Tag: ditahan Maritim Malaysia

  • Bot nelayan tempatan gajikan PATI ditahan

    Bot nelayan tempatan gajikan PATI ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan pukul 10.30 pagi semalam selepas didapati dikendalikan kru warga asing tanpa izin (PATI).

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, penahanan itu dibuat oleh Kapal Maritim Malaysia dalam rondaan rutin OP PERTIWI dan OP TANJUNG terhadap sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang sedang melakukan aktiviti perikanan menggunakan pukat tunda di kedudukan 42.3 batu nautika barat laut Pulau Kendi.

    Jelas beliau, pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan seorang tekong dan empat kru kesemuanya warga Myanmar berumur antara 23 hingga 42 tahun.

    “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, tekong dan semua kru bot gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta surat kelulusan bertulis atau permit kerja dari Ketua Pengarah Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia ketika diminta penguat kuasa.

    “Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu pemilik bot menggunakan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, tambah beliau, bot serta kesemua kru ditahan termasuk 300 kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung dan diserahkan kepada pegawai penyiasat.

    Tegas Abd. Razak, Maritim Malaysia mendapati masih lagi terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan PATI untuk bekerja di atas bot mereka walaupun amaran telah diberikan dan beberapa tangkapan telah dibuat sebelum ini.

     
    Sehubungan itu, tambahnya, Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

     
    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04 – 2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

  • Bot nelayan tempatan ditahan gajikan PATI

    Bot nelayan tempatan ditahan gajikan PATI

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan kru warga asing pukul 9.13 pagi semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, Kapal ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot nelayan kelas C2 sedang menangkap ikan menggunakan pukat tunda di kedudukan 62 batu nautika barat Pulau Kendi ketika melaksanakan rondaan Op Tanjung.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, bot yang berpangkalan di Pantai Remis, Perak itu dikendalikan lima kru pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar berumur antara 20 hingga 43 tahun.

    Jelas beliau, mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

    “Bot serta kesemua kru ditahan termasuk hasil laut yang dianggarkan kira-kira 150 kilogram (kg) dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu tambahnya, Maritim Malaysia menegaskan kepada semua terutama komuniti nelayan termasuk pemilik bot supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan sedia ada.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.