Tag: Dr Noor Hisham Abdullah

  • Jumlah positif Covid-19, 8,817 kes hari ini

    Jumlah positif Covid-19, 8,817 kes hari ini

    KES baharu positif Covid-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam lalu naik sedikit kepada 8,817 kes berbanding 8,075 semalam

    Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, perkembangan itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 2,294,457 kes.

    Lima negeri catat kes tertinggi iaitu Sarawak (1,361) diikuti Selangor (1,348), Kelantan (1,063), Johor (886) dan Sabah (805)
    .

  • 12,434 kes baharu COVID-19, meningkat 2 hari berturut

    12,434 kes baharu COVID-19, meningkat 2 hari berturut

    KES baharu COVID-19 di seluruh negara terus meningkat untuk dua hari berturut-turut dengan 12,434 kes dilaporkan setakat 12 tengah hari ini.

    Semalam negara mencatatkan 11,332 kes.

    Menerusi hantaran di Twitter dan Facebook, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 2,232,960.

    Sarawak kekal negeri tertinggi melaporkan kes baharu harian dengan 2,967 kes, diikuti Selangor (1,362), Johor (1,289), Kelantan (1,125) dan Sabah (1,000).

    Perak pula merekodkan 971 kes, disusuli Pulau Pinang (863), Pahang (663), Kedah (652), Terengganu (612), Melaka (375), Kuala Lumpur (284) dan Negeri Sembilan (169).

    Tiga negeri pula melaporkan dua digit kes iaitu Perlis (79), Putrajaya (18) dan Labuan (lima).

    Sementara itu, penggunaan katil COVID-19 setakat 5 petang semalam ialah sebanyak 64 peratus untuk katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 56 peratus untuk katil bukan ICU. – BERNAMA

  • 15,579 kes baharu COVID-19, Sarawak tertinggi

    15,579 kes baharu COVID-19, Sarawak tertinggi

    KEMENTERIAN Kesihatan melaporkan sebanyak 15,759 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara ini meningkat kepada 2,127,394 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tujuh negeri melaporkan pertambahan kes empat angka dengan Sarawak kekal mencatatkan kes harian tertinggi dengan 3,732 kes baharu.

    Johor mencatatkan angka kedua tertinggi dengan 1,959 kes diikuti Selangor (1,934), Pulau Pinang (1,417), Kelantan (1,338), Sabah (1,291) dan Perak (1,184).

    Kedah pula mencatatkan 786 kes disusuli Pahang (707), Terengganu (592), Kuala Lumpur (359), Melaka (264), Negeri Sembilan (127), Putrajaya (34), Perlis (23) dan Labuan (12).

  • Lebih 98 peratus kes Covid-19 terdiri daripada kategori satu, dua

    Lebih 98 peratus kes Covid-19 terdiri daripada kategori satu, dua

    SEBANYAK 98.34 peratus atau 18,239 kes daripada keseluruhan 18,547 kes baharu COVID-19 hari ini terdiri daripada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua bergejala ringan.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata baki 308 kes (1.66 peratus) terdiri daripada kategori tiga (bergejala) hingga kategori lima (bergejala kritikal).

    “12,176 (66.8 peratus) individu tidak lengkap dan tiada sejarah vaksinasi berbanding 6,063 (33.2 peratus) individu lengkap divaksin dalam kategori satu dan dua.

    “239 kes (77.6 peratus) pula terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap vaksinasi berbanding hanya 69 kes (22.4 peratus) mereka yang lengkap divaksin dalam kategori tiga hingga lima,” katanya hari ini.

    Beliau berkata, Sarawak merekodkan kes harian tertinggi untuk hari kedua berturut-turut dengan 3,200 kes hari ini.

    Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 91.5 peratus atau 1,721,274 daripada jumlah keseluruhan 1,880,734 kes positif COVID-19 negara ini adalah terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap divaksin.

    Sementara itu, sebanyak 311 kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan 270 warganegara dan 41 bukan warganegara dengan 93 kes kematian di luar hospital atau brought in dead (BID) yang terdiri daripada 68 warganegara dan 25 bukan warganegara.

