Tag: doktor

  • Lelaki tumbuk, sepak doktor warga emas ditahan

    Lelaki tumbuk, sepak doktor warga emas ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes mendatangkan kecederaan dan ugutan terhadap seorang lelaki warga emas dalam satu kejadian di sekitar Ampang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, suspek yang menaiki kereta jenis Mercedes berwarna putih melanggar bahagian belakang kereta dipandu seorang doktor berusia 67 tahun di lampu isyarat Jalan Kolam Air Lama.

    “Apabila tiba di hadapan sebuah stesen minyak berhampiran, kereta mangsa dihalang dari arah hadapan oleh kereta suspek yang kemudian turun dan membuka pintu kereta doktor berkenaan.

    “Suspek kemudian menumbuk pipi kanan selain menarik rambut dan menyepak mangsa di bahagian pinggang menyebabkan dia berasa sakit. Kejadian itu dirakam pengguna jalan raya sehingga tular dalam media sosial, semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata suspek berumur 27 tahun ditahan pada 9.45 malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya setelah hadir memberi keterangan.

    “Suspek memukul mangsa kerana tidak berpuas hati selepas arahannya supaya memberhentikan kenderaan tidak diendahkan mangsa setelah kenderaan mereka berlanggar,” katanya dan menambah permohonan reman akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.

    Beliau berkata suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan hasil ujian saringan air kencing ke atasnya negatif. – BERNAMA

  • Fokus tingkatkan khidmat kesihatan rakyat berbanding isu lain

    Fokus tingkatkan khidmat kesihatan rakyat berbanding isu lain

    DI mana-mana negara pun, isu kesihatan adalah perkara penting yang sering dititikberatkan kerana ia berkait secara langsung dengan nyawa manusia.

    Oleh sebab itu, apabila berlaku apa-apa isu yang berkaitan dengan soal kesihatan, ia akan sentiasa mendapat perhatian daripada rakyat.

    Baru-baru ini apabila ada pesakit yang mengamuk di Hospital Serdang kerana terpaksa menunggu terlalu lama, maka kita dapat merasai apa yang dilalui oleh pesakit itu.

    Ini kerana bagi rakyat biasa yang bergantung kepada rawatan di hospital kerajaan, menunggu lama itu adalah kebiasaan dan sudah menjadi budaya.

    Tok Chey sendiri apabila mahu mendapatkan rawatan di klinik kerajaan sebagai pesakit luar perlu mengambil cuti sehari kerana proses untuk menunggu sebelum dapat berjumpa doktor adalah terlalu lama.

    Ditambah pula dengan ruang menunggu yang sesak dengan pesakit yang datang dengan segala macam penyakit, keadaan di ruang menunggu sebenarnya membuat pesakit bertambah tertekan.

    Jika melibatkan penyakit yang memerlukan pandangan doktor pakar, maka temujanji memakan masa berbulan-bulan belum lagi penentuan tarikh untuk pembedahan dan sebagainya.

    Itu belum lagi menyentuh isu kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) hospital yang sering menimbulkan rungutan daripada orang ramai yang kurang berpuas hati dengan situasi yang berlaku ketika ini.

    Semua itu disebabkan sistem kesihatan negara kita yang semakin kritikal berdasarkan nisbah terkini seorang doktor untuk 1,000 pesakit, jauh daripada sasaran kerajaan iaitu 1:400 pesakit menjelang tahun 2025.

    Rentetan kelemahan ini, yang menjadi mangsa ialah doktor, jururawat dan petugas kesihatan yang terpaksa bekerja melebihi kemampuan menyebabkan mereka sentiasa tertekan dan mahu berhenti kerja atau ‘lari’ bekerja di luar negara.

    Makin merumitkan keadaan apabila masalah yang membelenggu doktor kontrak masih belum ditangani dengan berkesan hingga tercetus khabar angin mengatakan akan berlaku mogok menuntut beberapa jaminan kerajaan dalam masa depan kerjaya mereka.

    Walaupun menteri kesihatan kerajaan perpaduan sudah mengeluarkan kenyataan dan cadangan untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan, ia dilihat sekadar cantik di atas kertas kerana tidak dapat menyelesaikan isu berbangkit secara total.

    Maka, rakyat secara keseluruhannya amat mengharapkan pimpinan kerajaan ketika ini supaya lebih agresif untuk menyelesaikan masalah yang berlaku bagi mengelakkan sistem kesihatan awam menjadi lebih kritikal.

    Usah jadikan alasan masalah yang berlaku adalah warisan kerajaan terdahulu kerana menteri yang dilantik dan kerajaan yang dipilih adalah untuk menjaga kebajikan rakyat.

    Fokus kepada apa yang rakyat mahukan dan bukannya kepada perkara lepas yang sudah terbukti berkesan dalam melindungi nyawa rakyat.

    Contohnya, rakyat amat berterima kasih kepada tindakan kerajaan sebelum ini yang proaktif dalam melindungi nyawa rakyat melalui pemberian vaksin Covid-19 yang sudah terbukti dapat membawa rakyat Malaysia mengharungi badai pandemik dua tahun lalu.

    Walaupun ada yang meninggal dunia akibat daripada virus itu, kita harus bersyukur kerana ramai lagi yang berjaya dihindarkan daripada musibah berkenaan melalui sistem kawalan dan operasi agihan vaksin yang efisien.

