akan diambil kerajaan negeri terhadap individu yang enggan mengambil vaksin COVID-19 di Selangor.- BERNAMA