Tag: ditarik balik

  • Pendakwaan terhadap ketua pemuda Amanah ditarik balik

    Pendakwaan terhadap ketua pemuda Amanah ditarik balik

    MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur melepaskan Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda daripada pertuduhan pelanggaran Akta Perhimpunan Aman 2012.

    Memetik laporan Malaysiakini, Peguamnya Faiz Fadzil berkata, susulan representasi yang dihantar pada 17 Mac lalu pihak pendakwa raya telah menarik balik pertuduhan terhadap Hasbie atas dakwaan kesalahan pelanggaran seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

    “Keputusan ini adalah satu permulaan positif kerajaan madani yang menghormati hak dan kebebasan sivil untuk berhimpun dan menyatakan pandangan sepertimana dinyatakan dalam Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Terdahulu Hasbie yang juga ahli Dewan Negara bersama dua individu lain dihadapkan ke Mahkamah Kuala Lumpur berhubung perhimpunan ‘Turun Malaysia’ yang membantah kenaikan harga barang di Masjid Kampung Baru pada 1 Julai tahun lalu.

    Turut didakwa adalah Ketua Pemuda PKR Batu Muhammad Sabda Suluh Lestari Yahya dan Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Aliff Naif.

    Kira-kira 100 orang hadir dalam protes itu yang berlangsung kira-kira sejam selepas solat Jumaat.

    Himpunan Bantah Kenaikan Harga Barang yang rata-ratanya dikendalikan oleh pemimpin Amanah mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan dalam isu menangani kenaikan harga barang.

    Tuntutan tersebut adalah mengembalikan semula subsidi makanan, menghapuskan permit import (AP) bekalan makanan import dan memanggil sidang khas parlimen untuk membincangkan masalah bekalan makanan.

    Sementara itu Faiz berkata perhimpunan aman yang diadakan pada 1 Julai oleh Amanah itu adalah bagi memperjuangkan isu kos sara hidup.

    Dengan keputusan ini katanya, perjuangan kerajaan madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan isu kos sara hidup rakyat ini dilihat benar-benar telus.

    “Ini kerana perhimpunan aman itu dianggap tidak lagi menyalahi undang-undang oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya.

  • Sekatan perjalanan Muhyiddin ditarik balik, mahkamah diberitahu

    Sekatan perjalanan Muhyiddin ditarik balik, mahkamah diberitahu

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu sekatan perjalanan terhadap bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah ditarik balik.

    Menurut Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, mewakili kerajaan susulan permohonan cabaran perundangan oleh Bersatu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan kepada Jabatan Imigresen larangan itu ditarik balik pada 22 Mac.

    Justeru Shamsul berkata, sejak larangan itu ditarik balik, usaha Muhyiddin dan Bersatu untuk mencabar larangan itu kini telah menjadi akademik.

    “Dia (Muhyiddin) didakwa (di Mahkamah Sesyen) bulan lepas dan mahkamah telah memerintahkan dia menyerahkan pasport sebagai sebahagian daripada syarat jaminannya,” katanya, menurut laporan Free Malaysia Today.

    Mengulas lanjut Shamsul berkata, Muhyiddin boleh meminta mahkamah menyerahkan pasportnya buat sementara waktu jika dia mahu melakukan perjalanan.

    Presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Pagoh itu sebelum ini mendakwa sekatan perjalanan dikenakan ke atasnya secara salah dan dia sendiri tidak dimaklumkan mengenainya.

    Beliau juga berkata, sekatan itu bertujuan untuk mencemarkan nama baiknya dan seolah-olah dia telah melakukan jenayah dan cuba melarikan diri.

    Ia juga melanggar hak perlembagaannya, katanya.

    Bersatu juga telah memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan SPRM membekukan akaun banknya, atas alasan ia dilakukan dengan berniat jahat.

    Peguam Rosli Dahlan yang mewakili parti itu, memberitahu mahkamah masih terdapat isu dipertikai dan perlu didedahkan pada pendengaran substantif semakan kehakiman.

    Beliau berkata, mahkamah perlu membenarkan kes itu diteruskan ke peringkat seterusnya.

