Tag: dokumen palsu

  • Ketua UMNO Bahagian Shah Alam didakwa salah guna peruntukan korban, anak yatim

    Ketua UMNO Bahagian Shah Alam didakwa salah guna peruntukan korban, anak yatim

    KETUA UMNO Bahagian Shah Alam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan peruntukan program korban dan anak yatim berjumlah RM440,000 dan menggunakan dokumen palsu.

    Datuk Azhari Shaari, 53, didakwa atas  tiga pertuduhan iaitu sebagai penandatangan tunggal akaun bank bagi Persatuan Belia Kampung Kuantan Timur,  Persatuan Belia Bersatu Teguh Shah Alam dan Persatuan Belia Kampung Kuantan Utara secara tidak jujur menyalahgunakan dana bagi program ibadah korban dan sumbangan pakaian sekolah anak yatim masing-masing sebanyak RM120,000; RM120,000 dan RM200,000.

    Dia dituduh melakukan kesemua perbuatan itu di sebuah cawangan bank di Pelabuhan Klang, Klang pada 8 dan 27 Sept 2017.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan serta maksimum lima tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Azhari juga didakwa atas  tiga pertuduhan menggunakan tiga minit mesyuarat agung tahunan pada 2009 daripada persatuan-persatuan sama sebagai tulen, yang tertuduh ketahui ia adalah dokumen palsu.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di cawangan bank sama pada 19 Mei 2010 dan pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun serupa yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai menawarkan jaminan RM100,000 dengan dua penjamin bagi keenam-enam pertuduhan serta syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

    Azhari yang diwakili peguam S. Ashok Kandiah memohon jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya adalah penanggung utama keluarga selain kini tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.

    Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan dua orang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 13 April untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Dokumen palsu: Pemilik syarikat, penolong jurutera MBIP ditahan SPRM

    Dokumen palsu: Pemilik syarikat, penolong jurutera MBIP ditahan SPRM

    Oleh:Bernama

    SEORANG pemilik syarikat kontraktor dan seorang penolong jurutera Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu bagi tujuan mendapatkan kelulusan kerja-kerja MBIP dengan nilai tuntutan lebih RM350,000.

    Menurut sumber, kelulusan kerja-kerja MBIP itu melibatkan kerja mengikis permukaan jalan dan menurap semula jalan serta mengecat semula petak meletak kenderaan sepanjang 2018 hingga 2020.

    “Kedua-dua individu lelaki dan perempuan berusia 36 dan 45 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6 petang, semalam di Pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

    “Hasil siasatan mendapati penolong jurutera berkenaan telah bersubahat bersama pemilik syarikat kontraktor yang mempunyai dua syarikat berdaftar miliknya dengan mengemukakan dokumen dan sijil palsu,” menurut sumber itu di sini hari.

    Sumber mendedahkan dokumen dan sijil Perolehan Kerja Kerajaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Perakuan Pendaftaran CIDB Malaysia dan sijil Kontraktor Kerja Taraf Bumiputera dengan Kementerian Kewangan yang mengandungi butir matan palsu itu dikemukakan kepada MBIP bagi mendapatkan kelulusan kerja.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara maksimum 20 tahun.

    Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

    Sementara itu, Majistret Nurmadiana Mamat membenarkan permohonan reman ke atas kedua-dua individu bermula hari ini sehingga 14 Ogos depan.- BERNAMA