Tag: Dr Ahmad Yunus Hairi

  • Kejar hasil cukai, nasib anak muda digadaikan, kata Ahmad Yunus

    Kejar hasil cukai, nasib anak muda digadaikan, kata Ahmad Yunus

    SEORANG Ahli Parlimen Pembangkang menyifatan tindakan mengeluarkan nikotin daripada senarai Akta Racun 1952 semata-mata untuk membolehkan kutipan cukai duti eksais.

    Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berkata, lebih mengecewakan kerajaan menolak pandangan pelbagai pihak daripada kalangan profesional seperti Persatuan Farmasi Malaysia, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

    Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor berkata, kandungan nikotin dalam vape dan rokok menyebabkan ketagihan, selain menyebabkan beberapa penyakit berkaitan kecederaan paru-paru.

    “Adakah jangkaan kutipan cukai RM2 bilion mampu untuk kita mencegah penyakit atau ketagihan kepada perokok elektronik? Adakah ini akan mencapai matlamat Generasi Penamat Rokok di negara kita?

    “Oleh itu, apakah tindakan dan adakah kerajaan tidak merasakan bahawa seolah-olah kita menggadaikan generasi muda kita kepada ketagihan dan juga mungkin penyakit,” katanya, menurut laporan Harakahdaily.

    Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

    Sementara itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sukar untuk mengharamkan penggunaan vape atau rokok ketika ini, tetapi boleh meningkatkan kesedaran.

    “Mengharamkan vape, nikotin dan rokok, satu tindakan yang agak ekstrem. Itu agak drastik dan tidak mampu dikendalikan oleh mana-mana negara di dunia. Oleh sebab itu, orang ramai memilih untuk merokok walaupun kita berkempen.

    “Pendekatan yang kita ambil agak sederhana, iaitu mengenakan cukai tetapi tegas untuk melarang di Parlimen, sekolah, sekatan-sekatan yang cukup meluas untuk mengelak daripada masyarakat (terutama yang muda) daripada vape atau merokok,” katanya.

  • Usah hukum doktor kontrak terlibat mogok – PN

    Usah hukum doktor kontrak terlibat mogok – PN

    KERAJAAN diingatkan agar tidak mengenakan hukuman terhadap kumpulan doktor kontrak yang merancang untuk mengadakan mogok selama tiga hari bermula esok.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, tunjuk perasaan yang tidak mengganggu ketenteraman awam adalah satu cetusan dan luahan yang normal dalam sistem demokrasi.

    Menurutnya, pihak jawatankuasa juga menasihati peserta mogok agar menjaga diri masing-masing supaya dapat terus berkhidmat untuk rakyat.

    “Kami percaya, cetusan rasa ini didorong oleh rasa cinta pengamal kesihatan awam untuk terus berbakti kepada rakyat. Kami di peringkat jawatankuasa Kesihatan PN akan terus memantau dan bersedia untuk mendengar permasalahan yang dihadapi oleh kumpulan ini.

    “Sekali lagi kami menyeru kepada pihak kerajaan untuk bersama-sama berganding bahu dalam menyelesaikan masalah ini. Ini bukanlah masalah kerajaan semata-mata, malah tanggungjawab ini harus juga diselesaikan bersama pihak pembangkang demi kelangsungan perkhidmatan kesihatan negara yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahmad Yunus berkata, pihak jawatankuasa juga percaya bahawa suruhanjaya perkhidmatan kesihatan harus ditubuhkan dengan kadar segera dan berfungsi secara aktif dan melakukan reformasi kesihatan awam negara.

    Menurutnya, kerajaan tidak seharusnya menunggu sehingga kertas putih kesihatan dibentangkan Parlimen.

    Katanya, dalam keadaan ekonomi global yang semakin mencabar, adalah sesuatu yang merugikan semua pihak jika perkara ini boleh menyumbang ke arah kenaikan penghijrahan (brain drain) tenaga kerja terlatih dan pakar.

    “Pihak jawatankuasa juga menyeru kerajaan jangan memandang ringan tentang permasalahan ini.

    “Mereka sudah tidak mampu untuk bersabar kerana sudah bertahun menunggu, termasuklah menanti pembentangan kertas putih kesihatan yang dijangka pada bulan Jun nanti walaupun mereka tetap terus menjalankan tugas dengan cemerlang dan dibebani tekanan mental dan fizikal yang berterusan,” katanya.

