Tag: Dr Noor Hisham Abdullah

  • Kes harian baharu Covid-19 turun sedikit bawah 20,000

    Kes harian baharu Covid-19 turun sedikit bawah 20,000

    Oleh:Bernama

    KES baharu positif COVID-19 hari ini sedikit menurun dengan 19,257 kes selepas dua hari berturut-turut merekodkan angka melebihi 20,000.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan di Twitter berkata perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes dalam negara kini mencecah 1,243,852.

    Selangor kekal penyumbang utama kes dengan 7,084 kes dilaporkan, diikuti Kuala Lumpur dengan 2,450 kes, Kedah (1,514), Sabah (1,255), Johor (1,182) dan Pulau Pinang (959).

    Sementara itu, Kelantan merekodkan 930 kes, Negeri Sembilan dengan 884 kes, Perak (774), Pahang (714), Sarawak (573), Terengganu (425), Melaka (414), Putrajaya (56), Perlis (41) dan Labuan (dua).

    Semalam, Malaysia merekodkan 20,889 kes baharu jangkitan COVID-19, iaitu angka harian tertinggi sejak pandemik itu melanda negara pada tahun lepas manakala 20,596 kes dilaporkan hari sebelumnya.- BERNAMA

  • Pendaftaran bersyarat vaksin Moderna dari kilang di Sepanyol diluluskan

    Pendaftaran bersyarat vaksin Moderna dari kilang di Sepanyol diluluskan

    Oleh:Bernama

    MESYUARAT Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) ke-362 hari ini meluluskan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi produk Spikevax 0.20 mg/ml Dispersion for Injection COVID-19 mRNA Vaccine (nucleoside modified), juga dikenali sebagai vaksin COVID-19 Moderna.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata kelulusan produk itu bagi pemegang pendaftaran produk (PRH) Zuellig Pharma Sdn Bhd dan pengilang Rovi Pharma Industrial Services, Sepanyol.

    “Kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan serta keberkesanan produk vaksin dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

    “Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi produk-produk vaksin tersebut kekal positif,” katanya.

    Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin COVID-19 di Malaysia dengan memastikan produk berkenaan dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan PBKD.- BERNAMA

  • Rekod harian Covid-19: 19,819 kes baharu, 5 negeri lebih 1,000 jangkitan

    Rekod harian Covid-19: 19,819 kes baharu, 5 negeri lebih 1,000 jangkitan

    KES baharu Covid-19 melonjak kepada 19,819 kes dalam tempoh 24 jam lalu, tertinggi pernah dicatatkan sejak pandemik itu melanda negara, Februari tahun lalu.

    Kes baharu yang tertinggi pernah direkodkan adalah pada 31 Julai lalu dengan 17,786 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian di laman Facebook berkata, perangkaan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 2,714 kes berbanding 17,105 kes direkodkan semalam.

    Perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 1,183,110 kes.

    Dr Noor Hisham berkata, Selangor dan Kuala Lumpur terus mencatatkan kes tertinggi dengan lebih separuh penularan direkodkan di Lembah Klang.

    Selangor merekodkan 8,377 kes dan Kuala Lumpur, 2,467 kes.

    Selain itu, terdapat tiga lagi negeri mencatatkan lebih seribu kes iaitu Kedah (1,371 kes), Johor (1,162 kes) dan Kelantan (1,003 kes).

    Ini diikuti Sabah dengan 949 kes, Pulau Pinang (867 kes) dan Negeri Sembilan (800 kes).

    Semua negeri kecuali Perlis, Labuan dan Putrajaya mencatatkan lebih 400 kes.

    Sementara itu, kes harian terendah hari ini dicatatkan di Labuan dengan lima kes manakala Perlis, 11 kes.

  • Perak catat peningkatan kes kritikal, ICU Covid-19

    Perak catat peningkatan kes kritikal, ICU Covid-19

    PERAK mencatatkan peningkatan kes Covid-19 kategori 4 dan 5 yang memerlukan rawatan kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital negeri ini.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 121 pesakit Covid-19 di Perak yang sedang dirawat di ICU setakat semalam dengan kadar purata tujuh hari penggunaan katil ICU melebihi 100 peratus.

