Tag: Dr Mohd Yadzil Yaakub

  • Cagar simpanan KWSP seperti ‘gali lubang tutup lubang’

    Cagar simpanan KWSP seperti ‘gali lubang tutup lubang’

    CADANGAN membenarkan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan caruman mereka sebagai cagaran pinjaman dengan bank seolah-olah ‘gali lubang tutup lubang’.

    Ketua Pembangkang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, rakyat yang terkesan akibat wabak Covid-19 sepatutnya diberi kebenaran mengeluarkan wang caruman KWSP.

    Menurutnya, tidak sepatutnya kerajaan meminta pencarum membuat hutang dengan bank dan menggunakan wang caruman sebagai cagaran.

    “Rakyat pelik cadangan Perdana Menteri mengenakan syarat untuk mengeluarkan duit yang mereka simpan di KWSP. Ini seperti menggali lubang baharu,” katanya pada persidangan DUN Melaka semalam, lapor Harakah Daily.

    Mengulas lanjut, Dr Mohd Yadzil berkata, kerajaan negeri dan pusat mungkin tidak mampu memberi bantuan kewangan terhadap golongan terkesan.

    Sedangkan katanya, rakyat perlukan wang untuk membayar yuran sekolah anak dan menyediakan peralatan persekolahan.

    Menurutnya wang simpanan di KWSP sebagai bekalan hari tua boleh dicarum semula selepas keadaan ekonomi rakyat stabil.

    “Duit yang terkumpul dalam KWSP nanti belum tentu dapat digunakan untuk membeli rumah baru kerana harga rumah semakin meningkat,” katanya yang juga ADUN Bemban.

  • Bersatu Jasin belum ‘lumpuh’, perjalanan jentera pilihan raya diteruskan

    Bersatu Jasin belum ‘lumpuh’, perjalanan jentera pilihan raya diteruskan

    TINDAKAN keluar parti oleh sebahagian kepimpinan bahagian dan cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jasin, tidak menggugat perjalanan kempen parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu, Dr Mohd Yadzil Yaakub, menyifatkan isu keluar parti adalah perkara biasa dan pihaknya tidak menghiraukan serangan yang dibuat.

    “Kita dalam suasana perang, jadi akan ada banyak strategi oleh pihak lawan. Kami percaya ini juga adalah antaranya, selain kehendak peribadi.

    “Kami sebagai ahli Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) terus komited, tidak hirau apa juga serangan dibuat dan ia tidak menggugat perjalanan jentera untuk memenangkan calon PN,” katanya pada sidang media di Kota Fesyen, Melaka petang ini.

    Dr Mohd Yadzil yang juga Pengerusi PN neegeri, mendakwa ada beberapa fakta yang diutarakan oleh Ketua Srikandi BERSATU bahagian Jasin, Azalina Abdul Rahman, itu sebagai tidak tepat.

    “Kalau ikut apa dicakapkan banyak fakta bercanggah jadi saya tidak yakin apa yang dicakapkan itu menunjukkan apa sebenarnya.

    “Ikut perlembagaan pun tiada istilah terkubur, jentera terus bergerak. Pemimpin keluar silih berganti siapa hendak teruskan perjuangan silakan. Siapa tidak mampu ikut arus yang ditetapkan kami tidak halang,” katanya, lapor BH Online.

    Terdahulu, media melaporkan Bersatu Bahagian Jasin didakwa lumpuh apabila sebahagian besar kepemimpinan bahagian dan cawangan parti itu mengumumkan keluar parti, berkuat kuasa hari ini.

    Langkah itu diketuai oleh Ketua Srikandi Bersatu bahagian terbabit, Azalina Abdul Rahman bersama Timbalan Ketua Bersatu bahagian, Mustaffar Ahmad.

    Turut mengumumkan keluar parti, semua ahli Jawatankuasa (AJK) BERSATU bahagian, AJK Srikandi BERSATU bahagian, Ketua Penerangan Srikandi BERSATU Melaka, Rohani Ahmad serta beberapa kepemimpinan Srikandi BERSATU bahagian Hang Tuah Jaya.

    Tindakan itu menyusul selepas Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, mengumumkan keluar parti serta-merta pada 30 Oktober lalu.

  • Beri Dr Yadzil peluang wakili suara penduduk Bemban

    Beri Dr Yadzil peluang wakili suara penduduk Bemban

    TIDAK dinafikan pengalaman amat penting dalam menilai keupayaan seseorang.

    Namun, jika peluang tidak diberikan kepada seseorang, khususnya ‘orang baharu’ bagaimana seseorang itu akan beroleh pengalaman?

    Hal yang sama berlaku kepada calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub.

    Sebagai calon muka baharu berbanding empat lawannya, doktor perubatan swasta itu mengharapkan pengundi DUN Bemban menberikannya peluang untuk membuktikan kepimpinannya membawa perubahan di kawasan itu.

    “Saya faham, saya satu-satunya calon baharu di antara 5 calon di Bemban, semua ‘heavyweight’, empat orang pencabar saya adalah ‘heavyweight’, dan saya hormati mereka semua.

    “Bagi saya, kalau kita berfikir tiada pengalaman, saya rasa tidak akan ada orang berpengalaman jika tidak diberi peluang.

    “Jadi saya sangat berharap saya diberi peluang itu, supaya saya dapat tunjukkan apa yang saya aspirasikan. Jika saya tidak diberi peluang, harapan itu terkubur sahaja,” katanya kepada SatuBerita.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini, Dr. Yadzil yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka akan ditentang Azmi Kamis (Bebas), Ng Choon Koon (Bebas), Tey Kok Kiew (PH) dan Datuk Koh Chin Han (BN).

    Yadzil yang juga Ketua Bahagian Bersatu Jasin berkata, sama seperti lumrah kehidupan manusia yang meningkat secara berperingkat-peringkat, politik juga memerlukan iltizam yang sama.

    “Kita tidak dilahirkan terus berdiri, terus berlari. Kita dilahirkan dengan merangkak, kemudian berjalan dan akhirnya berlari.

    “Jadi itu yang perlu kita fikirkan, yang paling penting sekali seseorang pemimpin itu ingin berubah menjadi lebih baik dan dia ingin membawa satu perubahan kepada rakyat,” ujarnya.

    Mengulas tentang DUN Bemban, beliau berkata, kawasan Bemban berpotensi dimajukan termasuk dalam bidang kesihatan, pendidikan dan pelancongan.

    “Jadi kita perlu gunakan apa kekurangan kepada Bemban untuk kita bangunkan, supaya wujudkan peluang-peluang pekerjaan,” katanya.

    Beliau menambah, selain pembangunan, usaha membentuk satu kerajaan yang lebih stabil juga penting supaya pembangunan dan apa sahaja janji yang dibuat dapat disempurnakan, dijadikan kenyataan.

    Sehubungan itu beliau berharap, semua pengundi DUN Bemban tidak takut untuk keluar mengundi pada Sabtu ini.

    “Saya faham, masih ramai takut untuk keluar mengundi, kerana kes Covid-19 yang semakin meningkat, walaupun kita sudah dapat dua dos (vaksin), masih ramai yang takut.

    “Saya yakin pihak Suruhanjaya Pilihan Raya, Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara sudah bincang dengan rapi, sudah siapkan SOP dengan baik semata-mata untuk menjamin keselamatan setiap pengundi untuk keluar mengundi.

    “Jadi kita kena ambil peluang ini, ini masa untuk kita berubah,” katanya.