    Beliau berkata 18,902 kes sembuh dicatatkan manakala kes aktif COVID-19 di seluruh negara kini 252,002,

    Seramai 977 orang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) disahkan COVID-19 dengan 447 orang memerlukan bantuan pernafasan, katanya.

    Beliau berkata sebanyak 39 kluster baharu dilaporkan hari ini dengan 23 daripadanya melibatkan kluster tempat kerja, 13 kluster komuniti dan masing-masing satu bagi kluster kumpulan berisiko tinggi, kluster institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan serta di pusat tahanan.

    Katanya, keseluruhan kluster aktif kini 1,465.- BERNAMA

  • Dr. Noor Hisham terima pengiktirafan International Surgical Fellowship Award

    Dr. Noor Hisham terima pengiktirafan International Surgical Fellowship Award

    KETUA Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerima pengiktirafan antarabangsa, ‘International Surgical Fellowship Award’ daripada Persatuan Pembedahan Antarabangsa (ISS).

    Dr. Noor Hisham menerima pengiktirafan itu semasa ‘The Virtual Surgical Week’ (VSW 2021) yang berlangsung 30 Ogos lepas sehingga esok.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam ciapan Twitternya berkongsi berita gembira tersebut.

    “Tahniah @DGHisham atas pengiktirafan ‘International Surgical Society Fellowship Award’. Ia juga satu pengiktirafan untuk Malaysia. Syabas!” katanya.

    Turut menerima pengiktirafan itu ialah Dr. Gaurav Agrawal dari India dan Dr. Yousef Saleh Al-Alawi dari Arab Saudi.

    Sementara itu, ketika dihubungi Bernama, Dr. Noor Hisham mengucapkan syukur atas pengiktirafan tersebut.

    “Alhamdulilah,” katanya yang pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi Jawatankuasa Eksekutif ISS selama lima tahun (2017–2019, 2019–2021) pada 2017.

    Dr. Noor Hisham sebelum ini menerima Anugerah BrandLaureate – Kecemerlangan Jenama Kepimpinan 2020 daripada Yayasan Jenama Dunia (The World Brands Foundation).

    Tahun lepas menerusi laporan China Global Television Network (CGTN), beliau juga dinamakan antara tiga doktor terulung peringkat global dalam perang menentang COVID-19, selain pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr. Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand Ashley Bloomfield. – Bernama

  • Bekalan ubat Covid-19 tidak terputus – Dr Noor Hisham

    Bekalan ubat Covid-19 tidak terputus – Dr Noor Hisham

    BEKALAN ubat-ubatan yang berkaitan dengan rawatan COVID-19 di hospital awam seluruh negara tidak terputus sepenuhnya tetapi diterima secara berperingkat daripada pembekal susulan permintaan meningkat secara drastik dalam waktu singkat.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan pelbagai usaha untuk mengatasi masalah itu melalui beberapa pendekatan.

    Katanya sejak Mei lalu, permintaan ke atas ubat-ubatan yang digunakan untuk rawatan COVID-19 telah meningkat secara drastik berikutan kenaikan kes secara mendadak bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia.

    Menurutnya, permintaan dalam negara telah meningkat antara 10 hingga 15 kali ganda berbanding sebelum pandemik COVID-19 sehingga mempengaruhi kedudukan stok ubat-ubatan COVID-19 di hospital awam.

    “KKM dimaklumkan terdapat gangguan bekalan oleh syarikat pengeluar ubat-ubatan di luar negara berikutan situasi pandemik ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Selain itu, katanya, pengeluar tempatan juga mempunyai keupayaan terhad untuk menghasilkan stok dalam jumlah yang besar dalam jangka waktu yang singkat.

    “Ini disebabkan kekurangan bahan mentah di pihak pengeluar dan kemasukan bahan mentah tambahan dari luar negara yang tidak stabil,” katanya ketika mengulas laporan media berhubung kekurangan bekalan ubatan-ubatan itu.

    Bagaimanapun, katanya, KKM telah mengambil beberapa langkah antaranya bekerjasama dengan pembekal melalui komunikasi berterusan untuk mendapatkan keutamaan penerimaan bekalan oleh Malaysia serta mencari sumber alternatif ubat di bawah kontrak pusat.

