Tag: Dr Abdul Latiff Ahmad

  • Rafizi: Berapa banyak peruntukan RM1.7b LCS diguna beli putik kapas?

    Rafizi: Berapa banyak peruntukan RM1.7b LCS diguna beli putik kapas?

    DALAM serangan terbarunya berkaitan skandal kapal tempur pesisir (LCS), Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mempersoalkan sebanyak mana wang daripada peruntukan RM1.7 bilion untuk alat gantian kapal itu sebenarnya digunakan untuk “barang kegunaan harian yang boleh dibeli di pasar raya biasa”.

    Memetik laporan Malaysiakini, Rafizi juga menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Latiff Ahmad, yang didakwa memiliki perkaitan dengan skandal itu, dipecat daripada Kabinet.

    “Sejak saya mendedahkan seorang yang bernama Zainab Mohd Salleh sebagai individu yang dinamakan sebagai isteri Latiff di dalam laporan forensik projek LCS, sehingga sekarang Latiff tidak menafikan kenyataan itu.

    “Satu-satunya kenyataan yang dikeluarkan adalah sebelum saya mendedahkan identiti sebenar Zainab Mohd Salleh. Penafian Latiff (bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isterinya) jelas merujuk kepada individu lain (iaitu CFO Dialog Berhad) bertujuan untuk mengelirukan orang ramai,” kata Rafizi dalam kenyataan hari ini.

    Rafizi berkata sebahagian besar kontrak Alizes Marine Limited (yang menurutnya syarikat palsu yang ditubuhkan untuk menyelewengkan dana) dengan kontrak kapal LCS adalah untuk membekalkan alat ganti untuk kapal itu.

    “Setelah memperolehi kontrak membekalkan alat-alat ganti dari projek LCS, invois-invois dengan alamat palsu dihantar dan arahan pembayaran menyelewengkan dana ke syarikat-syarikat berlainan yang didaftarkan di Malta dan Labuan,” dakwa Rafizi.

    “Akaun bank yang digunakan juga dari Singapura, bukannya di Perancis,” katanya merujuk kepada fakta bahawa Alizes Marine adalah syarikat yang berpangkalan di Perancis.

    Beliau juga membangkitkan laporan forensik projek itu mendedahkan syarikat tersebut tiada lesen untuk mengeksport alat ganti pertahanan seperti yang didakwa.

    Ini menimbulkan persoalan penting, kata bekas ahli parlimen Pandan itu.

    Berapa banyak daripada RM1.7 bilion yang dibeli sebenarnya adalah peralatan gantian diperlukan untuk kapal untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan, kerana banyak alat ganti sebenarnya adalah barangan kegunaan harian yang boleh dibeli di pasar raya biasa?

    Apabila UMNO BN mendakwa projek telah mencapai 50 peratus kemajuan sehingga 2018, berapa banyak dari peratusan kemajuan itu bersabit dengan pembelian barang-barang yang tidak ada kena-mengena dengan alat gantian kapal seperti ini? Kita tahu bahawa kemajuan projek itu mengambil kira semua aktiviti termasuk tempahan alat-alat gantian kapal.

    Perenggan 2.6.20 Laporan Forensik Projek LCS mendedahkan: “Purchase Order (PO) yang dikeluarkan kepada Alizes Marine (untuk menempah alat-alat gantian kapal) mengandungi sesetengah barang yang tidak memenuhi syarat alat gantian Depot (untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan membaiki kapal) seperti air mineral, puting kapas telinga, kain-kain kecil untuk mencuci, kipas dan sebagainya. Ini menunjukkan tahap penyelewengan dan penipuan yang berlaku dalam proses perolehan.”

    Rafizi mendakwa Latiff dan Zainab sebagai “jerung besar” yang mengaut keuntungan daripada projek LCS melalui syarikat luar pesisir yang dilantik sebagai perunding projek walaupun tiada kelayakan.

    Justeru, beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memecat Latiff daripada Kabinet dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pula selaku Presiden Bersatu perlu memaklumkan secara rasmi kepada Ismail Sabri siapa yang ingin dicalonkan oleh parti itu untuk menggantikan Latiff.

    Untuk rekod, Latiff merupakan anggota UMNO sebelum menyertai Bersatu pada 2019.

    Ketika masih bersama UMNO, Latiff pernah menjadi timbalan menteri pertahanan ketika kementerian itu dipimpin Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    “Ini satu ujian penting untuk menilai adakah Muhyiddin dan Bersatu benar- benar ikhlas menentang rasuah, seperti tulisan beliau yang mengambil kredit atas penghukuman kes SRC baru-baru ini,” kata Rafizi lagi.

