Tag: dos vaksin

  • Lebih 43.14 juta dos vaksin capai sasaran 90 peratus

    Lebih 43.14 juta dos vaksin capai sasaran 90 peratus

    SASARAN 90 peratus individu dewasa lengkap divaksin telah berjaya dicapai setelah 70,408 penerima melengkapkan dos masing-masing semalam, sama ada yang menerima vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal.

    Keseluruhannya, lebih 43.14 juta dos vaksin telah diberikan kepada golongan dewasa sehingga semalam, membabitkan 21.07 juta individu lengkap divaksinasi, manakala 94.8 peratus atau 22.16 juta lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

    Bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja pula, seramai 231,714 (7.4 peratus) remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan dos kedua semalam.

    Seramai 2.27 juta (72.2 peratus) remaja daripada keseluruhan lebih 2.5 juta dos yang diberikan sejak 20 September lalu, telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

    Semalam sahaja sebanyak 50,169 dos diberikan membabitkan 27,178 remaja melengkapkan dos kedua masing-masing, manakala 22,991 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

    Sementara itu, secara keseluruhannya sejak 24 Februari lalu sebanyak 45.65 juta dos telah diberikan kepada semua golongan penduduk di Malaysia.

    Daripada jumlah itu, 21.31 juta (65.2 peratus) telah lengkap divaksin, manakala 74.9 peratus atau 24.46 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

    Pencapaian sasaran 90 peratus individu dewasa melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 membolehkan kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri bermula hari ini.

    Secara keseluruhannya sejak 24 Februari lalu sebanyak 45.65 juta dos telah diberikan kepada semua golongan penduduk di Malaysia.

    Daripada jumlah itu, 21,305,196 atau 65.2 peratus telah lengkap divaksin, manakala 74.9 peratus atau 24,457,378 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

  • 5.36 bilion dos vaksin Covid-19 didaftar di seluruh dunia – JHU

    5.36 bilion dos vaksin Covid-19 didaftar di seluruh dunia – JHU

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    JOHNS Hopkins University (JHU) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dalam data terbaharunya memaklumkan, lebih 5.36 bilion dos vaksin Covid-19 sudah didaftar atau disuntik di seluruh dunia setakat ini.

    Menurut data berkenaan, negara China mendahului dengan lebih 2.07 bilion dos vaksin yang sudah didaftarkan.

    Ini diikuti India sebanyak 663 juta dos, manakala Amerika Syarikat dengan lebih 371 juta dos vaksin.

    Negara lain yang mencatat jumlah melebihi 100 juta dos ialah Brazil, Jepun dan Jerman, manakala Turki dan United Kingdom masing-masing melebihi 90 juta dos.

    Sementara di Asia Tenggara pula, Indonesia mendahului dengan jumlah dos yang didaftarkan sebanyak 101 juta, jauh meninggalkan negara lain.

    Ini diikuti Malaysia dengan lebih 35 juta dos.

    Filipina dengan 34 juta dos dan Thailand pula melebihi 32 juta dos.

  • 42.4 peratus populasi Malaysia lengkap divaksin

    42.4 peratus populasi Malaysia lengkap divaksin

    SEBANYAK 13,842,928 individu atau 42.4 peratus populasi keseluruhan di Malaysia sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik pemberian vaksin seluruh negara di Facebook berkata, pada masa sama, seramai 18,792,979 individu atau 57.5 peratus sudah menerima dos pertama.

    Menurutnya, ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini sebanyak 32,635,907 dos.

    “Selain itu, peratusan populasi dewasa yang menerima dua dos vaksin Covid-19 setakat semalam ialah sebanyak  59.1 peratus manakala peratusan dos pertama 80.3 peratus,” katanya hari ini.

    Sementara itu, JKJAV berkata, sebanyak 423,380 dos vaksin Covid-19 diberikan di seluruh negara setakat semalam.

    Tambahnya, daripada jumlah itu, 261,994 daripadanya adalah dos kedua dan baki 161,386 adalah dos pertama.

    PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

  • 7,499,702 dos vaksin dibekalkan kerajaan pusat kepada Selangor

    7,499,702 dos vaksin dibekalkan kerajaan pusat kepada Selangor

    SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini bahawa, sejumlah 7,499,702 dos vaksin telah dibekalkan kerajaan pusat dan diterima negeri ini sehingga semalam.

    Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan, daripada jumlah tersebut 3,874,982 dos vaksin adalah Sinovac, vaksin Pfizer sebanyak 3,364,920 dos dan Astra Zeneca sebanyak 259,800 dos.

    Jelas Dr Siti Mariah daripada aspek kumpulan sasar, penerima vaksin adalah mengikut janji temu yang telah diberikan menerusi aplikasi MySejahtera, yang telah dikoordinasi dengan jumlah vaksin yang telah dijadualkan mengikut fasa yang telah ditetapkan.

    Beliau menjawab soalan Saari Sungib (PH-Hulu Kelang) dalam persidangan di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, yang ingin mengetahui tentang jumlah kuota, kumpulan sasaran dan penerima, serta jadual penyerahan vaksin di Selangor yang dibekalkan kerajaan pusat kepada negeri Selangor.

    Dalam pada itu, Dr Siti Mariah berkata buat masa ini, kerajaan negeri hanya boleh membantu dalam menggiatkan lagi kempen meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat, berhubung kepentingan pengambilan vaksin COVID-19.

    Beliau memberitahu dewan, pengambilan vaksin COVID-19 bukan mandatori dan tiada sebarang peruntukan undang-undang boleh dikenakan terhadap golongan yang enggan mendapatkan suntikan berkenaan.

    “Jadi, ini yang perlu kita tekankan untuk memberi kesedaran kepada semua orang ramai menerusi kempen, kerana jika mereka tidak lindungi diri sendiri pun, sekurang-kurangnya mereka mempunyai kesedaran untuk melindungi orang lain,” katanya.

    Dr Siti Mariah berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Taman Templer), yang ingin tahu langkah yang akan diambil kerajaan negeri terhadap individu yang enggan mengambil vaksin COVID-19 di Selangor.- BERNAMA

  • 24 juta dos vaksin diberikan di Malaysia setakat semalam

    24 juta dos vaksin diberikan di Malaysia setakat semalam

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memaklumkan jumlah suntikan harian vaksin Covid-19 yang direkodkan semalam adalah 425,698 dos.

    JKJAV menerusi perkongsian dalam Twitter pagi ini memberitahu, daripada jumlah berkenaan, 186,035 adalah penerima dos pertama manakala 239,663 penerima dos kedua.

    Daripada jumlah itu 186,035 adalah penerima dos pertama, manakala 239,663 penerima dos kedua.

    Selangor merekodkan jumlah harian tertinggi dengan lebih 25,000 suntikan bagi dos pertama dan lebih 73,000 dos kedua.

    Ini diikuti Kuala Lumpur dengan lebih 4,000 dos pertama manakala dos kedua pula melibatkan angka lebih 39,000.

    Laporan harian vaksinasi itu sekali gus menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksinasi kini sebanyak 24,033,988 dos.

    Secara keseluruhannya, 66.4 peratus atau kira-kira 15.5 juta penduduk negara ini sudah menerima satu dos vaksin, manakala 36.3 peratus penduduk, atau 8.4 juta penduduk sudah lengkap menerima dua dos vaksin.