    KKM juga, katanya telah melaksanakan perolehan darurat di peringkat nasional dan Jabatan Kesihatan Negeri, selain memudahcara pembelian ubat di luar kontrak untuk 21 jenis ubat-ubatan yang berkaitan dengan rawatan COVID-19.

    “KKM turut mengadakan perbincangan secara berterusan dengan pakar perubatan tentang ubat alternatif yang sesuai untuk digunakan bagi memastikan kesinambungan rawatan.

    “Ia tidak terhad kepada ubat-ubatan dalam Formulari Ubat-ubatan KKM (FUKKM) tetapi merangkumi semua ubat berdaftar dan tidak berdaftar yang boleh didapati bagi memenuhi permintaan,” katanya.

    Dr Noor Hisham menjelaskan KKM juga sentiasa komited dan sedia bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan ketersediaan bekalan ubat-ubatan terutamanya yang berkaitan dengan rawatan COVID-19, di samping tetap memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan yang diperolehi terjamin untuk kemaslahatan rakyat negara ini. 

    Semalam, sebuah portal berita melaporkan banyak hospital kerajaan berdepan kekurangan bekalan ubat-ubatan termasuk yang diperlukan untuk merawat kes COVID-19 seperti Clexane, sejenis ubat antigumpal yang penting dalam rawatan virus itu.- BERNAMA

  • Dos penggalak tidak bantu kawal varian Delta

    PEMBERIAN dos penggalak (booster dose)  kepada mereka yang lengkap divaksinkan tidak akan membantu mengawal penularan varian Delta.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, yang dapat mengawal penularan varian Delta adalah dengan memberi vaksin kepada mereka yang belum divaksin.

    “Kita mesti meningkatkan liputan vaksin dalam negara terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan dos penggalak.

    “Tiada sesiapa yang selamat sehingga semua orang selamat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

    Dr Noor Hisham sebelum ini mendedahkan, varian Delta boleh membiak di dalam hidung individu yang sudah mendapat suntikan vaksin.

    Ujarnya, keadaan itu disifatkan sama seperti individu yang belum divaksin.

    Menurutnya, kajian awal terhadap satu kes jangkitan mendapati, varian Delta itu membiak di hidung orang yang sudah divaksin seolah-olah individu berkenaan belum mendapatkan vaksin.

    “Virus yang ‘tumbuh’ itu sama penularannya kepada orang yang tidak divaksin. Ini bermaksud individu yang sudah divaksin tetap dapat menyebarkan virus berkenaan serta menjangkiti orang lain,” katanya.

  • Covid-19: 98.1 peratus kes baharu di kategori satu dan dua – KP Kesihatan

    Covid-19: 98.1 peratus kes baharu di kategori satu dan dua – KP Kesihatan

    SEBANYAK 20,380 kes atau 98.1 peratus daripada 20,780 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini, adalah daripada kategori satu dan dua, iaitu tidak bergejala serta bergejala ringan.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, 400 kes lagi atau 1.9 peratus adalah daripada kategori tiga (radang paru-paru), empat (memerlukan oksigen) dan lima (kritikal).

    Beliau berkata ia adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19.

    “Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya.

    Beliau berkata secara keseluruhan, hanya 5,138 kes atau 24.7 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini mempunyai sejarah imunisasi COVID-19.

    Katanya sebanyak 17,973 kes sembuh dilaporkan hari ini, manakala kes aktif COVID-19 di seluruh negara pula ialah 233,358.

    Menurut Dr Noor Hisham, 211 kematian direkodkan hari ini melibatkan 184 warganegara manakala 27 bukan warganegara.

    Katanya 1,053 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 546 orang memerlukan bantuan pernafasan.

    Mengenai kluster baharu, beliau berkata sebanyak 31 kluster baharu dikesan hari ini dengan jumlah yang tertinggi ialah kluster tempat kerja iaitu 18, diikuti kluster komuniti sebanyak 11 dan dua kluster kumpulan berisiko.

