Tag: Dr Noor Hisham

  • Saya mahu rehat dahulu – Dr Noor Hisham

    Saya mahu rehat dahulu – Dr Noor Hisham

    KETUA Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang akan bersara wajib Jumaat ini, menyatakan beliau mahu rehat selepas 35 tahun berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

    Dr Noor Hisham yang dianggap ‘panglima perang’ KKM ketika negara berdepan pandemik COVID-19, merupakan antara individu penting yang menyampaikan perkembangan terkini dan usaha kerajaan dalam memerangi penularan wabak itu dalam negara.

    “Rehat dulu,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas mengimbas kad perakam waktu pada pukul 4.17 petang sebagai simbolik hari terakhir bertugas di KKM hari ini.

    Beliau diiringi Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni dan warga KKM yang turut hadir mengucapkan selamat bersara kepadanya.

    “Alhamdulilah semua berjalan dengan lancar, COVID-19 pun dah berkurangan dan kita dapat mengawal dengan baik dan memang saya tertunggu-tunggu untuk bersara,” kata Dr Noor Hisham.

    Dr Zaliha dalam satu hantaran di Facebook beliau merakamkan penghargaan kepada Dr Noor Hisham atas khidmat bakti dan sumbangannya sepanjang 35 tahun berkhidmat di KKM. – BERNAMA

  • Tiada kicap ABC mengandungi sulfur dioksida dikesan dalam negara

    Tiada kicap ABC mengandungi sulfur dioksida dikesan dalam negara

    TIADA sampel produk kicap soya termasuk Kicap Soya Manis dan Sambal Sos Ayam Goreng jenama ABC di negara ini dikesan mengandungi sulfur dioksida berdasarkan pemantauan di semua pintu masuk dan pasaran tempatan dari Jun 2021 sehingga kini.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata semakan ke atas data Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) mengesahkan produk itu yang ditarik dari pasaran Singapura kerana mengandungi sulfur dioksida tidak diisytiharkan atau dilabel pada pembungkusan, turut diimport ke negara ini. 

    “Sejak Jun 2021 arahan Tahan Uji Lepas (TUL) dikenakan ke atas produk berkenaan di semua pintu masuk negara.

    “Arahan pelabelan semula atau arahan untuk dihantar semula ke negara asal turut dikeluarkan sekiranya tidak mematuhi keperluan pelabelan termasuk pelabelan sulfur dioksida,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Dr Noor Hisham berkata sulfur dioksida diklasifikasi sebagai bahan pengawet yang dibenarkan dalam makanan tertentu dan pada paras tertentu di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan ia tidak berbahaya kepada manusia apabila digunakan pada kepekatan yang dibenarkan.

    Bagaimanapun, sulfur dioksida boleh menyebabkan kesan alergi kepada sesetengah individu yang menghidap lelah atau asma apabila terhidu atau tertelan. dan kandungan sulfur dioksida melebihi 10 miligram bagi setiap kilogram hendaklah diisytihar atau dilabelkan.

    Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau kemusykilan mengenai  isu-isu keselamatan makanan boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.

    Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman rasmi Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan iaitu www.facebook.com/bkkmhq.- BERNAMA

  • Covid: 18,053 kes sembuh, atasi kes baharu

    Covid: 18,053 kes sembuh, atasi kes baharu

    JUMLAH kes sembuh daripada COVID-19 di Malaysia terus melebihi angka kes baharu untuk hari keempat berturut-turut apabila 18,053 kes dilaporkan berbanding 15,669 kes baharu direkodkan, setakat 12 tengah hari ini.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif individu pulih daripada wabak berkenaan kini sebanyak 1,764,579 orang.

    Beliau berkata terdapat 1,266 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 954 kes disahkan COVID-19 manakala 312 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

    “Sebanyak 689 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 432 kes disahkan COVID-19 sementara 257 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

    Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes harian dilaporkan hari ini, 283 kes atau 1.8 peratus adalah kategori tiga (radang paru-paru), empat (perlu bantuan oksigen) dan lima (perlu bantuan pernafasan), manakala baki 15,840 kes atau 98.2 peratus dalam kategori satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala ringan).

    Daripada jumlah kes baharu itu juga, Dr Noor Hisham berkata 17 adalah kes import melibatkan tujuh warganegara, manakala 15,652 kes penularan dalam negara membabitkan 14,169 warganegara.

    Beliau berkata sebanyak 29 kluster juga dikesan dalam tempoh 24 jam lepas melibatkan 14 kluster di tempat kerja, 12 kluster komuniti serta tiga kluster kumpulan berisiko tinggi.

    Mengenai kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt), Dr Noor Hisham berkata Rt di Malaysia semalam adalah 0.98 dengan semua negeri mencatat Rt sekurang-kurangnya 1.0 kecuali Sabah, Kedah, Melaka, Labuan, Negeri Sembilan, Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur.

    Sarawak adalah negeri paling tinggi mencatatkan nilai Rt iaitu 1.16 diikuti Terengganu (1.08), Johor dan Perak masing-masing 1.02, Pahang (1.01), manakala Pulau Pinang, Kelantan dan Perlis masing-masing 1.00.

