Tag: diserbu

  • Kilang kitar semula beroperasi secara haram diserbu lagi

    Kilang kitar semula beroperasi secara haram diserbu lagi

    SEBUAH kilang kitar semula di Ijok, Kuala Selangor diserbu sepasukan anggota dan pegawai Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pada pukul 10 pagi kelmarin.

    Pengarah Jabatan Penguatkuasa MPKS, Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, kilang itu sebelum ini pernah dikenakan tindakan sitaan pada 19 Januari lalu.

    “Kita dapati kilang ini masih berdegil dan masih meneruskan operasi haram hasil daripada maklumat awam dan risikan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohamad Lutfi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kilang itu semakin meningkatkan operasi memproses buangan terjadual seperti bahan buangan bateri kering, tembaga dan papan litar plastik.

    Premis itu katanya, diarah tutup serta-merta dan dikenakan kompaun kerana ingkar arahan notis penutupan sebelum ini.

    Selain itu, katanya, dua unit penjana kuasa elektrik dan satu jentera forklift disita bagi tindakan lanjut.

    Jelas Mohamad Lutfi, kes itu disiasat mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKS) 2007.

    “Jabatan Kesihatan MPKS mengeluarkan dua kompaun kerana membiarkan bangunan atau tanah dalam keadaan kotor dan mengalirkan kumbahan ke parit berdekatan,” kata beliau.

    Tambahnya, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) juga membantu proses pemotongan bekalan air premis terbabit.

    Katanya, JAS turut mengambil tindakan undang-undang mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

    “Pemilik kilang itu dinasihatkan berpindah ke kawasan industri berat kerana aktiviti kitar semula di bawah kategori tersebut,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Inap desa jadi stor simpanan dadah diserbu, dadah bernilai RM10j dirampas

    Inap desa jadi stor simpanan dadah diserbu, dadah bernilai RM10j dirampas

    HELAH sindiket pengedaran dadah yang aktif di Lembah Klang dengan menjadikan rumah inap desa sebagai stor simpanan dadah berjaya dibongkar polis selepas pihak berkuasa itu menyerbu sebuah premis di Kajang, 13 Oktober lalu.

    Ini susulan Op Leslie yang dilancarkan polis sehingga membawa kepada penahanan lima suspek sekali gus membawa kepada rampasan 213 kilogram syabu dan 33 kilogram pil erimin 5 bernilai RM10.1 juta.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, serbuan bermula pukul 12 tengah hari hingga 3.15 petang itu dijalankan hasil maklumat susulan tangkapan lima individu di sebuah kondominium di Taman Desa, di Kuala Lumpur, 13 Oktober lalu.

    “Lanjutan itu, kami membuat serbuan di sebuah restoran di Desa Sri Hartamas yang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun.

    “Dalam serbuan kedua di hadapan pos pengawal sebuah taman perumahan di Bandar Damai Perdana, Kajang pula, kami menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

    Azmi berkata, hasil tangkapan itu, pihaknya membuat serbuan di sebuah unit kediaman inap desa di Bandar Damai Perdana sebelum menemui 206 bungkusan teh Cina mengandungi dadah jenis syabu seberat 213 kilogram (kg) dan 112,000 pil erimin 5 seberat 33 kg.

    “Kami turut membuat sitaan harta membabitkan wang tunai sebanyak RM70,000 dan dua kereta jenis Toyota Altis serta sebuah Kia Forte.

    “Ini menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dadah yang boleh dibekalkan kepada 538,000 penagih itu serta sitaan harta berjumlah RM10.1 juta,” katanya.

    Beliau berkata, siasatan awal dilakukan mendapati sindiket berkenaan menjadikan inap desa itu sebagai stor simpanan dadah sejak dua bulan lalu.

    “Kami percaya sindiket ini sentiasa mengubah lokasi simpanan dadah yang dipercayai diperoleh dari utara tanah air bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

    “Setakat ini, kami percaya dadah berkenaan dipasarkan di sekitar Lembah Klang. Namun, siasatan lanjut sedang dijalankan sama ada ia dijual bagi pasaran luar Lembah Klang atau luar negara,” katanya.

    Mengulas lanjut Azmi berkata, semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek berkenaan mempunyai rekod berkaitan dadah selain ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methaphetamin.

    “Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari hingga 21 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.