Tag: DUN Melaka bergolak

  • PH Melaka dijangka umum PN tumbang, tubuh kerajaan baharu?

    PH Melaka dijangka umum PN tumbang, tubuh kerajaan baharu?

    PAKATAN Harapan (PH) negeri dijangka mengadakan sidang akhbar di sebuah hotel di Banda Hilir, Melaka hari ini sekali gus menaikkan kembali suhu politik di negeri tersebut.

    Pengerusi DAP negeri, Datuk Tey Kok Kiew dikatakan akan mengadakan sidang akhbar itu namun pihak media sehingga kini masih belum ada sebarang jemputan rasmi dikeluarkan.

    Bagaimanapun, sehingga ini belum kelihatan sebarang individu daripada PH negeri yang hadir sejak pengamal media mula berkumpul seawal jam 9 pagi tadi di hotel berkenaan.

    Sidang akhbar itu dijadualkan berlangsung jam 10 pagi tadi namun difahamkan masih belum bermula kerana dipercayai dua wakil rakyat kerajaan yang mahu menyertai kumpulan itu difahamkan telah membuat pusingan U.

    PH negeri didakwa telah mempunyai bilangan akuan bersumpah (SD) yang cukup untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

  • DUN Melaka bergolak: ‘Saya tidak faham mengapa dikaitkan’ – Idris Haron

    DUN Melaka bergolak: ‘Saya tidak faham mengapa dikaitkan’ – Idris Haron

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron yang dikaitkan dengan gerakan untuk menumbangkan kerajaan negeri Melaka, hari ini tampil menafikan pembabitannya.

    Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, tidak tahu mengapa namanya dikaitkan sedangkan secara peribadi beliau tidak mempunyai masalah dengan kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika ini.

    Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa gerakan menumbangkan kerajaan oleh pelbagai pihak, namun menegaskan langkah berkenaan bukan usahanya.

    “Saya rasa mungkin ada gerakan daripada pelbagai pihak, tetapi yang pastinya bukan inisiatif saya.

    “Saya pun tidak faham mengapa nama saya dikaitkan kerana saya tiada sebarang masalah dengan Ketua Menteri sekarang ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

    Sebelum ini, Idris yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar dan Pengurusan Banjir antara empat nama ADUN yang didakwa akan menyertai Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

    Senario itu sekali gus bakal menyaksikan Kerajaan Negeri Melaka yang sebelum ini pernah dipimpin Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), sebelum tumbang, akan kembali bertukar tangan.

    Antara nama lain yang dikaitkan termasuk Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

    Norhizam yang sebelum ini menang pada PRU lalu atas tiket PH bagaimanapun telah manafikan dakwaan berkenaan manakala dua lagi ADUN masih mendiamkan diri.

    Mengulas lanjut mengenai dakwaan bakal ‘melompat’ parti itu, Idris menegaskan perkara itu tidak berlaku.

    “No such thing, tiada lompatan,” tambahnya ringkas.

    Sementara itu, satu sumber memberitahu, usaha pihak tertentu mengumpul Akuan Bersumpah (SD) daripada sebilangan ADUN kerajaan untuk mendapatkan sokongan bagi menumbangkan kerajaan negeri tidak berhasil.

    Dakwanya, usaha berkenaan menemui jalan buntu apabila ada ADUN yang membuat pusingan-U.

    “Memang mulanya ada wakil rakyat kerajaan sudah menandatangani SD untuk bersama PH dan tumbangkan kerajaan negeri ini, namun usaha itu gagal selepas ada antara mereka membatalkannya.

    “Bagaimanapun mungkin akan ada perubahan dalam struktur kerajaan negeri sehari dua ini, tetapi kerajaan sedia ada kekal. Tunggu sajalah,” katanya.

    Untuk rekod Kerajaan Melaka dipimpin Sulaiman daripada UMNO selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada PH yang tumbang Mac tahun lalu.

    Kerajaan negeri mempunyai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala pembangkang pula 11.

  • Pergolakan politik rencat pemulihan pelancongan Melaka

    Pergolakan politik rencat pemulihan pelancongan Melaka

    PERGOLAKAN politik di Melaka ketika ini selepas wujud dakwaan kerajaan negeri akan bertukar tangan kepada Pakatan Harapan (PH) hanya akan merencatkan proses pemulihan sektor pelancongan.

    Menerut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis, perkembangan itu bukan hanya merugikan kerajaan negeri dan rakyat malah turut menimbulkan keraguan kepada pelabur.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia berkata, kerajaan ketika ini sedang pulihkan ekonomi selain menjaga kebajikan dan kesihatan mereka serta kepentingan keupayaan rakyat untuk menjana semula ekonomi.

    “Jadi apabila berlaku cubaan yang lebih kepada kepentingan peribadi individu tertentu ini bukan sahaja merugikan rakyat dan negeri, malah menimbulkan keraguan kepada pelabur dan sebagainya.

    “Tetapi apa yang hendak saya nyatakan, percaya dan yakinlah, kerajaan Melaka stabil,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Muhammad Jailani pada masa sama tidak menafikan sememangnya wujud gerakan untuk menumbangkan kerajaan sedia ada.

    Ketua Penerangan UMNO Bahagian Alor Gajah itu berkata, bagaimanapun itu bukan sesuatu yang baharu dan cubaan tersebut tidak pernah membuahkan hasil kerana tiada matlamat yang jelas.

    “Kita mempunyai bukti-bukti tertentu ada percubaan untuk merosakkan keharmonian kerajaan negeri, tetapi percubaan macam ini bukan suatu isu yang baharu, malah daripada terbentuknya gabungan wakil rakyat negeri Melaka ini, sejak Mac tahun lalu lagi.

    “Mereka cuma boleh mencuba tetapi saya nampak cubaan itu tidak berasas. Ia lebih kepada kepentingan individu tertentu, tiada matlamat yang jelas kerana kerajan sedia ada menjalankan tugas dengan baik. Jadi tidak ada alasan untuk mengubah sebuah kerajaan yang bagus,” tegasnya.

    Kemelut politik Melaka mula hangat selepas wujud dakwaan sekurang-kurangnya empat ADUN kerajaan akan ‘melompat’ menyertai PH dan sudah menandatangani akuan bersumpah (SD).