Tag: duda

  • Duda maut jatuh tingkat 9 PPR

    Duda maut jatuh tingkat 9 PPR

    SEORANG duda ditemui maut dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat sembilan Program Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, di Melaka, petang semalam.

    Mangsa berusia 45 tahun itu ditemui dalam keadaan tertiarap di bumbung tingkat dua Blok D PPR berkenaan dalam kejadian pukul 5.50 petang dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit, Balai Polis Tanjung Minyak menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 5.55 petang.

    “Siasatan awal mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat sembilan berikutan dia tinggal seorang diri di sebuah unit kediaman di tingkat sama.

    “Mangsa cedera pada tangan kanan dan muka. Siasatan di tempat kejadian oleh pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya, lapor Berita Harian.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheng, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Jamian Saleh, berkata seramai enam anggota bomba terbabit operasi mengangkat dan menurunkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

  • Duda ditangkap khalwat dengan ibu tunggal

    Duda ditangkap khalwat dengan ibu tunggal

    HELAH seorang lelaki berusia 46 tahun menumpang sementara di rumah seorang ibu tunggal yang dakwanya akan dinikahinya gagal apabila dia ditangkap berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), semalam.

    Lelaki berstatus duda itu ditahan bersama pasangannya, wanita 38 tahun yang mempunyai tiga anak di sebuah rumah kedai di Pekan Air Hitam, Kedah kira-kira pukul 12.45 tengah malam.

    Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pasangan itu dicekup sepasukan anggota JAIK selepas pihaknya menerima aduan awam mengenai aktiviti maksiat.

    Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, terdapat seorang kanak-kanak lelaki dipercayai anak wanita itu berada dalam rumah kedai berkenaan.

    “Pasangan itu gagal menunjukkan mempunyai hubungan mahram atau suami isteri dan disyaki melakukan maksiat.

    “Lelaki itu memberi alasan seperti itu bagi mengelak ditahan namun gagal kerana tidak munasabah dan ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

    Wanita berkenaan dipercayai menjalankan perniagaan di rumah kedai tersebut manakala lelaki terbabit bekerja sebagai pembantu kedai wanita itu.

    Radzi berkata, mereka kemudian ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

    Beliau menambah, jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.