Tag: ditembak

  • [VIDEO] Imran Khan cedera ditembak dalam cubaan bunuh

    [VIDEO] Imran Khan cedera ditembak dalam cubaan bunuh

    TERDAPAT percubaan untuk membunuh bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan pada Khamis ketika beliau mengetuai perarakan ke arah ibu kota Islamabad, menurut pemimpin partinya.

    “Pengecut melakukan serangan untuk membunuh di Wazirabad (kawasan wilayah Punjab),” kata pemimpin kanan Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) Farrukh Habib yang berkata Imran mengalami kecederaan.

    Rakaman video menunjukkan Imran dibawa dari trak kontena khas yang dinaikinya ke sebuah kereta oleh pasukan keselamatannya.

    Seorang lagi pemimpin parti berkata bekas perdana menteri itu terkena peluru di bahagian kakinya.

    Rakan rapat Imran dan ahli Senat Faisal Javed Khan turut cedera dalam kejadian itu.

    PTI memulakan “perarakan panjang” dari bandar Lahore pada 28 Oktober untuk menuntut pilihan raya umum diadakan lebih awal. Perarakan itu akan mencapai kemuncaknya di Islamabad pada 4 November namun konvoi terbabit bergerak perlahan susulan jumlah besar orang ramai yang menyertainya di sepanjang perjalanan.

    Pemimpin PTI berkata mereka akan menangguhkan ketibaan di Islamabad untuk tempoh beberapa hari. – BERNAMA

  • Suami isteri warga Indonesia mati ditembak

    Suami isteri warga Indonesia mati ditembak

    SEPASANG suami isteri warga Indonesia ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tembak pada badan mereka dalam satu kejadian di Kampung Beraya Bekenu, Miri, Sarawak pagi ini.

    Jasad pasangan itu, masing-masing berusia 60 tahun dan 40 tahun ditemukan adik lelaki mangsa dalam bilik tidur rumah mereka kira-kira pukul 7 pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari mengesahkan kejadian itu.

    Menurut beliau, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Miri dan anggota dari Balai Polis Bekenu dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan kes itu.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca dan bagaimana kejadian berlaku,” katanya kepada BH, hari ini.

    Hakemal berkata, mayat pasangan berkenaan dibawa ke Hospital Miri untuk proses bedah siasat.

    Difahamkan, mayat pasangan itu ditemui adik lelaki mangsa, selepas terdengar anak mereka menangis.

    Adik mangsa yang curiga kemudian pergi ke rumah mangsa, namun pintu berkunci dan cubaannya memanggil mereka juga tidak dibalas.

    Dia yang kemudiannya cuba meninjau melalui cermin tingkap bilik pasangan itu terkejut apabila melihat kedua-duanya berlumuran darah.

    Selaras senapang patah juga dijumpai di atas dada mangsa lelaki.