    “Jabatan Kesihatan Negeri Perak dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan pelbagai agensi sedang giat melakukan persiapan bagi menghadapi peningkatan mendadak kes Covid-19 yang diramalkan berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi,” katanya menerusi catatan Facebook beliau, malam tadi.

    Beliau turut memuat naik beberapa gambar lawatan kerjanya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Hospital Taiping, Hospital Tapah dan Hospital Slim River, semalam.

    Menurut Dr Noor Hisham, sebuah bilik gerakan ditubuhkan bagi memastikan ketersediaan katil untuk merawat pesakit Covid-19 di Perak.

    Beliau menjelaskan, sebanyak 223 katil wad serta 42 katil ICU telah dikhaskan untuk rawatan Covid-19 di HRPB yang mula merawat pesakit wabak itu mulai Januari tahun lalu.

    Ujarnya, bagi hospital lain di Perak, Hospital Taiping yang mula merawat pesakit Covid-19 pada Mac tahun lalu mengalami peningkatan kemasukan pesakit Covid-19 sejak akhir Jun lalu.

    “Sebanyak 237 kes baharu telah dilaporkan di daerah Larut, Matang dan Selama termasuk 175 kes adalah di mukim Taiping.

    “Persiapan sedang giat dilaksanakan bagi menghadapi peningkatan kes Covid-19 yang diramalkan memuncak dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi. Kerjasama semua pihak adalah penting dałam menghadapi peperangan getir yang mendatang,” katanya.

    Dr Noor Hisham berkata, lima wad dengan kapasiti 120 katil dan 16 katil ICU telah dikhaskan untuk rawatan Covid-19 di Hospital Taiping setakat ini.

    Beliau berkata, Hospital Tapah yang merawat pesakit Covid-19 mulai November tahun lalu, terdapat 100 katil dan daripada jumlah tersebut, 28 katil dikhaskan untuk rawatan Covid-19.

    “Secara kumulatif setakat Jun lepas, pesakit Covid-19 yang telah dirawat di hospital ini berjumlah 527 orang. Selain itu, hospital ini juga memberikan perkhidmatan kesihatan bagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Penjara Tapah,” katanya.

    Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, persiapan juga sedang giat dilaksanakan bagi menghadapi peningkatan kes Covid-19 di Hospital Slim River yang turut menerima rujukan kes Covid-19 kategori 3 hingga 5 dari Selangor, khususnya PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang dan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Daerah Petaling.

    Hospital itu mula merawat pesakit Covid-19 pada April tahun lalu dan mempunyai kapasiti 250 katil iaitu 69 katil wad dan 4 katil ICU (diubah fungsi) telah dikhaskan untuk rawatan Covid-19.

  • Parlimen: 11 individu positif Covid-19 semalam, Dr Noor Hisham saran jalani saringan sebelum sesi minggu depan

    Parlimen: 11 individu positif Covid-19 semalam, Dr Noor Hisham saran jalani saringan sebelum sesi minggu depan

    SEMUA individu yang akan hadir ke sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihatkan agar menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini selepas ujian saringan yang dilakukan di Parlimen semalam mengesan sebanyak 11 kes positif Covid-19.

    Menurutnya, 10 kes positif itu dikesan melalui RTK Ag saliva test kit manakala satu lagi melalui RT PCR.

    “Sehubungan itu semua yang akan hadir ke sesi Sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihatkan untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

    “Mereka yang bergejala disaran membuat pemeriksaan dan tidak hadir ke Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, sehingga pukul 8 malam, seramai 1,183 individu telah menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva test kit.

    Ujarnya, dripada jumlah yang disaring tersebut, sebanyak sembilan lagi kes dikesan positif Covid-19 menjadikan secara keseluruhan 10 kes yang dikesan melalui RTK Ag saliva test kit (satu kes tengah hari, sembilan kes petang).

    “Sebanyak dua daripada 10 kes positif tersebut mengalami gejala ringan tetapi stabil, manakala lapan kes tidak bergejala,” katanya.

    Beliau menambah, pasukan kesihatan akan menjalankan siasatan, penilaian risiko, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan termasuk pembersihan dan disinfeksi di bangunan Parlimen.