Tag: Dr. Noraini Ahmad

  • Zahid sahkan Noraini Pengerusi RISDA yang baharu

    Zahid sahkan Noraini Pengerusi RISDA yang baharu

    KETUA Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad dilantik sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang baharu.

    Perkara itu disahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam lawatan kerjanya di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) hari ini.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengesahkan pelantikan Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong untuk menerajui RISDA.

    “Ya, saya mengesahkan Noraini Ahmad dilantik sebagai Pengerusi RISDA,” katanya secara ringkas ketika diminta mengulas dakwaan lantikan terbabit yang tular di media sosial sejak semalam.

    Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat PERDA di Butterworth, hari ini.

    Untuk rekod, Noraini, 56, sebelum ini pernah memegang jawatan Menteri Pengajian Tinggi.

    Selain itu, beliau juga adalah wanita pertama dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi memeriksa dan memantau urusan dan pentadbiran kewangan negara.

    Semalam, tular di media sosial beberapa keping gambar berserta ucapan tahniah yang mendakwa Noraini dilantik sebagai Pengerusi RISDA baharu.

  • ‘Kalau tak suka, jangan undi masa pemilihan parti’, kata Khaled

    ‘Kalau tak suka, jangan undi masa pemilihan parti’, kata Khaled

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ahli Wanita UMNO tidak perlu tergesa-gesa meminta mana-mana pemimpin sayap parti itu mengundur diri daripada jawatan mereka, sebaliknya berbuat demikian menerusi pemilihan parti yang dijadualkan bulan depan.

    Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor menegaskan, sekiranya ada pihak yang tidak menyukai mana-mana individu yang bertanding bagi sesuatu jawatan, maka tidak perlu mengundi mereka pada pemilihan kelak.

    “Saya percaya tidak perlu tergesa-gesa (gesa undur) sebab tidak lama lagi ada pemilihan, jadi jika kita tidak suka, tak perlu undi,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan kunjungan ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai di Johor Bahru, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan supaya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berundur dan tidak mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO pada pemilihan parti, bulan depan.

    Jelas Mohamed Khaled, pemilihan parti dibuat secara terbuka dan mana-mana pihak boleh bertanding merebut jawatan berkenaan.

    Sebelum ini, media melaporkan beberapa pemimpin Wanita UMNO menggesa supaya Noraini berundur sebagai tanda bertanggungjawab atau memperbetulkan salah laku sepanjang mengetuai sayap itu.

    Masa sama, ada pemimpin Wanita UMNO mendakwa majoriti ketua wanita bahagian seluruh negara mahu bekas ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, kembali menerajui kepimpinan sayap itu pada pemilihan parti bulan depan.

    Sementara itu, Mohamed Khaled pula enggan memberi kata putus ketika ditanya sama ada akan mempertahankan jawatan Ketua UMNO bahagian Pasir Gudang atau bertanding sebagai Ketua UMNO bahagian Kota Tinggi, memandangkan beliau kini adalah Ahli Parlimen Kota Tinggi.

    “Saya Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang dan Ahli Parlimen Kota Tinggi,” selorohnya, lapor Berita Harian.

  • Mesti patuh arahan kurangkan yuran universiti 20 peratus – Noraini

    Mesti patuh arahan kurangkan yuran universiti 20 peratus – Noraini

    SEMUA universti awam perlu mematuhi arahan mengurangkan yuran pengajian sebanyak 20 peratus kepada pelajar bagi semester pertama sesi 2021/2022.

    Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata arahan itu telah dikeluarkan kepada semua yang terlibat sebelum ini.

    “Langkah ini selaras dengan usaha KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) untuk terus mempertingkat usaha ke arah menjaga kebajikan mahasiswa khususnya di bawah inisiatif #KPTPrihatin,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau menegaskan, dalam keadaan pandemik Covid-19 yang banyak menjejaskan kehidupan masyarakat terutama dari segi ekonomi, kenaikan yuran tidak seharusnya berlaku.

    Terdahulu, beberapa media melaporkan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya menggesa universiti itu memberi maklum balas berhubung isu kenaikan yuran pengajian kepada pelajar baharu sesi 2021/2022.

    Ini susulan kenaikan yuran sebanyak 10 hingga 60 peratus yang dikenakan universiti itu dianggap tidak munasabah dalam situasi negara ketika ini.

  • Dr. Noraini letak jawatan Menteri Pengajian Tinggi

    Dr. Noraini letak jawatan Menteri Pengajian Tinggi

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    AHLI Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad hari ini meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

    Beliau menzahirkan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat sebagai Menteri Pengajian Tinggi dalam kerajaan Persekutuan.

    “Namun, berdasarkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 3 Ogos 2021, saya sebagai Ketua Wanita UMNO, akur dengan keputusan parti dan meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan berkuatkuasa serta-merta.

    “Keputusan parti akan dilaksanakan ketika Parlimen bersidang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam pada itu, beliau percaya kerajaan sudah berusaha melakukan yang terbaik dalam menguruskan negara mendepani pandemik Covid-19.

    Usaha itu katanya, akan tetap diteruskan walaupun tidak lagi menjadi Menteri Pengajian Tinggi.