    Bagi data kematian pula akan dimuat naik dan dipaparkan menerusi laman Github dan laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my tengah malam ini.- BERNAMA

  • 4 kematian babitkan penerima dua dos vaksin Covid-19 – Dr Noor Hisham

    4 kematian babitkan penerima dua dos vaksin Covid-19 – Dr Noor Hisham

    SEBANYAK empat kes atau 0.03 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian di seluruh negara akibat Covid-19 adalah membabitkan individu yang menerima dua dos vaksin Covid-19.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, angka itu berdasarkan analisis data klinikal yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

    Menurutnya, analisis itu membabitkan 12,993 kematian akibat Covid-19 yang direkodkan di seluruh negara sejak penularan pandemik dalam negara dilaporkan tahun lalu.

    “Selain itu, sebanyak 80 kes atau 0.6 peratus kematian membabitkan individu yang hanya menerima satu dos vaksin Covid-19,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

    Dr Noor Hisham bagaimanapun tidak memperincikan tempoh masa jangkitan Covid-19 membabitkan penerima vaksin dan jenis vaksin yang diterima mereka.

    Sebanyak 19,631 kes Covid-19 direkodkan semalam membabitkan 293 kematian menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan wabak itu di negara ini sebanyak 1,444,270 kes.

  • Rekod jangkitan harian Covid-19 dipecahkan lagi, kini 20,596 kes

    Rekod jangkitan harian Covid-19 dipecahkan lagi, kini 20,596 kes

    KES jangkitan harian Covid-19 Malaysia mencatatkan rekod baharu hari ini apabila merekodkan sebanyak 20,596 kes, tertinggi sejak pandemik itu bermula, tahun lalu.

    Malah buat pertama kali, kes harian Covid-19 melepasi angka 20,000 mengatasi rekod semalam, dengan 19,819 kes.

    Menerusi satu ciapan di Twitter, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, kes terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 dalam negara kini sebanyak 1,203,706 kes.

    Selangor dan Kuala Lumpur terus menjadi penyumbang kes jangkitan harian Covid-19 terbanyak masing-masing dengan 8,549 kes dan 2,163 kes.

    Ini diikuti dengan empat lagi negeri yang mencatatkan lebih 1,000 jangkitan.

    Empat negeri berkenaan ialah Kedah (1,446 kes), Johor (1,300 kes), Sabah (1062 kes) dan Pulau Pinang (1,022 kes).

    Selain itu, dua lagi negeri melaporkan kes melebihi 900 kes iaitu Negeri Sembilan (989 kes) dan Perak (916 kes).

    Kes terendah hari ini dicatatkan di Perlis dengan empat kes diikuti Labuan, 15 kes dan Putrajaya, 50 kes.

  • KKM nasihat tangguh sidang Parlimen – TPM

    KKM nasihat tangguh sidang Parlimen – TPM

    PENANGGUHAN hari terakhir Sidang Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 Dewan Rakyat esok adalah atas nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pandangan disuarakan Dr. Noor Hisham itu selepas mengambil kira peningkatan jumlah jangkitan COVID-19 di Parlimen dalam tempoh hanya empat hari.

    Kata beliau, kebimbangan itu telah pun diperkatakan dalam mesyuarat dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada pagi Isnin, sebelum Sidang Khas bermula.

    Pada ketika itu, Ismail Sabri berkata, Dr. Noor Hisham membangkitkan dua perkara iaitu penangguhan Sidang Khas Parlimen dan dikurangkan masa perbahasan sehingga pukul 2 petang sahaja.

    “Namun begitu, ia tidak dilakukan dan Sidang Khas pun diteruskan seperti dijadualkan walaupun dah nampak mungkin akan berlaku peningkatan kes.

    “Selepas empat hari bersidang, kita keluarkan arahan supaya adakan ujian saringan kerana ada dua lagi telah didapati positif dan memang benar ada pertambahan kes dalam Parlimen sehingga lebih 70 jangkitan ketika ini.

    “Kalau di kawasan lain bila dah 70 kes, kerajaan dah isytihar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), sebab itu orang marah kepada ahli Parlimen seolah-olah ‘golongan kayangan’ ini mendapat kekebalan imuniti,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada wakil penduduk Kampung Cherok Puting, Bera, hari ini.

    Rangka lawatan bagi menyampaikan sumbangan bakul makanan ke seluruh Parlimen Bera itu adalah yang pertama sejak Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, 7 Julai lalu.

    Semalam, Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin dalam kenyataan memaklumkan Sidang Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 Dewan Rakyat yang dijadualkan esok ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

    Nizam menjelaskan pemakluman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    Mesyuarat Khas Parlimen telah berlangsung selama empat hari minggu lalu dan sepatutnya berakhir esok.

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, keputusan yang dilakukan Perdana Menteri itu berdasarkan fakta dan sains, tidak melibatkan politik.

    Katanya, terdapat kebimbangan berlaku penularan lebih meluas kerana kesemua yang hadir ke Dewan Rakyat tidak tertakluk kepada gelembung Parlimen.

    Beliau turut mengakui ada pihak yang cuba mempolitikkan keputusan itu walaupun ia dilakukan atas nasihat Dr. Noor Hisham dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    “Dalam Malaysia ini semua nak berpoliik. Saya ingat kita sahaja negara dalam dunia yang sejak tamat pilihan raya sampai lima tahun berpolitik tak berhenti sedangkan negara lain habis sahaja pilihan raya semua bersama membina negara.

    “Keputusan bukan dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat tetapi atas nasihat daripada KKM dan berdasarkan Akta 342, KKM ada hak untuk arahkan.

    “Jadi, KKM arahkan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk buat keputusan bahawa sidang ditangguhkan kerana kebimbangan kes meningkat semula,” jelas beliau. – UtusanTV