Tag: Dominic Lau

  • PRN: PN selesai runding 90 peratus kerusi, kata Dominic Lau

    PRN: PN selesai runding 90 peratus kerusi, kata Dominic Lau

    TIMBALAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, gabungan politik itu akan berunding lagi bagi menyelesaikan agihan kira-kira 10 peratus baki kerusi untuk ditandingi parti komponen paling sesuai pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Beliau yang juga Presiden Gerakan berkata, rundingan pengagihan kerusi untuk ditandingi PN bagi PRN di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan, setakat ini sudah 90 peratus selesai.

    “PN sudah mengadakan perbincangan dan rundingan dengan pimpinan parti di keenam-enam negeri yang akan terlibat dalam PRN akan datang. Jika kerusi itu majoriti pengundinya adalah Melayu atau Cina, tak ada masalah besar, ia sudah diagihkan.

    “Saya difahamkan setakat ini (pengagihan kerusi) sudah berada di tahap 90 peratus (selesai), hanya 10 peratus akan diusahakan siapa bakal mewakili PN dalam PRN akan datang dengan satu objektif sahaja, siapa boleh menang.

    “Bagi Gerakan, kami tidak mengutamakan kerusi tradisi, kami serahkan kepada pimpinan PN Pusat untuk tentukan dan kami sudah serahkan senarai kerusi yang hendak ditandingi Gerakan kepada PN Pusat,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Beliau menyatakannya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung ke-24 Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM), di Gombak hari ini.

    Mengulas lanjut Dominic Lau menyifatkan rundingan berkaitan pengagihan kerusi dalam kalangan parti komponen PN sebagai memuaskan.

    “Lazim dalam mana-mana parti politik, terdapat beberapa kerusi (ingin ditandingi parti tertentu) bertindih dengan rakan parti komponen, terutamanya kerusi (pengundi) campuran,” katanya.

    Selain memilih parti komponen mana berpotensi menang di kerusi yang ditandingi nanti, beliau berkata, calon dan strategi yang betul juga perlu diketengahkan.

    “Beberapa strategi mesti digunakan untuk memastikan kemenangan PN dalam PRN akan datang. PRN ini akan jadi satu petunjuk prestasi utama atau KPI kepada PN untuk menilai sokongan rakyat dari semua lapisan, semua kaum.

    “Gerakan akan lebih fokus kepada Pulau Pinang. Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy sebelum ini kata sokongan orang Melayu adalah kepada PN dan sokongan orang Cina pula kepada PH.

    “Saya mahu katakan PN akan cuba dapatkan sokongan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, budaya. Asalkan rakyat Malaysia layak mengundi, kita akan usaha dapatkan sokongan mereka,” katanya yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang.

    Sebagai Presiden Gerakan, katanya, beliau perlu memastikan parti berkenaan boleh menang di semua kerusi di enam negeri yang ditandingi.

    “Gerakan Pulau Pinang akan mengadakan mesyuarat esok untuk membuat persediaan menghadapi PRN. Fokus mesyuarat pada strategi dan taktik yang boleh dapatkan sokongan rakyat kepada PN kerana sumber kewangan parti agak ketat selepas akaun dibekukan,” katanya.

  • Peruntukan pembangkang: `Jangan hukum pengundi PN’, kata Dominic Lau

    Peruntukan pembangkang: `Jangan hukum pengundi PN’, kata Dominic Lau

    PRESIDEN Gerakan Datuk Dominic Lau Hoe Chai meminta kerajaan tidak mengamalkan sikap balas dendam kepada Ahli Parlimen pembangkang dan menghukum pengundi Perikatan Nasional (PN) dengan pemberian peruntukan yang tidak sama kepada wakil rakyat terbabit.

    Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, Ahli Parlimen pembangkang sewajarnya menerima peruntukan yang sama dengan pemimpin kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

    “Di manakah model keadilan dan reformasi yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim? Tindakan itu menunjukkan kerajaan campuran ini seolah-olah menghukum rakyat kerana mengundi PN dan tindakan itu ternyata tidak adil.

    “Kita mahu pengundi di kawasan PN juga dapat menikmati layanan dan faedah yang sama seperti kawasan yang dimenangi oleh parti kerajaan campuran.

    “Ini kerana ego dan kuasa yang ditonjolkan kerajaan campuran pada hari ini boleh membinasakan negara. Ketepikan perbezaan dan bersedialah membantu rakyat,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid memaklumkan, Kerajaan Perpaduan secara dasar bersedia memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, namun ia hanya membabitkan perbelanjaan berkaitan hal pentadbiran.

    Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, rundingan berkaitan peruntukan berkenaan sedang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.

    “Di peringkat awal, kita setuju (beri peruntukan) untuk perbelanjaan pentadbiran. Ketika ini, Datuk Seri Fadillah Yusof mengadakan siri perbincangan bersama wakil pembangkang bagi memuktamadkan keputusan.

    “Jumlah peruntukan hanya dapat diputuskan selepas rundingan terbabit selesai dan kemudiannya akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

    Mengulas lanjut, Dominic Lau meminta kerajaan untuk meneliti semula keputusan itu dan menasihatkan Ahmad Zahid untuk duduk bersama kepemimpinan PN bagi menyelesaikan isu peruntukan itu demi kesejahteraan rakyat.

  • Elak caj yuran sekolah bebankan ibu bapa, kata Dominic Lau

    Elak caj yuran sekolah bebankan ibu bapa, kata Dominic Lau

    KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) diminta memberi penjelasan mengenai caj yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah yang didakwa sangat membebankan ibu bapa.

    Menurut Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, segelintir ibu bapa mempertikaikan tindakan sekolah yang masih meminta bayaran sedangkan KPM telah memansuhkannya pada tahun 2011.

    Beliau berkata, usaha itu untuk memastikan ibu bapa tidak dibebankan dengan bayaran yang tidak berkaitan masalah persekolahan serta kenaikan kos sara hidup kebelakangan ini.

    “Saya minta KPM menyatakan bagaimana kementerian akan menyelia caj yuran dikenakan oleh PIBG di sekolah yang membebankan pihak ibu bapa.

    “Adakah kerajaan sedar bahawa sebelum ini telah memansuhkan setiap bentuk yuran dalam usaha mengurangkan beban kewangan,” katanya pada sidang Dewan Negara, hari ini, lapor Harakahdaily.

    Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Peraturan Pendidikan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) 1998 membenarkan PIBG mengutip dana serta sumbangan.

    Langkah itu katanya diputuskan dalam mesyuarat agung tahunan serta dimaklumkan kepada Pengarah Pendidikan Negeri sebagai Pendaftar Negeri.

    “KPM tidak menetapkan sebarang bayaran yuran di sekolah, tetapi sentiasa memantau dan memastikan sekolah mematuhi prosedur yang ditetapkan supaya tidak membebankan ibu bapa.

    “Dalam hal ini, surat siaran KPM Bilangan 4 Tahun 2011 garis panduan kutipan bayaran keperluan sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan adalah berkaitan sebagai rujukan,” katanya.

    Malah, katanya KPM mengulangi perkara itu menerusi surat pemakluman sumbangan PIBG pada 15 September 2021 memberi peringatan sekolah tidak mengenakan bayaran tambahan.

    Beliau yakin peranan besar yang dimainkan oleh PIBG dapat memastikan pembangunan pendidikan murid dan kemajuan sekolah dapat direalisasikan tanpa membebankan ibu bapa.

    “Ibu bapa dan penjaga murid digalakkan memberi sokongan penuh kepada PIBG dalam apa jua aktiviti yang dirancang termasuk dalam usaha mendapatkan sumbangan.

    “Ini untuk membantu sekolah dalam aspek program pengurusan sekolah,” katanya.

  • Gerakan bangga berjuang dengan PN lawan kezaliman, kleptokrasi

    Gerakan bangga berjuang dengan PN lawan kezaliman, kleptokrasi

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) hari ini mempersoal tindakan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang kini dilihat lebih kerap menyebelahi agensi atau mana-mana syarikat berbanding menjaga kepentingan rakyat.

    Presidennya, Senator Datuk Dr Dominic Lau berkata, setiap kali ada masalah yang berbangkit, termasuk kenaikan kadar dasar semalaman (OPR)dan harga barang, maka kehendak rakyat akan diabaikan.

    “Ini bukan yang rakyat mahukan. Rakyat mahu jalan penyelesaian seperti jatuhkan harga barang tetapi apa yang Anwar buat, jatuhkan musuh politik. Jadi kepentingan rakyat letak dimana? katanya, lapor Agenda Daily.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat Gerakan hari ini.

    Dominic pada masa sama turut mengkritik kegegalan Menteri Pengangkutan kerajaan PH-BN, Anthony Loke yang dilihatnya tidak berupaya menyelesaikan masalah harga syiling tiket kapal terbang.

    “Menurut Anthony, penurunan harga boleh menjejaskan dan memberi kesan buruk kepada sektor penerbangan.