    Rosli juga menegaskan bahawa Jabatan Imigresen telah memfailkan afidavit dengan mendakwa sekatan perjalanan itu dimohon SPRM, tetapi tidak memberikan justifikasi mencukupi seperti dikehendaki.

    “Mereka hanya menyerahkan kesalahan kepada SPRM.

    “Tiada juga notis memaklumkan (Muhyiddin) disekat daripada melancong, sehinggalah dia sendiri yang mengetahuinya ketika mahu pergi berucap di forum luar negara,” katanya.

    Selain itu, peguam itu berkata, keputusan SPRM membekukan akaun Bersatu dibuat dengan niat jahat dan mahkamah perlu menyiasat proses membuat keputusan agensi itu.

    Beliau berkata, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dan pegawai kanannya, Hishamuddin Hashim, adalah individu “bermasalah” kerana Azam “sebelum ini terlibat” dalam “perdagangan saham”, dan Hishamuddin dalam “kes Teoh Beng Hock”.

    “Tiada apa yang diperkatakan tentang ‘salah laku’ mereka di bawah kerajaan ini,” kata Rosli.

    Beliau berkata, siasatan pembekuan akaun dan pendakwaan terhadap Muhyiddin dan Bersatu telah dilakukan secara kolateral oleh kerajaan untuk memusnahkan parti pembangkang.

    “Pembangkang tidak boleh dibunuh, kalau tidak demokrasi akan mati,” tambahnya.

    Sebagai maklum balas, Shamsul berkata, perintah pembekuan akaun oleh SPRM tidak boleh disemak mahkamah, kerana ia adalah sebahagian daripada proses siasatan.

    Beliau berkata, mahkamah telah mengambil pendirian bahawa “membenarkan semakan kehakiman terhadap pelaksanaan fungsi berkaitan penyiasatan jenayah akan memberi ruang awam untuk mencabar setiap pelaksanaan fungsi sedemikian, yang akan membawa kepada banyak huru-hara dan gangguan awam”.

    Hakim Ahmad Kamal Shahid menetapkan 17 Mei untuk keputusan sama ada membenarkan permohonan Bersatu untuk memulakan semakan kehakiman.

  • Kerosakan produk: Sos pasta carbonara Prego ditarik balik – KKM

    Kerosakan produk: Sos pasta carbonara Prego ditarik balik – KKM

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesahkan produk sos pasta berkrim carbonara cendawan jenama Prego keluaran Malaysia ditarik balik daripada pasaran akibat kerosakan pada produk.

    Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Campbell Cheong Chan (M) Sdn Bhd mengenal pasti punca kerosakan itu akibat kesilapan semasa pemprosesan.

    “KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan turut menerima notifikasi daripada syarikat itu yang mengesahkan produk tersebut turut dijual di Malaysia.

    “Dalam hal ini, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang memantau proses penarikan balik produk berkenaan,” katanya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today.

    Semalam, produk sos pasta carbonara cendawan jenama Prego yang diimport ke Singapura dilaporkan ditarik balik daripada pasaran disebabkan kerosakan produk.

    Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam kenyataan berkata, The Arnott’s Group mengumumkan kerosakan sos itu.

    Produk sos pasta keluaran Malaysia menunjukkan beberapa tanda kerosakan, termasuk bau tidak menyenangkan, warna luar biasa, struktur berair dan lapisan cecair terpisah.

    Mengulas lanjut, Hisham berkata, produk terjejas yang bernombor lot 2022081716 itu dikeluarkan pada 17 Ogos lalu dari 10.18 malam hingga 11.20 malam dan bertarikh luput 17 Ogos 2023.

    Beliau menasihatkan peniaga menghentikan penjualan serta-merta dan pengguna yang membelinya tidak makan produk itu.

    “Bagi yang telah mengambilnya, mereka dinasihatkan berjumpa pegawai perubatan sekiranya tidak sihat atau mengalami gejala keracunan makanan.

    “Orang ramai disaran mengamalkan lihat, hidu dan rasa bagi mencegah kejadian keracunan makanan.”

    Katanya, KKM sentiasa peka dan prihatin atas perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

    Sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu itu, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat dan melayari http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook rasmi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan.