Tag: dua beradik

  • Dua beradik, tiga rakan terlepas hukuman gantung

    Dua beradik, tiga rakan terlepas hukuman gantung

    DUA beradik bersama tiga rakan terlepas hukuman gantung selepas dakwaan membunuh seorang lelaki lima tahun lalu dipinda kepada membunuh tanpa niat di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.

    Pesuruhjaya Kehakiman, Su Tiang Joo membenarkan meminda pertuduhan tertuduh, C. Sathis, 29; adiknya, Kartik Krishnan, 24 bersama tiga lagi lelaki, J. Jaya Ganesh, 25; A Arjun, 26, dan V. Sivabalan, 24; daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304 (a) kanun sama.

    Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

    Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas kelima-lima tertuduh dari tarikh tangkapan iaitu pada 18 Mei 2018.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mencapai niat bersama membunuh Chung Thian Keong, 54, di tepi sungai berhampiran Kampung Baru Chenderong, Jalan Tanjung Tualang dalam daerah Batu Gajah.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam lebih kurang 7 malam 17 Mei 2018 hingga 7 pagi 18 Mei 2018.

    Peguam Charan Singh yang mewakili kelima-lima tertuduh sebelum itu memohon hukuman ringan memandangkan keterangan yang dikemukakan saksi-saksi pendakwaan tidak menunjukkan sebarang senjata digunakan semasa kejadian itu.

    “Tiada sebarang senjata digunakan oleh mana-mana tertuduh dalam kes ini dan si mati tidak mendapat kecederaan di bahagian badan lain kecuali di kepala,” katanya lapor Sinar Harian.

  • Dua beradik lemas ketika mandi pantai di waktu senja

    Dua beradik lemas ketika mandi pantai di waktu senja

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA beradik maut akibat lemas ketika mandi-manda bersama seorang lagi rakan mereka di Pantai Cenang dekat Langkawi, senja semalam.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, dua beradik tersebut dikenali sebagai R. Yuvaaraj, 22, dan R. Ravishangkar, 26, difahamkan tiba di pantai tersebut bersama dua lagi rakan mereka iaitu M. Sivaprakash Naidu, 25 dan R. Jeyakumar, 24 kira-kira pukul 7 petang.

    Katanya, kesemua mereka yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang datang bercuti ke Langkawi sejak kelmarin dan sepatutnya pulang hari ini.

    “Setibanya di pantai, dua beradik itu bersama Sivaprakash turun ke laut untuk mandi manakala Jeyakumar pula tidak menyertai mereka untuk berbuat demikian. Semasa mandi, datang ombak besar yang tanpa disedari telah menarik ketiga-tiga mereka ke kawasan lebih dalam.

    “Keadaan itu menyebabkan kesemua mereka terkapai-kapai meminta tolong. Sivaprakash berjaya berenang ke tepi pantai dan diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas di Menara APM berhanpiran manakala dua beradik tersebut terus hilang dari pandangan,” katanya.

    Tambahnya, pencarian dilakukan pihak berwajib kemudiannya berjaya menemukan mayat Yuvaaraj kira-kira pukul 9.35 malam.

    “Mayat abangnya pula ditemukan kira-kira pukul 12.40 tengah malam tadi,” katanya.

    Katanya, mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) untuk dibedah siasat.

    “Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

  • Lima termasuk dua beradik didakwa edar lebih 100 kilogram dadah

    Lima termasuk dua beradik didakwa edar lebih 100 kilogram dadah

    DUA beradik dan tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tapah hari ini atas pertuduhan mengedar lebih 100 kilogram dadah di sebuah bangsal di Chenderiang di sini bulan lepas.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada dua beradik, R. Sivaraj, 29, dan R. Sathiswaran, 30, serta tiga lagi tertuduh iaitu L. Vichnesh, 30, A. Tanabalan, 31, dan R. Suresraj, 33, yang hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan secara serentak di hadapan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah.

    Kesemua lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya berat kasar iaitu 111,326 gram (g) disyaki methamphetamine dan kesalahan itu dilakukan di sebuah bangsal berkanvas hijau dan oren di Lot 11876 Mukim Chenderiang di sini pada 9.45 pagi, 26 Ogos lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Tanabalan turut didakwa mengedar dadah berat kasar iaitu 2,075g disyaki methamphetamine mengikut Seksyen 39B(1)(a) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, pada masa dan tempat sama.

     Kedua-dua pertuduhan memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup dan hendaklah jika tidak dihukum mati, dihukum dengan minimum 15 sebatan jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Charan Singh.

    Mahkamah kemudian menetapkan 3 Nov depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

    Pada 26 Ogos, polis menahan mereka dalam serbuan melibatkan rampasan bernilai RM6.7 juta di sebuah bangsal di Chenderiang dan dipercayai sudah mula aktif menjalankan aktiviti itu sejak Jun lepas.- BERNAMA