Tag: ditolak

  • Dakwaan sekolah agama sebabkan perkauman ditolak – Pakar, NGO

    Dakwaan sekolah agama sebabkan perkauman ditolak – Pakar, NGO

    PAKAR hubungan etnik dan badan bukan kerajaan (NGO) menolak dakwaan seorang penganalisis politik yang mengatakan kebanjiran sekolah agama menyebabkan lahirnya generasi orang-orang Melayu yang bersifat perkauman.

    Menurut mereka, tiada satu data yang membuktikan sekolah agama menjadi punca kebangkitan sentimen Melayu dan Islam yang menebal sehingga menyebabkan Perikatan Nasional (PN) menjadi begitu kuat.

    Pengarah dan pengasas Institut Kajian Etnik (Kita) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Shamsul Amri Baharuddin berkata, ia merupakan andaian semata-mata tanpa sebarang bukti.

    “Ini hipotesis tanpa bukti yang datang dari pihak yang takut dengan gelombang hijau.

    “Sentimen perkauman tidak datang daripada hipotesis tersebut,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Beliau mengulas mengenai kenyataan penganalisis politik James Chin di Twitter yang mengatakan sekolah agama akan menjadi lubuk perkauman berdasarkan data bilangan sekolah agama berdaftar yang dimuat naiknya.

    “Perlu saya katakan dengan lebih jelas, lebih 4,000 sekolah agama yang berdaftar di seluruh negara ini tidak termasuk yang tidak berdaftar) menjadi medan pendidikan bagi kaum Melayu, Islam dengan persekitaran atau pergaulan antara kaum lain yang sangat terhad atau mungkin tidak ada langsung.

    “Adakah ini sebab mereka begitu berasa was-was dengan kaum Cina dan India,” katanya.

    Shamsul menambah salah faham yang sama turut berlaku dalam isu melibatkan isu 3R (agama, raja dan kaum).

    Beliau berkata, polemik 3R ini hanya dilihat lebih berat kepada kaum Melayu atau parti Melayu sedangkan ia wujud dalam setiap kumpulan etnik dalam negara ini.

    “Sentimen 3R ini dalam politik Malaysia adalah sebahagian yang kita sebut ‘identiti politik’.

    “Situasi ini wujud apabila kebanyakan parti politik mendakwa mereka mewakili suara dan perjuangkan setiap daripada kumpulan etnik yang ada.

    “Kerana itu 3R ini wujud dalam setiap kumpulan kaum di negara ini bukan hanya kepada Melayu sahaja,” katanya.

    Islam menolak perkauman

    Sementara jurucakap Gagasan Bangsa, Aminuddin Yahaya berkata persepsi itu tidak berasas kerana hakikatnya kecenderungan ibu bapa menghantar anak mereka ke institusi pendidikan tersebut adalah kerana timbulnya kesedaran melihat pentingnya untuk mengimbangi antara mata pelajaran umum dan pengajian Islam.

    “Ramai ibu-bapa menghantar anak mereka ke sekolah agama kerana mereka bimbang dengan pendidikan yang ada sekarang tidak menekankan soal agama sangat.

    “Ya lah dulu bila ada cadangan untuk ajar tulisan jawi untuk diletakkan dalam silibus mata pelajaran, kita dihalang bukan main.

    “Jadi inilah kebimbangan ibu bapa hanya bertumpu kepada soal pendidikan agama anak-anak dan perkara ini tidak akan melahirkan perkauman yang menebal,” katanya.

    Tambahnya, pihak yang membuat dakwaan itu sebenarnya tidak memahami agama Islam itu sendiri yang tidak akan mengajar umatnya untuk membenci kaum lain.

    “Bekas ketua polis negara, Musa Hassan sebelum ini pernah kata kaum Cina tidak akan wujud dalam negara jika betul sekolah agama ini melahirkan generasi Melayu yang bersifat perkauman.

    “Tapi ini adalah hasil pendidikan agama Islam yang tidak pernah mendidik umatnya untuk bersifat perkauman, bagi saya itu hanya persepsi semata-mata,” katanya.

    Chin turut mengaitkan senario tersebut akan menjadi faktor kemenangan parti yang berorientasi Melayu-Islam akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17).

    Biarpun tidak menyebut nama mana-mana parti, dipercayai Chin dari Unversiti Tasmania, Australia yang merujuk kepada gabungan PN.