    “Ia saya tidak nafikan… tetapi kerajaan juga boleh nasihat atau beri amaran tegas kepada syarikat penerbangan yang menaikkan harga melampau akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya.

    Mengulas kes Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia, Dominic Lau berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan kepada semua individu yang terlibat tanpa mengira pangkat atau status.

    “Sesiapa sahaja yang terlibat perlu dipanggil, walaupun individu tersebut orang kenamaan, menteri atau pun Timbalan Perdana Menteri sekali pun.

    “Gerakan menyambut baik perkara ini dan saya yakin SPRM akan melakukan kerja dengan amanah, adil dan tegas,” katanya.

    Sementara itu beliau berkata, Gerakan akan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-55 pada 24 Mac ini.

    “Walaupun Gerakan masih belum berjaya memperoleh kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Johor, dan Pilihan Raya Umum Ke-15 baru-baru ini, tetapi tetap bangga berjuang bersama-sama rakan-rakan dalam Perikatan Nasional, melawan pemerintahan yang zalim, tidak profesional dan kleptoraksi.

  • KWSP: Cadangan Anwar tidak bijak, Gerakan saran skim pinjaman ahli memerlukan

    KWSP: Cadangan Anwar tidak bijak, Gerakan saran skim pinjaman ahli memerlukan

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyifatkan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan caruman ahli dijadikan cagaran pinjaman bank sebagai tidak bijak.

    Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, ini kerana pengeluaran wang simpanan KWSP adalah hak ahli bukannnya hak kerajaan.

    Sebaliknya beliau mencadangkan KWSP mewujudkan skim pinjaman khas untuk ahlinya yang memerlukan untuk menyelesaikan masalah kewangan mereka.

    Menurutnya, KWSP boleh mengenakan kadar faedah lebih rendah kepada peminjam dalam skim itu berbanding bank.

    “Jika membuat pinjaman daripada bank, ia akan memberi lebih masalah kepada ahli KWSP kerana terpaksa membayar kadar faedah yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut Dominic berkata, menerusi langkah itu KWSP juga dapat memberi faedah kepada pencarum dalam bentuk dividen termasuk kepada ahli yang membuat pinjaman.

    Dominic berpendapat, selain itu wang simpanan pencarum KWSP tidak akan terjejas kerana pinjaman perlu dibayar balik dan KWSP boleh memanfaatkan faedah yang diperoleh daripada pencarum KWSP melalui dividen tahunan.

    Katanya, jika pencarum menggunakan wang simpanan mereka untuk membayar pinjaman bank, ahli KWSP juga perlu membayar kadar faedah yang ditetapkan oleh bank.

    “Ini boleh diumpama seperti membuat pinjaman dengan ceti haram. Kenapa jadikan wang simpanan KWSP sebagai cagaran? Itu hak rakyat bukan duit kerajaan atau bank,” katanya.

    Beliau berkata langkah itu juga akan menambahkan lagi beban kewangan rakyat kerana terpaksa bayar faedah pinjaman.

    “Ini (cagaran wang KWSP) bukan membantu tapi menyusahkan dan menambah hutang rakyat,” katanya.

  • PRN: Pemimpin GERAKAN diarah adakan pelbagai program dekati pengundi

    PRN: Pemimpin GERAKAN diarah adakan pelbagai program dekati pengundi

    SEBAGAI persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, pemimpin Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) di peringkat negeri dan bahagian diarah mengadakan pelbagai program bersama masyarakat dalam usaha mendekati pengundi.

    Menurut Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, parti itu akan mengambil kesempatan kehadiran pelbagai perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Poongal, Thaipusam, selain kedatangan Ramadan dan Aidilfitri untuk mengadakan program sedemikian.

    “Perkara ini diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat Parti GERAKAN pagi tadi. Semua Ketua Bahagian akan diarahkan mengadakan program di kawasan masing-masing sebagai persiapan menghadapi PRN.

    “Mereka juga diingatkan bahawa GERAKAN bertanding di bawah Perikatan Nasional (PN), oleh itu jalinan bersama semua komponen parti adalah sangat penting.

    “Justeru, kita akan mengadakan program bersama untuk mendekati pengundi dan rakyat untuk mendapatkan sokongan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

    Yang turut hadir, Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong dan Naib Presiden GERAKAN, Datuk G Parameswaran.

    Mesyuarat sama juga memutuskan pemimpin GERAKAN akan mengadakan lawatan hormat ke atas semua pemimpin PN, Pengerusi Negeri, Perhubungan Negeri di enam negeri terbabit dalam masa terdekat.

