Tag: Dron

  • Sambutan Hari Kebangsaan: Pengawal keselamatan disiasat terbangkan dron

    Sambutan Hari Kebangsaan: Pengawal keselamatan disiasat terbangkan dron

    SEORANG pengawal keselamatan disiasat selepas disyaki menerbangkan dron tanpa kelulusan pihak berkuasa pada sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka,hari ini.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya, berkata keterangan daripada lelaki berusia 50 tahun itu diambil selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada  jam 1.54 tengah hari tadi.

    “Sebelum itu, Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menurunkan satu dron secara ‘force landing’ iaitu balik ke tempat asal dron itu dinaikkan di tepi jalan berhampiran sebuah restoran di Bulatan Dato Onn pada jam 9.30 pagi.

    “Keterangan daripada lelaki itu sudah diambil dan siasatan lanjut akan dijalankan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya kepada Bernama.

    Noor Dellhan berkata laporan tersebut diklasifikasikan sebagai merujuk kepada agensi lain (ROA) iaitu pihak CAAM untuk siasatan di bawah Peraturan 143 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

    Sebelum ini, CAAM menasihatkan orang ramai untuk tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini membabitkan keselamatan orang awam serta mengundang risiko kemalangan terhadap pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menjalankan penerbangan formasi rendah pada sambutan tersebut.- BERNAMA

  • Dilarang terbangkan dron semasa sambutan Hari Kebangsaan

    Dilarang terbangkan dron semasa sambutan Hari Kebangsaan

    ORANG ramai dinasihatkan agar tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan pihak berkuasa bagi memastikan sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini dapat diraikan dengan selamat.

    Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi hantaran di Facebook rasminya berkata perkara ini juga bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini membabitkan keselamatan orang awam serta mengundang risiko kemalangan terhadap pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sedang menjalankan penerbangan formasi rendah di kawasan tersebut.

    “Suka diingatkan bahawa semua pengendalian aktiviti dron di negara ini adalah tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3), Peraturan 98, 140-144, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia (MCAR 2016) dan Arahan Penerbangan Awam Civil Aviation Directives (CADs),” menurut CAAM.

    Bagi kesalahan di bawah Seksyen 4 Akta 3, memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

    “Bagi Peraturan 206(3) MCAR 2016, jika orang itu ialah seorang individu, didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau jika orang itu ialah satu pertubuhan perbadanan akan didenda tidak melebihi RM100,000,” menurut CAAM. – BERNAMA

  • Dron gergasi UTHM pecah rekod angkat muatan 200 kg

    Dron gergasi UTHM pecah rekod angkat muatan 200 kg

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    UNIVERSTI Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat terus menempa nama apabila ciptaan dron kargo bersaiz besar yang dikenali sebagai C-Drone dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBR).

    Lebih manis apabila kejayaan sekumpulan penyelidik tersebut menjadi hadiah untuk UTHM yang baru menyambut ulang tahun ke-28 pada Khamis lalu.

    Ketua Projek C-Drone, Profesor Madya Dr Zamri Omar berkata, kejayaan yang diraih dalam MBR itu adalah bagi kategori beban terberat yang boleh diangkat sesebuah dron.

    Jelasnya, pada percubaan rekod penerbangan, C-Drone berjaya terbang dengan membawa beban kargo seberat 200 kilogram.

    “C-Drone digerakkan oleh kuasa bateri dan ianya adalah daripada jenis Multirotor Vertical Takeoff and Landing (VTOL).

    “Saiz prototaip dron kargo UTHM ini kira-kira lima meter panjang, lima meter lebar dan dua meter tinggi manakala berat kasarnya pula sekitar 400kg,” katanya dalam kenyataan.

    Menurut Zamri, projek pembangunan C-Drone itu bertujuan menghasilkan suatu proof of concept (POC) iaitu bagi membuktikan konsep reka bentuk dan sistem dron kargo besar yang boleh dibina dan berupaya beroperasi dengan baik.

    Tambahnya, projek yang memakan masa kurang dua tahun itu dijayakan sekumpulan penyelidik UTHM yang mempunyai latar belakang pelbagai bidang kepakaran.

    Mereka turut dibantu sekumpulan pelajar dan penasihat pakar daripada universiti tempatan dan pihak industri sebelum prototaip C-Drone direka bentuk, dibina serta diuji terbang di UTHM.

    “Bermula dengan aktiviti analisis dan reka bentuk, simulasi, fabrikasi komponen, pemasangan, integrasi sistem dan pengujian terbang, semuanya dilaksanakan dalam fasiliti makmal projek C-Drone yang berlokasi di kampus induk,” katanya.

    “Dana projek C-Drone ini diperolehi daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan sebahagian daripadanya dibiayai pihak UTHM,” katanya.

    Kejayaan UTHM mencipta dan melaksanakan pengujian awal prototaip C-Drone itu katanya, diharap dapat menjadi motivasi dan membuka ruang bagi universiti serta pihak industri yang berminat untuk berkerjasama dalam mengembangkan potensi dron ke arah pengkomersialan.

  • Kerajaan negeri sumbang empat dron, 20 pendingin hawa mudah alih untuk PDRM Kedah

    Kerajaan negeri sumbang empat dron, 20 pendingin hawa mudah alih untuk PDRM Kedah

    Oleh Rizqi Zabidi

    POLIS Kedah hari ini menerima sumbangan empat set dron dan 20 pendingin hawa mudah alih dari kerajaan negeri bagi membantu mereka menjalankan tugasan diperlukan di sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya amat berterima kasih terhadap keprihatinan ditunjukkan kerajaan negeri itu.

    Katanya, dron tersebut yang sudah pun diterima sebelum ini, banyak membantu anak-anak buahnya dalam melaksakan tugas diperlukan.

    “Antaranya dron ini digunakan bagi memantau keadaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bukit Malut, Langkawi dan tapak pembinaan Hospital Pendang.

    “Selain itu dron tersebut turut digunakan dalam Op Bantu di Yan dan Kulim. Kemampuannya untuk memantau laluan keluar masuk di sesuatu kawasan juga diyakini memberi kelebihan kepada pihak kami untuk mengesan penjenayah selepas ini,” katanya.

    Terdahulu beliau menerima sumbangan tersebut secara simbolik dari Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

    Mengulas lanjut katanya, pendingin hawa mudah alih itu pula akan diletakkan di beberapa khemah sekatan jalan raya (SJR) seluruh kedah.

    “Khemah di SJR kebanyakannya dari jenis yang bertutup menyebabkan keadaan menjadi agak panas pada waktu siang.

    “Dengan adanya pendingin hawa mudah alih, kalangan pegawai dan anggota bertugas boleh berehat dan solat dalam keadaan lebih selesa.

    Itu sudah tentu membantu meningkatkan semangat mereka dalam melaksanakan amanah diberikan,” katanya.