    “Saya tidak perlu sebut siapa yang akan menang, seawal PRU17 dan selepas itu.

    “Kita mungkin boleh bercakap tentang reformasi pendidikan dan kepelbagaian budaya selamanya tapi anda tidak boleh mengubah hakikat di bawah. Masa depan Malaysia diputuskan sekarang di sekolah ini,” katanya.

    Bagaimana dengan sekolah vernakular?

    Aminuddin berkata sepatutnya orang-orang Melayu yang mempersoalkan sekolah vernakular yang menyebabkan jurang perkauman.

    Katanya, sekolah vernakular sepatutnya dihapuskan kerana menjejaskan perpaduan dan menyebabkan bahasa kebangsaan terpinggir.

    Beliau memberi contoh bagaimana DAP ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pusat 22 bulan selepas menang pada 2018 banyak membuat keputusan yang seolah mencabar hak orang Melayu-Islam di negara ini.

    “Contoh masa itu mereka cuba meratifikasi enam triti hak asasi manusia termasuk Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

    “Mereka yang tak nak asimilasi dengan budaya kita. Sebab itu kita jangan lihat hanya satu aspek sahaja tengok sama ada orang nak undi sana atau nak undi sini.

    “Kita boleh dengar sendiri dalam kempen mereka yang menguar-uarkan kenyataan sensitif kepada umat Islam. Jadi sebenarnya merekalah yang mencetuskan sentimen takut kepada orang Islam,” katanya.

    Katanya, sejarah juga membuktikan menerusi tulisan buku tokoh-tokoh peneroka Inggeris yang datang ke Tanah Melayu seperti Frank Swettenham, Hugh Clifford yang memuji sikap dan adab orang Melayu.

    “Tulisan mereka ini sebagai contoh bagaimana sikap orang Melayu ini dari dulu sangat bertoleransi, berbudi bahasa pada masa sama sangat berdikari dan kreatif, kita kena tengok balik sejarah ini,” katanya.

    Sementara Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Teo Kok Seong bersetuju bahawa struktur atau persekitaran pembelajaran di sekolah agama membawa kepada kesukaran untuk menerima kaum lain.

    Tapi beliau menolak situasi itu dilabelkan sebagai sentimen yang menaikkan perkauman sebaliknya ayat lebih tepat lagi ialah “kekauman”.

    “Ia mengundang kepada sifat ‘kekauman’ tapi bukan perkauman. Itu memang tidak dapat nak elakkan sebab mereka tidak bergaul dengan kaum lain, persekitaran mereka tidak terdedah jadi kita tak dapat nak nafikan itu.

    “Kalau perkauman itu sikap mendiskriminasi tapi itu tidak wujud dan tidak berlaku cuba isunya mereka hanya tidak bergaul dengan kaum lain,” katanya.

  • Tiga pencalonan Ketua Pemuda UMNO ditolak

    Tiga pencalonan Ketua Pemuda UMNO ditolak

    TIGA calon yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti kali ini bagi sesi 2023-2023 ditolak, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

    Menurut beliau, keputusan itu diambil berikutan kesemua individu itu tidak memenuhi kelayakan perlembagaan parti.

    Bagaimanapun Shahrir tidak menjelaskan lebih lanjut senarai tiga calon yang telah ditolak itu.

    “Yang kita tolak Ketua Pemuda tiga (calon) atas (faktor) kelayakan yang tidak memenuhi perlembagaan parti,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau ditemui pemberita selepas proses cabutan nombor undi di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

    Sementara itu, dalam perkembangan sama, Shahrir turut memaklumkan lapan calon sah bertanding untuk merebut jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti bagi sesi kali ini.

    Dua calon itu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid disahkan bertanding bagi mempertahankan jawatan tertinggi parti berkenaan.

    Calon lain termasuk tiga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

    Tiga calon lagi adalah Ahli Parlimen Simpang Renggam yang juga bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa@Jamaludin.

    Dalam pada itu, enam calon disahkan merebut jawatan Ketua Puteri UMNO iaitu Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin; Exco Puteri UMNO, Dr Masliha Harun dan Naib Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi.

    Tiga calon lain adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Exco Puteri UMNO, Fadwah Anuwar dan Setiausaha Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan.

    Dalam perkembangan sama, seramai empat calon mengesahkan bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda.

    Mereka merupakan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau; Dr Muhamad Akmal Saleh; Ahli MKT UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Meor Hassan Mat Ali.