    “Ini bertujuan mengadakan rundingan mengenai kerusi atau kawasan yang kita ingin bertanding, kita sudah berikan senarai kawasan itu kepada semua pemimpin Pengerusi Perhubungan PN melalui Pengerusi Perhubungan Negeri GERAKAN.

    “Seterusnya menerusi rundingan berkenaan, kita berharap segala keputusan (kawasan) dapat dibuat dengan lebih awal supaya dapat membuat persiapan menghadapi PRN,” katanya.

    Berkenaan calon untuk PRN, beliau menjelaskan pihaknya ada membincangkan perkara itu dalam mesyuarat hari ini terutamanya kriteria yang diperlukan sebagai calon

    “Kali ini memang kita hendak letakkan calon yang memenuhi kriteria utama ditetapkan iaitu siapa yang boleh memberi kemenangan untuk PN. Ini yang paling penting, buat apa kita letak calon yang tidak boleh menang.

    “Bukan sahaja ‘winnable candidate’ (calon yang boleh menang), kita juga mengadakan satu kajian calon kita di kawasan yang dia ingin bertanding.

    “Ia bagi mengetahui kebolehterimaan rakyat atau pengundi di kawasan itu, sama ada mereka boleh menerima calon yang kita letakkan atau sebaliknya.

    “Oleh itu itu, adalah amat penting untuk kita membuat persediaan awal kerana masa yang ada memang singkat,” katanya.

    Dominic berkata, walaupun senarai calon untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)sudah diputuskan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, namun ia akan diteliti semula.

    “Pada masa itu, kita tidak tahu bahawa enam negeri terbabit tidak membubarkan DUN masing-masing dan senarai calon serta parti komponen mana yang akan mewakili PN memang sudah ada.

    “Tetapi untuk kali ini (PRN), kita akan buat lebih teliti, untuk meletakkan calon yang lebih sesuai sama ada calon Melayu atau Cina atau India dan rundingan akan diadakan merujuk keputusan PRU15, maka penting untuk kita buat keputusan yang betul kerana kita mahu calon kita menang.

    “Jumlah calon GERAKAN, PAS dan BERSATU yang akan bertanding itu tidak penting berbanding calon manakah yang boleh menang kerusi dipertandingkan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Selain itu, pihaknya menjangka DUN di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan dibubarkan pada April atau Mei nanti dan hari mengundi kemungkinan jatuh pada Mei.

  • PN bukan gabungan parti politik ekstremis – Dominic Lau

    PN bukan gabungan parti politik ekstremis – Dominic Lau

    PRESIDEN GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mendakwa parti ekstremis yang sebenar adalah UMNO, bukannya Perikatan Nasional (PN) seperti kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

    “Selepas bertahun-tahun Lim Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang mencaci UMNO, kini bolehkah DAP menafikannya?” katanya yang juga Timbalan Pengerusi PN, dalam satu kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, Guan Eng dilaporkan mendakwa, PN mengambil sikap perkauman dan ekstremis berdasarkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang kesal dengan peratusan keluar mengundi orang Islam dalam PRU15.

    Kata bekas Menteri Kewangan itu, bukan Islam bukannya memusuhi Islam, sebaliknya penentangan terhadap PAS disebabkan parti itu yang dilihatnya terus mengancam dan mengurangkan hak asasi termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta campur tangan dalam gaya hidup orang bukan Islam.

    Pada masa sama Dominic turut menempelak Guan Eng yang menuduh GERAKAN sebagai ‘Boneka Rakan Sejenayah Pas’, sedangkan katanya, DAP yang banyak bekerjasama dengan Pas, iaitu sejak 1999 dengan kali pertama digandingkan dalam Barisan Alternatif.

    “Pada Pilihan Raya Umum ke-12, DAP sekali lagi bersama dengan parti Pas dan PKR untuk menubuhkan Pakatan Rakyat bagi bekerjasama dalam politik selama tiga tahun. Adakah Lim Guan Eng lupa bahawa DAP pernah bekerjasama dengan Pas?

    “Sekurang-kurangnya GERAKAN tidak sombong, sebaliknya hormat dengan Pas. Sebelum DAP bekerjasama dengan Pas, pengaruh politik Pas pada asalnya hanya di Pantai Timur.

    “Selepas bekerjasama dengan PN, Pas berkembang hingga ke Perak, Kedah dan Selangor,” katanya yang secara sinis, turut meluahkan rasa malu kerana GERAKAN tidak banyak memberi bantuan kepada Pas berbanding DAP.