Tag: Dr Halimah Ali

  • Dr Halimah wanita pertama dipilih Naib YDP Pas Kawasan

    Dr Halimah wanita pertama dipilih Naib YDP Pas Kawasan

    AHLI Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali menjadi wanita pertama diangkat sebagai Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Kapar dalam Pemilihan Pas Negeri Selangor bagi sesi 2023 hingga 2025.

    Setiausaha Pas Negeri Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, ia sebahagian daripada keputusan pemilihan parti itu yang antara lain menyaksikan 18 Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan berjaya mempertahankan jawatan masing-masing.

    Menurutnya, mereka terdiri daripada pemimpin tertinggi negeri iaitu Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi di Kuala Langat, Timbalan-timbalan Pesuruhjaya, Shafie Ngah (Bangi) dan Noor Najhan Mohamad Saleh (Kapar), Bendahari Negeri Hasnizan Harun (Hulu Selangor).

    “Pas Negeri Selangor juga menyaksikan muka baru di empat kawasan iaitu Sepang, Sabirin Marsono, seorang Jurutera; di Damansara, Hamzah Abu Seman, seorang pendakwah; Shah Alam, Mohamed Sukri Omar seorang lulusan Pengajian Islam dan Petaling Jaya Mohd Zubir Embong seorang Peguam,” katanya dalam satu kenyataan.

    Roslan Shahir berkata, Pas sentiasa komited terhadap prinsip dan amalan demokrasi dalam proses pemilihan parti bagi membina generasi kepimpinan yang bersih, sejahtera dan toleran.

    Katanya, Muktamar Tahunan PAS Pusat Ke-69 bakal diadakan di Kota Bharu, Kelantan.

    Tambah beliau, Pas dan parti komponen Perikatan Nasional (PN) di Selangor komited mendukung budaya politik matang, sejahtera dan memimpin gelombang hijau bagi membawa perubahan ke arah kebaikan buat negeri itu menjelang Pilihanraya Umum Negeri Selangor ke-15.

  • ‘Saya tak sebut pun Menu Rahmah’, kata Halimah sangkal dakwaan media

    ‘Saya tak sebut pun Menu Rahmah’, kata Halimah sangkal dakwaan media

    AHLI Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali sekali lagi menafikan kenyataannya yang mengaitkan makanan bermutu rendah dengan autisme dan kanser, ada kaitan dengan inisiatif Menu Rahmah oleh kerajaan.

    Ini selepas beliau terus diasak Malaysiakini yang cuba mendapatkan maklum balasnya berkenaan usaha Ahli Parlimen Kuching Kelvin Yii agar beliau dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas kenyataan itu.

    Hansard kenyataan Dr Halimah yang mencetuskan kontroversi.

    Halimah mendakwa Malaysiakini dan KiniTV mencetuskan salah faham itu dan menegaskan kenyataannya langsung tidak menyebut langsung “Menu Rahmah”.

    “Mengapa anda kata saya sebut ‘Menu Rahmah sebabkan kanser’? Saya tak sebut pun Menu Rahmah!

    “Tidak disebut Menu Rahmah (dalam kenyataan asal),” katanya ketika ditemui Malaysiakini di lobi Parlimen hari ini.

    Apabila pemberita cuba membangkitkan bahawa beliau merujuk inisiatif itu dalam perbahasannya di Dewan Rakyat seperti dinyatakan hansard, iaitu rekod rasmi parlimen ahli parlimen Pas itu sekali lagi menyangkalnya.

    “Tetapi tiada (disebut) ‘Menu Rahmah’. Baca (hansard) satu per satu,” katanya kepada Malaysiakini.

    “Anda (Malaysiakini dan KiniTV) yang menyebabkan semua salah tanggapan ini,” katanya lagi.

    Dalam perbahasan di Dewan Rakyat semalam, Halimah juga menafikan beliau ada menyebut Menu Rahmah menyebabkan kanser dan meminta semua pihak agar merujuk hansard.

    Berikut adalah kenyataan Halimah berdasarkan hansard:

    “Saya nak sebutkan tentang food security dan health security. Ini semua keperluan asas. Kita tak mahu – saya selaku doktor perubatan, takut apabila keterjaminan makanan ini mendesak, ada membingungkan kerajaan.

    “Kita tidak mahu shortcut, kita tidak mahu kompromi daripada bekalan makanan yang low quality.

    “Saya tidak ada masalah dengan istilah ‘rahmah’ atau apa tetapi jangan sampai rakyat marhaen B40 diberikan bekalan makanan yang low quality dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, autoimmune disease, kepada autisme dan sebagainya.”

    Dihujani kritikan

    Sementara Halimah menafikan beliau menyebut Menu Rahmah, kenyataannya berhubung istilah “rahmah” dan “makanan yang low quality” memberikan gambaran sebaliknya.

    Inisiatif Menu Rahmah diperkenalkn kerajaan pada Januari lalu sebagai sebahagian usaha menangani masalah kos sara hidup yang tinggi.

    Di bawah inisiatif ini, restoran dan kedai makan akan menyediakan makanan pada harga RM5 ke bawah.

    Salah satu syarikat yang menyertai inisiatif itu, Mydin menafikan harga yang murah menandakan makanan yang disediakan bermutu rendah.

    Kenyataan yang dibuat Halimah itu mengundang kritikan, antaranya berhubung perkaitan antara mutu makanan dan autisme.

    Pada Khamis lalu, beliau menjelaskan tidak berniat mengaitkan makanan bermutu rendah boleh menyebabkan autisme.