Tag: Dr Mohd Aleef Yusof

  • PN kekal fokus bantu rakyat, tidak hirau perebutan jawatan KM

    PN kekal fokus bantu rakyat, tidak hirau perebutan jawatan KM

    PERIKATAN Nasional (PN) tidak berminat untuk mencampuri urusan Barisan Nasional (BN) jika berlaku perebutan jawatan Ketua Menteri Melaka.

    Menurut Ketua Penerangan Pemuda PN Melaka, Dr Mohd Aleef Yusof, wakil rakyat PN hanya memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat yang kini terkesan dengan kos sara hidup.

    “Kami tidak berminat masuk campur urusan BN, apatah lagi jika berlaku pergolakan dalaman dan berebut jawatan Ketua Menteri Melaka.

    “Fokus kami untuk meneruskan tugas selaku wakil rakyat untuk membantu rakyat khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang,” katanya kepada MalaysiaGazette, semalam.

    Sabtu lalu, media melaporkan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Rauf Yusoh menafikan wujud perebutan jawatan Ketua Menteri antara beliau dengan Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang menyandang jawatan itu, ketika ini.

    Rauf menegaskan, perkara itu sengaja dicetuskan pihak tertentu bertujuan melaga-lagakan hubungannya dengan Sulaiman.

    Pada Jumaat lalu tular rakaman video berdurasi hampir enam minit itu memaparkan Rauf duduk semeja bersama Sulaiman dan Bendahari UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Kamarul Zaman Jantan mengeluarkan kenyataan berhubung situasi semasa politik Melaka.

    Video berkenaan disiarkan bertujuan menangkis segala dakwaan kononnya akan berlaku peralihan kuasa jawatan Ketua Menteri daripada Sulaiman kepada Rauf selepas Perhimpunan Agung UMNO pada 14 Januari ini.

    Aleef yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang berkata, apa pun yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri, ia tidak akan menjejaskan tugasnya sebagai wakil rakyat.

    “Perkara tersebut tidak menjejaskan fokus saya untuk terus membantu rakyat selaku ADUN Sungai Udang,” katanya.

  • Saya wakil rakyat semua pengundi Sungai Udang – Dr Aleef

    Saya wakil rakyat semua pengundi Sungai Udang – Dr Aleef

    “SAYA adalah wakil rakyat bagi semua pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang termasuk mereka yang menyokong parti lain,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

    Mohd Aleef, 35, bekas doktor perubatan di sebuah hospital swasta di Melaka berkata, beliau bukan sahaja akan memberi fokus pada kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merupakan sebahagian besar pengundi di DUN itu, malah seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan tanpa mengira parti.

    “Saya rasa sangat gembira, teruja dan bersyukur dikurniakan amanah sebagai wakil rakyat Sungai Udang dan akan bekerja kuat demi amanah ini.

    “Saya komited untuk pastikan semua pengundi mendapat hak kebajikan dan keperluan yang telah diperuntukkan untuk mereka,” katanya kepada Bernama di Melaka hari ini.

    Mohd Aleef dipilih sebagai wakil rakyat selepas mendapat undi sebanyak 6,789 undi menewaskan tiga lagi calon termasuk Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dari Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam.

    Dalam persaingan empat penjuru itu, beliau memperoleh majoriti 530 undi mengatasi calon BN, Pakatan Harapan (Hasmorni Tamby) dan Bebas (Mohd Zahar Hashim).

    Beliau berkata kejayaan yang diraih itu adalah kemenangan jentera Perikatan Nasional (PN) Sungai Udang yang telah bekerja keras dan konsisten dalam beberapa tahun lepas untuk memastikan kemenangan parti tersebut di DUN berkenaan.

    “Ini kali pertama saya menyertai pilihan raya negeri di bawah tiket PN dan dipilih sebagai ADUN Sungai Udang…ia menjadi titik tolak saya untuk bekerja kuat bukan sahaja untuk rakyat tetapi untuk PN,” katanya yang merupakan calon muda yang bertanding di DUN Sungai Udang dalam PRN itu.

    Pada PRN Melaka semalam, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka dengan mencatat kemenangan dua pertiga, diikuti PH (lima kerusi), PN (dua kerusi).

    Sebanyak 326,068 atau 65.85 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka. – BERNAMA