    Sementara itu, Ahmad Yunus berkata, Jawatankuasa Kesihatan Ahli-Ahli Parlimen PN juga berpendirian kebajikan dan keadilan kepada anggota kesihatan adalah teras utama dalam usaha untuk mencapai sistem kesihatan yang baik dan cemerlang.

    Beliau berkata, pihak jawatankuasa amat memahami perasaan, keluhan dan pengorbanan yang telah dilakukan anggota-anggota kesihatan.

    “Telah bertahun keluhan demi keluhan disuarakan, kerajaan telah silih berganti, Menteri Kesihatan datang dan pergi namun masalah yang membelenggu sektor kesihatan masih tidak dapat diselesaikan.

    “Tinjauan kami mendapati persekitaran kerja dan manfaat yang diterima oleh pengamal kesihatan awam adalah di tahap amat mendukacitakan.

    “Sistem aduan bagi menyampaikan rungutan mereka juga tidak berfungsi dengan baik. Ini menjejaskan jasmani, minda dan emosi kakitangan kesihatan awam, seterusnya merendahkan mutu sistem kesihatan awam negara,” tambahnya.

    Difahamkan, kumpulan doktor kontrak yang merancang untuk mengadakan mogok selama tiga hari bermula esok, tidak berganjak daripada keputusan mereka untuk meneruskan tindakan itu.

    Jurucakap kumpulan itu yang dikenali sebagai Mogok Doktor Malaysia di Instagram, mendakwa seramai 10,000 hingga 12,000 petugas kesihatan akan menyertai mogok berkenaan.

    Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi peringatan kepada kakitangan perubatan supaya tidak menyertai mana-mana perhimpunan haram.

    Dalam satu hantaran Facebook, KKM berkongsi Surat Edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang dikeluarkan pada 2011 susulan terdapat khabar angin kumpulan doktor kontrak bakal mengadakan mogok pada Isnin hingga Rabu ini.

    Surat bertarikh 30 Jun 2011 itu kembali disiarkan di Facebook KKM dengan Unit Integriti kementerian itu menyatakan pembabitan penjawat awam dalam perhimpunan haram adalah melanggar Peraturan 4 (1) dan 4(2), P.U.(A) 395/1993.

  • Bendung penularan pemikiran songsang LGBT – Pas Selangor

    Bendung penularan pemikiran songsang LGBT – Pas Selangor

    PENULARAN pemikiran songsang lesbian, gay bisexual dan transgender (LGBT) perlu dibendung semua pihak daripada terus merosak budaya, nilai dan idealisma generasi baru.

    Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kerajaan juga digesa mengambil tindakan lebih proaktif bagi mengekang penularan promosi, merekrut anak muda menyertai dan mendanai aktiviti berkait LGBT di negeri itu khususnya.

    Menurutnya, program berkait LGBT yang dijangka dianjurkan pada 30 Mac ketika bulan Ramadan membangkitkan kemarahan dan mewujudkan suasana yang tidak harmoni ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di luar negara menunaikan umrah

    “Pas Selangor mengajak semua pihak termasuk wakil agama untuk bersama-sama membendung penularan pemikiran songsang LGBT ini daripada terus merosak budaya, nilai dan idealisma generasi baru dalam membina Negeri Selangor yang lebih bersih dan sejahtera melalui tanda pagar #menoktahkanLGBTtiadaHIV,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengulas lanjut, Ahmad Yunus berkata, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari telah mendedahkan promosi program Thai Hot Guy di Dewan Rakyat, Rabu lepas.

    Katanya, ia diikuti kenyataan media oleh Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagi menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas penganjuran program tidak bermoral itu bagi menghormati bulan Ramadan.

    Promosi itu juga katanya telah mengundang bantahan Pas Bukit Bintang selain menjadi trending di twitter melalui kicauan Ketua Penerangan Pas Gombak, Dr. Fairuz Azmi sehingga 60 laporan polis dibuat.

    “Justeru Pas Selangor mengucapkan tahniah atas ketegasan pihak PDRM yang ditunjukkan oleh Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah sehingga membawa kepada pembatalan program berkait LGBT dan permohonan maaf daripada pemilik sebuah kelab malam di Jalan Tun Razak di ibu kota,” katanya.

