Tag: ditemukan

  • Mayat nelayan ditemukan terapung

    Mayat nelayan ditemukan terapung

    MAYAT nelayan yang hilang ketika keluar menangkap ikan kira-kira satu batu nautika dari Jeti Kuala Lukut, dekat sini semalam ditemukan terapung di pesisiran Pantai Bagan Kurnia, Port Dickson pagi ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson Mohd Hairul Izam Mazelan berkata mayat Yap Fok Swe, 64, yang berpakaian lengkap ditemukan kira-kira 2.5 kilometer daripada lokasi kejadian, oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 7.50 pagi tadi.

    “Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) telah memulakan pencarian seawal 6.30 pagi tadi dan kemudiannya kami mendapat petunjuk setelah dimaklumkan oleh orang awam ternampak objek terapung di sekitar lokasi berkenaan.

    “Tiada sebarang kecederaan ditemukan pada badan mangsa dan operasi SAR ditamatkan kira-kira pukul 9.20 pagi. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi semalam, Yap telah hilang dan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika keluar untuk menangkap ikan, yang mana kehilangannya disedari  seorang nelayan yang menjumpai sebuah bot tiada pemilik berserta peralatan menangkap ikan sahaja.

    Operasi SAR yang memasuki hari kedua hari ini turut melibatkan anggota penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia selain komuniti nelayan setempat.

    Dalam pada itu Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan operasi CARILAMAT di perairan Kuala Lukut pada pukul 4.30 petang semalam, melibatkan aset Maritim Malaysia iaitu bot Petir 91 dan Benteng 04 bagi membantu usaha pencarian.

    “Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730,” katanya.- BERNAMA

  • Sesat cari air terjun, tujuh remaja ditemukan selamat – Bomba

    Sesat cari air terjun, tujuh remaja ditemukan selamat – Bomba

    TUJUH remaja lelaki yang sesat ketika beriadah di kawasan Jeram Bukit Hitam, Hulu Langat, dekat sini, dipercayai ingin mencari air terjun di kawasan itu, ditemukan selamat awal pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata kesemua remaja berusia lingkungan 18 tahun itu beriadah di kawasan berkenaan sejak pagi semalam namun disebabkan hari mulai petang dan masih gagal menemukan air terjun mereka mengambil keputusan berpatah balik.

    Bagaimanapun, remaja berkenaan gagal menemukan jalan pulang hingga memaksa mereka menghubungi talian kecemasan.

    “Bomba menerima panggilan (mereka) 4.15 petang (semalam),” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini dan menambah operasi mencari dan menyelamat dilancarkan sejurus menerima laporan tersebut.

    Katanya, operasi bagi mengesan lokasi remaja itu berkumpul agak sukar kerana terpaksa merintis laluan dalam keadaan gelap serta bentuk muka bumi yang berbukit.

    “Kesemua remaja itu dapat dihubungi melalui telefon dan ditemukan selamat 1.51 pagi, mereka (kemudian) dibawa keluar dari kawasan itu pada kira-kira 5.59 pagi tadi.

    “Kesemua remaja ini tidak mempunyai sebarang kecederaan dan mereka diserahkan kepada pihak polis (dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    Norazam berkata operasi mencari remaja berkenaan dilakukan 28 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba Bandar Tun Hussein Onn, Pasukan Pelbagai Kemahiran serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia.

    Beliau berkata operasi itu turut disertai Pasukan Bomba Sukarela , Polis Diraja Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah dan pasukan Penyelamat Bencana Malaysia.- BERNAMA