  • Rafizi dakwa isteri Dr Latiff terlibat projek LCS

    Rafizi dakwa isteri Dr Latiff terlibat projek LCS

    TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa, isteri kedua kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad mempunyai kaitan dengan penyelewengan berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS).

    Memetik laporan Astro Awani, bekas Ahli Parlimen Pandan itu mendedahkah, kertas siasatan dalaman LCS menunjukkan Zainab Mohd Salleh terlibat dalam dua syarikat pesisir luar pantai – Alizes Marine Limited dan Alizes Marine Labuan.

    Dakwanya lagi, berdasarkan siasatan dalaman terhadap kedua-dua syarikat berkenaan termasuk dengan pendedahan Paradise Papers, terdapat beberapa bentuk penyelewengan berlaku.

    “Pertama, syarikat-syarikat sebegini dilantik menjadi jururunding teknikal (sedangkan mereka tiada kepakaran) kepada projek. Mereka menghantar invois bagi kerja-kerja yang tidak dilaksanakan. Sebanyak RM23.37 juta diselewengkan menggunakan kaedah ini di awal pelaksanaan projek sekitar 2011 hingga 2014.

    “Kedua, Alizes Marine juga dilantik sebagai pembekal alat-alat gantian (“spare parts”) kepada projek LCS. Lantikan itu berdasarkan maklumat palsu kononnya ia mempunyai lesen dari kerajaan Perancis untuk menjadi pengeksport global alat gantian pertahanan (sedangkan ia tidak mempunyai lesen itu),” dakwa Rafizi dalam catatan terbaharu di Facebooknya.

    Bahkan Rafizi turut mendakwa, semakan dengan pangkalan data Paradise Papers mengesahkan kewujudan syarikat Alizes Marine Limited yang dimiliki oleh seorang wanita bernama Zainab Mohd Salleh.

    Selain itu katanya, Zainab juga pemegang saham sebuah lagi syarikat pesisir luar pantai yang ditubuhkan di Malta bernama Intralogistics Limited, antara pemegang saham di dalam Alizes Marine Labuan.

    Rafizi berkata, projek LCS telah membayar sekitar RM210 juta bagi alat-alat gantian yang kononnya dibekalkan oleh syarikat Perancis tetapi bayaran diselewengkan ke syarikat-syarikat palsu yang ditubuhkan di Malta dan Labuan.

    Mengulas mengenai Zainab, Rafizi berkata, berdasarkan pendedahan Paradise Papers, wanita itu merupakan isteri kepada Dr Abdul Latiff, yang pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Pertahanan (2008 – 2013) sewaktu penyelewengan LCS dikatakan berlalu.

    “Semakan saya menunjukkan bahawa skim menyeleweng dana awam dari projek LCS ini dibuat selama bertahun-tahun dan dengan penuh perancangan.

    “Saya juga boleh mengesahkan bahawa ada pelbagai bentuk kontrak pertahanan lain yang melibatkan (Dr) Latiff Ahmad dan LCS bukan satu-satunya projek yang melibatkan syarikat-syarikat berkait dengan beliau.

    “Ada beberapa projek pertahanan negara yang lain yang turut melibatkan Alizes Marine dan beberapa syarikat lain yang dimiliki dan dikawal oleh dia sendiri (Latiff) atau isterinya,” katanya lagi.

    Rafizi berkata, pendedahan terbaharu yang dibuat beliau bertujuan untuk menutup mulut UMNO dan Barisan Nasional yang cuba menyalahkan pesara-pesara tentera laut apabila skandal tersebut ‘meletup’.

    “Skandal sebesar ini tidak boleh berlaku tanpa ada dalang dari kalangan pimpinan UMNO yang membuat keputusan-keputusan besar pada ketika itu, sedangkan pesara-pesara tentera laut hanya bersubahat melaksanakan penyelewengan.

    “Saya juga berharap pimpinan Perikatan Nasional dari Bersatu dan Pas mula sedar bahawa skandal LCS ini akan turut mengheret mereka kerana pimpinan kanan mereka, Latiff Ahmad dan keluarganya terlibat secara langsung di dalam syarikat-syarikat palsu yang menyelewengkan dana projek LCS,” dakwa Rafizi lagi.

  • Terap kesiapsiagaan hadapi bencana dalam budaya Keluarga Malaysia

    Terap kesiapsiagaan hadapi bencana dalam budaya Keluarga Malaysia

    KESIAPSIAGAAN dalam menghadapi bencana penting untuk diterapkan kepada masyarakat sehingga ia menjadi sebagai satu budaya Keluarga Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

    Beliau berkata, kejadian bencana yang hadir dalam pelbagai bentuk dan semakin kerap berlaku mewajarkan untuk masyarakat sentiasa bersiap sedia.