    Oleh itu, dengan beria-ia mahu mendedahkan kertas putih perolehan vaksin di Parlimen akan dianggap oleh rakyat sebagai ada agenda tertentu untuk mencari kesalahan kepimpinan kerajaan yang terdahulu.

    Adalah lebih baik pasukan khas yang ditubuhkan untuk meneliti kertas putih itu fokuskan tenaga, masa dan kepakaran mereka bagaimana untuk melipatgandakan usaha dalam memberi perkhidmatan yang lebih baik di hospital-hospital kerajaan.

  • Jumlah doktor di hospital kerajaan masih kurang – HDK

    Jumlah doktor di hospital kerajaan masih kurang – HDK

    JUMLAH doktor di negara ini masih kurang berbanding yang diperlukan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, dakwa Jurucakap Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK), Dr Muhammad Yassin.

    Menurutnya, biarpun Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan penambahan 4,914 perjawatan tetap yang dikhususkan kepada pegawai perubatan, pergigian dan farmasi yang ditawarkan pada tahun ini, ia masih tidak meningkatkan angka doktor di negara ini.

    Jelas beliau, ini kerana jumlah itu hanya membabitkan bilangan sedia ada yang hanya bertukar status daripada kontrak kepada lantikan tetap.

    “Pertambahan perjawatan itu tidak meningkatkan bilangan doktor dalam KKM kerana jumlah itu hanya bertukar status, realitinya bilangan doktor masih sangat kurang berbanding yang diperlukan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

    “Kami tiada data berkenaan baki kakitangan kontrak berikutan hanya KKM mempunyai maklumat lanjut, kerana terjadi perubahan besar angka doktor kontrak dalam perkhidmatan sejak HDK ditubuhkan pada Julai 2021 selepas sistem kontrak diperkenalkan pada Disember 2016.

    “Ini kerana ramai sudah ditawarkan jawatan tetap, selain yang baru dilantik sebagai kontrak dan sebahagiannya pula meninggalkan KKM.

    “Namun difahamkan, terdapat lebih 20,000 doktor kontrak dalam perkhidmatan awam yang ada sekarang, sekali gus menyebabkan masa depan mereka tidak menentu jika tiada usaha dibuat bagi membantu mereka mendapatkan jawatan tetap yang diperlukan,” katanya, lapor Berita Harian, hari ini.

    Pada September 2021, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, sejak akhir 2016, setiap pegawai perubatan latihan siswazah dilantik secara kontrak iaitu lebih 24,000 orang, namun yang ditawarkan secara tetap hanya 1,000 saja.

    Menerusi pembentangan Belanjawan 2022, Khairy dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju menyambung pelantikan secara kontrak 10,583 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi dengan peruntukan RM336.35 juta dan daripada jumlah itu, seramai 4,186 pegawai sudah dilantik mulai Jun hingga Oktober 2022.

    Untuk rekod, hampir 5,000 doktor kontrak membabitkan 948 pakar perubatan dan 4,028 pegawai perubatan meletakkan jawatan sejak 2016 hingga Jun 2021.

    Sementara itu, Dr Muhammad berkata, pekerja kesihatan lain juga wajar diberi perhatian untuk dilantik ke jawatan tetap demi kelancaran sistem kesihatan di negara ini.

    “Selain pegawai perubatan, pergigian, farmasi, pekerja kesihatan kontrak lain iaitu jururawat, penolong pegawai perubatan, penolong pegawai persekitaran kesihatan, pegawai dietitik, pegawai fisioterapi dan penolong pegawai sains perlu diberi perhatian,” katanya.

  • Pemuda menyamar doktor diarah jalani khidmat masyarakat 120 jam

    Pemuda menyamar doktor diarah jalani khidmat masyarakat 120 jam

    SEORANG pemuda dari Bandar Baru Semariang diarahkan menjalani perintah khidmat masyarakat selama 120 jam atas kesalahan menyamar sebagai doktor di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

    Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zubaidah Sharkawi terhadap Shah Hairil Izman Dave, 20, setelah meneliti laporan sosial dikemukakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini.

    Tertuduh pada 6 Julai lalu mengaku bersalah di atas pertuduhan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

    Oleh itu, mahkamah menetapkan hari ini untuk mendengar laporan sosial dan seterusnya menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.

    Mahkamah kemudiannya memutuskan tertuduh dijatuhi hukuman Perintah Khidmat Masyarakat sebanyak 120 jam agregat dalam tempoh satu tahun mengikut Seksyen 293(1)(e) Kanun Tatacara Jenayah.

    Tertuduh didakwa menyamar sebagai pegawai perubatan (doktor) pada 16 Jun sehingga 1 Julai 2021 di PPV Stadium Perpaduan Petra Jaya, di sini.

    Siasatan polis juga mendapati tertuduh memiliki pas kakitangan palsu Hospital Umum Sarawak (HUS).

    Difahamkan, tertuduh pernah pergi ke HUS kira-kira 32 kali untuk menyamar sebagai doktor.

    Dia juga dikatakan telah membeli peralatan seperti baju scrub berwarna merah dan biru, stetoskop, oksimeter nadi dan menempah cap atas nama Dr. Shah Hairil Izwan.

    Tertuduh bagaimanapun ditahan polis di PPV Stadium Perpaduan Petra Jaya kira-kira pukul 3 petang pada 1 Julai 2021.

    Ini selepas seorang doktor lelaki berusia 25 tahun yang juga pengadu mendapati tertuduh mempamerkan perbuatan mencurigakan di PPV tersebut.

    Pengadu kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.