  • Najib gagal ketepikan injunksi Mareva bagi kes saman SRC

    Najib gagal ketepikan injunksi Mareva bagi kes saman SRC

    DATUK Seri Najib Tun Razak gagal mengetepikan injunksi Mareva yang diperoleh SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya untuk menghalang beliau daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya berjumlah RM42 juta.

    Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk P. Ravinthran dan Datuk Seri Mariana Yahya yang menolak rayuan Najib hari ini serta memerintahkan bekas perdana menteri itu membayar kos RM15,000.

    Yaacob, yang menyampaikan keputusan itu berkata Mahkamah Rayuan tidak perlu campur tangan kerana Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi tidak silap dalam memberikan injunksi Mareva tersebut.

    Beliau berkata Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Arief Emran Arifin telah mempertimbangkan undang-undang dan menganalisis bukti yang terdapat dalam afidavit syarikat sebelum membenarkan injunksi Mareva itu.

    Hakim itu kemudiannya mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan injunksi Mareva kepada SRC International dan Gandingan Mentari Sdn Bhd untuk menghalang Najib daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya berjumlah RM42 juta.

    Injunksi Mareva merupakan perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

    Pada 24 Mac lepas, mahkamah memberikan injunksi Mareva kepada syarikat-syarikat itu dan mengarahkan Najib supaya tidak memindahkan, melupuskan, berurusan atau mengurangkan nilai mana-mana aset mereka di dalam dan di luar Malaysia bernilai sehingga RM42 juta, sementara menunggu penyelesaian tuntutan mahkamah mereka yang telah mereka failkan terhadapnya.

    Bekas Ahli Parlimen Pekan itu hanya layak mengeluarkan RM100,000 sebulan untuk perbelanjaan sara hidup dan bayaran yuran guaman.

    Ini mendorong Najib memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

    SRC International dan Gandingan Mentari memfailkan saman terhadap Najib tahun lepas, mendakwa beliau telah melakukan pecah amanah, menyalahgunakan kuasanya, mendapat manfaat secara peribadi daripada dana SRC International dan menyalahgunakan dana tersebut. Saman itu masih belum selesai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Najib, 69, kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada Ogos lepas mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda RM210 juta kerana menyalahgunakan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

    Dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian hari ini, Najib diwakili peguam Harvinderjit Singh, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Mohammad Arfan Wan Othman manakala peguam Nagarajah Muttiah dan Clament Tay mewakili syarikat-syarikat tersebut. – BERNAMA

  • 114,474 permohonan rentas negeri ditolak sejak 1 Jun

    114,474 permohonan rentas negeri ditolak sejak 1 Jun

    SEBANYAK 114,474 permohonan merentas negeri ditolak sejak 1 Jun lepas kerana tidak memenuhi syarat permohonan yang ditetapkan.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata antara sebab permohonan ditolak adalah kerana gagal menunjukkan dokumen perubatan berkaitan dan bukan pasangan jarak jauh.

    Beliau berkata ada juga yang dikesan menyalahgunakan kebenaran yang diberikan.

    “Selain itu, sebanyak 4,670 kompaun dikeluarkan atas kesalahan tidak patuh arahan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 1 Jun lepas,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Sebelum ini, kerajaan mengumumkan kelonggaran bagi penerima vaksinasi lengkap antaranya kebenaran merentas negeri bagi pasangan suami isteri jarak jauh dan ibu bapa untuk berjumpa anak-anak di bawah umur 18 tahun, berkuat kuasa 10 Ogos. 

    Kerajaan kemudian turut membenarkan 11 jenis aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran kembali beroperasi dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa 16 Ogos.

    Kerajaan kemudian memberikan kemudahan tambahan bagi sektor sosial dan ekonomi di negeri Fasa Satu PPN dan seterusnya, termasuk aktiviti boleh makan di premis atau ‘dine-in’ bagi individu yang sudah mendapat dos lengkap mulai 20 Ogos.

    Zainal Abidin berkata masyarakat perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi menghindari diri daripada terkena jangkitan wabak COVID-19.

    “(Kawalan) kendiri (itu) penting. Begitu juga (mereka yang terlibat) dengan sektor ekonomi, mesti mematuhi SOP (setelah diberi kebenaran untuk membuka semula operasi). Pasukan pematuhan SOP (Polis Diraja Malaysia) akan melakukan pemantauan,” katanya.- BERNAMA