  • Ahli Parlimen gesa kerajaan kaji lokasi sebelum bina rumah ibadat

    Ahli Parlimen gesa kerajaan kaji lokasi sebelum bina rumah ibadat

    SEORANG Ahli Parlimen Pembangkang menggesa kerajaan PH-BN mengkaji kesesuaian lokasi sebelum meluluskan pembinaan rumah ibadat terutama berdekatan kawasan perumahan bagi mengelakkan isu sensitif.

    Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengakui maklum mengenai piawaian ditetapkan bagi pembinaan rumah ibadat itu tetapi mencadangkan lot tanah rumah ibadat Islam diletakkan di kawasan berbeza dengan rumah ibadat bukan Islam.

    “Saya cadangkan kepada kementerian, sebaiknya rumah ibadat ini dapat diletakkan pada tapak berbeza. Contohnya rumah ibadat Islam berbeza dengan tapak rumah ibadat bukan Islam kerana ada beberapa sensitivitinya.

    “Kita nak hidupkan keharmonian, tapi tak mahu ada ‘ketajaman’ apabila rumah ibadat ini berada dalam satu lot yang sama kerana mungkin akan berlaku bunyi-bunyi, pembesar suara yang akan timbul sedikit ketidaktenteraman atau sedikit konflik di kawasan tertentu,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

    Mengulas lanjut Ahmad Yunus turut memberikan contoh rancangan pembinaan kuil di kawasan Canary Garden, Klang, yang berdekatan perkampungan Melayu, sehingga menimbulkan kerisauan dan bantahan masyarakat setempat.

    “Saya tak menafikan pembinaan itu keperluan penganut Hindu di Kampung Air Hitam, tetapi jaraknya agak jauh (dari masyarakat Hindu).

    “Baru-baru ini ada seolah-olah pecah tanah, timbul kerisauan masyarakat Islam di situ, saya mengharapkan menteri, kerajaan negeri dan PBT dapat menangani isu ini dengan terbaik,” katanya.

  • Ambil tindakan tegas penyebaran bahan promosi LGBT, negara sekular – Pas Selangor

    Ambil tindakan tegas penyebaran bahan promosi LGBT, negara sekular – Pas Selangor

    PENYEBARAN bahan-bahan yang mempromosi budaya songsang Lesbian Gay Bisexual dan Transgender (LGBT) dan konsep negara sekular seperti fahaman komunis oleh pihak-pihak tertentu mestilah diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa di negara ini.

    Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, parti itu menyambut baik titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas keprihatinan untuk membendung umat Islam daripada budaya songsang LGBT serta konsep negara sekular.

    Tegas beliau, Pas konsisten berpegang dengan kemuliaan dan kedaulatan agama Islam sebagai agama rasmi bagi Persekutuan seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan Negara.

    “Peruntukan mengadakan latihan dan meningkatkan kecekapan sistem perundangan syariah oleh pihak kerajaan persekutuan juga amat wajar bagi memajukan lagi pentadbiran agama Islam di peringkat persekutuan dan negeri seterusnya mengekang budaya songsang LGBT dan fahaman komunis daripada terus tumbuh di Negeri Selangor khususnya,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengulas lanjut, Ahmad Yunus berkata, Pas Selangor juga menegaskan bahawa dialog antara agama juga perlu digerakkan semula.

    Beliau menjelaskan, ini bagi membugar semangat toleransi dan mencapai kesepakatan dalam menolak budaya songsang LGBT dan fahaman komunis daripada terus membarah dalam masyarakat di negara ini.

    “Pas dan rakan-rakannya di Selangor komited mendukung budaya politik matang dan sejahtera, dan akan terus berkerja memartabatkan Agama Islam dan seterusnya mengembalikan kegemilangan dan kemakmuran di Negeri Selangor ini khususnya,” tambahnya.

    Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memuji pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengiktiraf golongan LGBT serta konsep negara sekular.

    Titah baginda, jaminan itu bertepatan waktunya untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan serius memelihara prinsip Islam berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

  • Malaysia Madani perlu agih peruntukan ahli Parlimen secara adil

    Malaysia Madani perlu agih peruntukan ahli Parlimen secara adil

    MALAYSIA Madani yang dicetus oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya diterjemahkan dengan memastikan semua Ahli Parlimen dapat berperanan dengan berkesan.

    Antaranya menyalur peruntukan kepada 74 Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) seperti yang dinikmati wakil rakyat kerajaan sekarang.

    Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sepatutnya selepas Ahli Parlimen mengangkat sumpah, peruntukan disediakan kepada mereka untuk melaksanakan tugas kepada rakyat.

    Katanya, wakil rakyat perlu ada pejabat Pusat Khidmat Masyarakat bagi membolehkan dapat memberi perkhidmatan lebih berkesan kepada masyarakat.

    “Wakil rakyat terpaksa berdepan dengan penduduk yang datang mendapatkan bantuan kewangan dan sebagainya. Selain itu, projek kemudahan asas untuk manfaat masyarakat setempat.

    “Peruntukan harus diberi kepada semua wakil rakyat kerana mereka dipilih oleh rakyat. Kalau kita lihat manifesto Pakatan Harapan (PH), mereka berjanji untuk memberi peruntukan secara adil,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Pada 19 Januari lalu, Perdana Menteri memperkenalkan ‘Malaysia Madani’ sebagai langkah mengangkat semula martabat negara dan dihormati semula sebagai negara makmur berteraskan enam teras utama.

    Enam teras itu ialah kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

    Awal tahun ini, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, mendedahkan bahawa kerajaan PH-BN menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat yang menyokong kerajaan.

    Dr Ahmad Yunus yang juga ADUN Sijangkang berkata, janji yang tertera pada manifesto PH untuk memberi peruntukan secara adil perlu ditunaikan dan bukan sekadar janji.

    “Tidak perlu sehingga terpaksa membuat perjanjian seperti kerajaan sebelum ini, sehingga ada perjanjian antara kerajaan dan pembangkang untuk pengagihan yang saksama.

    “Peruntukan tersebut di peringkat negeri di bawah Menteri Besar dan kalau di Parlimen, peruntukan di bawah Perdana Menteri,” katanya yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor.

  • Musuh cuba usik kebersamaan Pas dalam PN

    Musuh cuba usik kebersamaan Pas dalam PN

    MUSUH Perikatan Nasional (PN) sentiasa berusaha memecah belahkan Pas daripada gabungan politik itu kata Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

    Beliau semasa Majlis Makan Malam PN Selangor malam tadi berkata, ada kumpulan yang cuba mengusik kebersamaan Pas Selangor dalam PN dengan mengatakan parti itu memboikot PN pusat apabila hanya menghantar 40 orang wakil sahaja dalam majlis berkenaan.

    Namun katanya, beliau menganggap perkara itu lumrah kerana dalam politik Pas mempunyai musuh yang ramai dan mereka mahu memecah belahkan parti itu dalam PN.

    “Saya ingat saya selalu dengar ucapan Presiden (Tan Sri Abdul Hadi Awang) dan pimpinan Pas yang mengatakan parti itu antara pengasas kepada PN.

    “Macamana kita nak boikot PN sedangkan kita founder (pengasas) kepada PN. Tetapi provokasi itu biasa,” katanya semasa Majlis Makan Malam PN Selangor malam ini.

    Mengulas lanjut, Ahmad Yunus berkata, untuk memelihara kebersamaan parti dalam PN, mereka perlu saling membantu dan mengekalkan disiplin yang baik.

    Selain itu katanya, setiap pandangan dan pemikiran adalah perkara biasa namun perlu didengar sehingga habis cerita.

    “InsyaAllah kalau kita benar-benar letakkan dalam fikiran kita kebersamaan siapa yang kita letak insyaAllah permuakatan yang kita bina ini akan datangkan kebaikan kepada kita,” katanya.

    Sebelum itu, timbul khabar angin hubungan Pas dan Bersatu di Selangor didakwa “semakin dingin” apabila timbul ketidakpuasan hati antara pimpinan parti komponen PN berhubung pembahagian jawatan peringkat bahagian.

    Portal Free Malaysia Today mendakwa pergolakan itu berlaku apabila pemimpin PAS negeri difahamkan tidak berpuas hati dengan pembahagian jawatan ketua PN bahagian membabitkan 22 Parlimen bagi tiga parti dalam komponen itu.