    Beliau berkata sebanyak 2,776 kluster telah tamat, manakala 1,258 kluster masih aktif di seluruh negara. – BERNAMA

  • Covid-19:36 kluster baharu dengan tempat kerja, komuniti tertinggi

    Covid-19:36 kluster baharu dengan tempat kerja, komuniti tertinggi

    SEBANYAK 36 kluster baharu COVID-19 dicatatkan hari ini dengan 19 daripadanya merupakan kluster tempat kerja, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

    Beliau berkata sejumlah 13 kluster lagi merupakan kluster komuniti, dua kluster pusat tahanan dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko dan keagamaan.

    “Johor mencatatkan kluster tempat kerja paling tinggi iaitu lapan diikuti Selangor (empat) dan Kedah (dua) manakala lima negeri lain iaitu Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak dan Terengganu masing-masing melaporkan satu kluster tempat kerja,” katanya.

    Dr Noor Hisham berkata bagi kluster komuniti, jumlah tertinggi dicatatkan di Kelantan iaitu lapan diikuti Pahang (tiga) serta masing-masing satu di Selangor dan Johor.

    Katanya sebanyak 212 kematian akibat COVID-19 dilaporkan hari ini dengan 16 merupakan kes kematian di rumah atau ‘brought-in-dead’ (BID).

    Beliau berkata jumlah kes aktif hari ini ialah 227,230 dan mereka yang dirawat di unit rawatan rapi ketika ini ialah 1,095 orang dengan 579 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

    Katanya kes sembuh hari ini pula ialah 15,187 orang menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang pulih mencecah 1.041 juta.

    Dr Noor Hisham juga berkata daripada 17,236 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini, sebanyak 372 atau 2.2 peratus adalah daripada kategori tiga, empat dan lima.

    Beliau berkata sebanyak 16,864 kes atau 97.8 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

    Katanya secara keseluruhan, hanya 4,556 atau 26.4 peratus daripada kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini mempunyai sejarah imunisasi COVID-19.- BERNAMA

  • Pengamal perubatan baharu dibenar perbaharui sijil perakuan amalan tahunan

    Pengamal perubatan yang baharu didaftarkan penuh dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) adalah dibenarkan untuk memperbaharui Sijil Perakuan Amalan Tahunan dengan mata pembangunan profesional berterusan (CPD) minimum, kosong mata.

    Presiden MPM Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkara yang dipersetujui dalam mesyuarat majlis itu pada 27 Julai adalah terpakai kepada Pegawai Perubatan Siswazah yang memiliki Sijil Pendaftaran Sementara dengan MPM dan menamatkan latihan siswazah.

    “Pemberian kosong mata CPD minimum ini akan diberikan bagi dua tahun pertama permohonan Sijil Perakuan Amalan Tahunan mereka setelah didaftarkan penuh.

    “Keputusan ini dibuat memandangkan pengumpulan mata CPD bukan suatu perkara yang diwajibkan dalam tempoh latihan siswazah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata MPM prihatin terhadap rintihan golongan itu yang belum terdedah dengan kriteria bagi permohonan Sijil Perakuan Amalan Tahunan dan tempoh kitaran mata CPD, selain ada antaranya yang tidak dapat memenuhi kriteria itu kerana didaftarkan penuh setelah tamat tempoh kitaran tahun CPD.

    Dr Noor Hisham yang juga Ketua Pengarah Kesihatan menyeru agar pengamal perubatan yang baharu didaftarkan sentiasa memastikan penjagaan pesakit berada di tahap yang terbaik dengan menghadiri aktiviti CPD berterusan bagi memastikan pengetahuan, kemahiran dan etika profesional sentiasa berada pada tahap yang tertinggi.

    Satu daripada kriteria permohonan bagi Sijil Perakuan Amalan Tahunan adalah keperluan mata CPD minimum sebanyak 20 mata dan perlu dikumpul dalam tempoh kitaran tahun CPD yang ditetapkan iaitu bermula 1 Julai sehingga 30 Jun tahun hadapan, selaras dengan Peraturan 28(2)(b) Peraturan-Peraturan Perubatan 2017.

    “Sebagai contoh, permohonan Sijil Perakuan Amalan Tahunan bagi tahun 2022, mata CPD perlu dikumpul dalam tempoh bermula daripada 1 Julai 2020 sehingga 30 Jun 2021,” katanya. – BERNAMA