Tag: ditahan SPRM

  • Setiausaha sulit menteri pula ditahan SPRM

    Setiausaha sulit menteri pula ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kanan kepada Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.

    Memetik laporan Malaysiakini, kali ini tangkapan itu dibuat ke atas setiausaha sulit menteri terbabit dan ia disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

    “Ya, seorang pegawai ditahan dan direman tapi saya tak pasti (buat masa ini) berapa hari,” katanya.

    Azam bagaimanapun tidak memberitahu berapa lama suspek terbabit direman.

    Penahanan terbaru hari ini menjadikan sudah ada dua pegawai kanan ahli parlimen Batu Gajah itu disiasat agensi penguat kuasa berkenaan.

    Semalam SPRM menahan seorang pegawai kanan Sivakumar, selain seorang ahli perniagaaan dari Ipoh berkaitan dengan dakwaan rasuah yang melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing.

    Difahamkan siasatan SPRM tertumpu kepada individu lain dalam kementerian dan agensi berkaitannya.

    Sivakumar kemudian berkata beliau tidak dapat memberikan sebarang komen lanjut kerana kes berkenaan sedang disiasat.

    “Saya dan Kementerian Sumber Manusia akan memberi kerjasama penuh kepada agensi siasatan sekiranya diperlukan,” katanya

    Malaysiakini difahamkan, siasatan itu melibatkan kes rasuah bernilai RM97 juta.

  • Muhyiddin ditahan semalaman, esok didakwa

    Muhyiddin ditahan semalaman, esok didakwa

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menahan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin pada pukul 1 tengah hari tadi.

    Ini selepas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung projek Jana Wibawa dan isu berkaitan.

    Memetik laporan Astro AWANI, SPRM sehubungan itu telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Muhyiddin di Mahkamah Kuala Lumpur, esok.

    Muhyiddin yang juga Presiden bakal berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

    Lapor Malaysiakini, difahamkan bahawa Muhyiddin akan ditahan semalaman sebelum dibawa ke mahkamah pagi, esok.

    Terdahulu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa Muhyiddin akan didakwa esok.

    Azam dilaporkan berkata, ketika ini bekas perdana menteri berkenaan masih lagi sedang diambil keterangan, selepas Pengerusi Perikatan Nasional itu tiba di Ibu Pejabat SPRM di sini, pada 11.15 pagi tadi.

    Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada Muhyiddin akan ditahan semalaman sebelum dibawa ke mahkamah.

    Desas-desus Muhyiddin akan didakwa tersebar sejak beberapa minggu lalu selepas bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dihadapkan ke mahkamah pada 21 Februari lalu.

    Pada 2 Februari lalu, Bendahari Agung Bersatu, Datuk Salleh Bajuri ditahan SPRM selepas beliau diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberikan penjelasan berkenaan pembayaran yang dibuat oleh parti kepada pembekal dan vendor parti.

    Sebelum ini, SPRM turut membekukan beberapa akaun milik parti Bersatu dipercayai ada kaitan dengan siasatan agensi itu terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik COVID-19.

    Program Jana Wibawa dilaksanakan semasa pandemik COVID-19, dan ia kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada tahun 1993.

    Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.

  • Bendahari Agung Bersatu ditahan SPRM

    Bendahari Agung Bersatu ditahan SPRM

    PEMIMPIN kanan Bersatu dilapor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam bagi membantu siasatan agensi berkenaan.

    Malaysiakini dalam laporannya memetik sumber berkata, Bendahari Agung Bersatu Datuk Mohamed Salleh Bajuri kini berada dalam tahanan SPRM.

    Katanya, ini selepas SPRM mendapat kebenaran daripada mahkamah untuk meremannya selama dua hari.

    “Ya, memang betul dia (Bajuri) ditahan,” kata sumber itu kepada Malaysiakini.

    Memetik laporan Free Malaysia Today yang memetik sumber dalam Bersatu, penahanan Salleh itu berkait siasatan ke atas program Jana Wibawa dan Platform Akar Umbi Pemacu Negara (AkuPN).

    Mohamed Salleh mempunyai latar belakang sebagai ahli korporat sejak beberapa dekad lalu.

    Dia dilantik menjadi bendahari agung parti berkenaan pada 2016.