    Katanya, budaya kesiapsiagaan bukan hanya amalan pada Oktober bersempena sambutan Bulan Kesiapsiagaan Negara (BKN) sahaja tetapi perlu menjadi norma berterusan sehingga dapat mencapai daya tahan masyarakat.

    Menurut Abdul Latiff, seperti yang ditekankan dalam Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030, pengurangan risiko bencana adalah tanggungjawab yang perlu dikongsi bersama selain membudayakan latihan secara bersepadu, terencana serta berkesinambungan.

    “Semua rakyat perlu berusaha untuk memaksimumkan tahap kesiapsiagaan bencana bagi memastikan keselamatan nyawa diutamakan dan meminimumkan kemusnahan infrastruktur serta mengurangkan kerugian kepada masyarakat, industri, kerajaan dan negara secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan sempena Pelancaran BKN 2021, hari ini.

    Pelancaran BKN 2021 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia Siaga Bencana’ itu dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di perkarangan laman Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini.

    Sambutan itu juga selaras dengan sambutan Hari Bencana Antarabangsa yang disambut pada 13 Okt setiap tahun.

    Abdul Latiff berkata negara juga menyambut sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional pada Oktober setiap tahun, yang bertujuan meningkatkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan pelbagai pihak terhadap bencana khususnya bagi menghadapi musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut.

    Beliau berkata sepanjang bulan ini terdapat 36 program dan aktiviti dirancang oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama pelbagai jabatan, agensi dan badan bukan kerajaan antaranya program Community Based Disaster-Risk Management, Webinar: Mengenali Hazad Dan Bencana Di Dalam Dan Sekitar Malaysia serta Forum Iklim Kebangsaan-Monsun Timur Laut 2021/2022.

    Selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan pengurangan risiko bencana sebagai agenda penting negara, beliau berharap semua pihak dapat memberikan komitmen yang tinggi.

    “Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan koordinasi dan penyelarasan pengurusan bencana dapat diuruskan dengan lebih cekap dan efisien agar mangsa bencana mendapat perlindungan serta bantuan yang sewajarnya daripada semua pihak,” katanya. – BERNAMA

  • KPLB saran penduduk pedalaman tidak memilih vaksin Covid-19

    KPLB saran penduduk pedalaman tidak memilih vaksin Covid-19

    Oleh: Bernama

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyarankan penduduk pedalaman agar tidak memilih jenis vaksin COVID-19 sama ada satu atau dua dos kerana kesemua vaksin mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

    Menterinya Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata apa yang menjadi keutamaan adalah mereka dapat menerima suntikan vaksin COVID-19 secepat mungkin bagi membantu negara mencapai imuniti kelompok.

    “Masyarakat jangan ambil kira jenis vaksin yang akan mereka ambil seperti CanSino atau vaksin dua dos, kerana yang penting adalah mereka dapat suntikan secepat mungkin.

    “Masyarakat pedalaman seperti Orang Asli saya lihat ketika kali pertama, mereka kata agak bimbang untuk ambil vaksin tetapi selepas kita mendekati mereka, penerimaan mereka amat bagus,” katanya kepada pemberita selepas meninjau program pemberian vaksin menerusi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Pulau Sibu, di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai vaksin satu dos CanSino sekiranya ia akan diberikan kepada penduduk pedalaman.

    Program pemberian vaksin secara PPV Bergerak itu diadakan dua hari bermula semalam dengan seramai 1,000 penduduk dan pekerja sektor pelancongan di Pulau Aur, Pulau Pemanggil, Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Sibu, Pulau Rawa serta Pulau Tengah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19.

    Abdul Latiff berkata pihaknya percaya pemberian vaksin COVID-19 kepada penduduk pedalaman tidak menjadi kesukaran memandangkan petugas kesihatan sudah mempunyai pengalaman dalam menyantuni mereka yang tinggal di kawasan itu.

    “Jabatan Kesihatan Negeri sejak dahulu lagi telah memasuki kampung-kampung pedalaman untuk memberi pelbagai suntikan vaksin. Jadi, pemberian vaksin ini bukan perkara baharu buat mereka kerana sudah ada pengalaman termasuk seluruh kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.

    Baru-baru ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata Sabah akan diberi keutamaan sebagai antara negeri terawal menerima vaksin dos tunggal CanSino apabila Malaysia menerima bekalan vaksin itu.

    Pemberian vaksin COVID-19 dos tunggal CanSino di Sabah bakal memudahkan proses vaksinasi penduduk negeri itu terutama di pedalaman yang sebelum ini dibelenggu dengan masalah logistik dan perhubungan.- BERNAMA