Tag: diserang sakit jantung

  • Ketua Balai Polis Sungai Tiang meninggal, diserang sakit jantung ketika memandu

    Ketua Balai Polis Sungai Tiang meninggal, diserang sakit jantung ketika memandu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KETUA Polis Balai Sungai Tiang di Pendang, Kedah meninggal dunia akibat serangan jantung dialaminya ketika sedang memandu di Kilometer 52.7, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Alor Setar, Kedah, malam tadi.

    Kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu turut menyebabkan kereta dipandu mangsa, Sarjan Mejar Wahab Ahmad @ Harun terbabas di lebuh raya tersebut.

    Akibat kejadian itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir memaklumkan, mangsa turut mengalami kecederaan di kepala.

    “Pasukan perubatan kecemasan yang bergegas ke lokasi kemudiannya mengesahkan mangsa meninggal dunia di situ.

    “Bedah siasat dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pagi ini mendapati kematian mangsa berpunca daripada sakit jantung,” katanya.

    Tambahnya, kejadian itu kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Ketika kejadian mangsa difahamkan dalam perjalanan dari Pendang menuju ke rumahnya di Jitra.

    Sementara itu Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim turut mengucapkan takziah di laman Facebook rasminya.

    “Arwah banyak membantu saya dalam melancarkan perjalanan program rakyat khususnya di Sungai Tiang.

    “Semoga kebaikan ini dibalas dengan ganjaran syurga buat arwah,” katanya.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad yang turut menziarah keluarga mangsa di Jabatan Forensik HSB, pagi tadi.

  • Lelaki maut diserang sakit jantung ketika daki gunung

    Lelaki maut diserang sakit jantung ketika daki gunung

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki ditemukan sudah meninggal dunia ketika mendaki Gunung Lambak, Kluang, hari ini.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II, Norhakim Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.25 tengah hari.

    Susulan itu katanya, seramai 11 anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Setibanya di lokasi kejadian, bomba dapati terdapat seorang lelaki berusia 52 tidak sedarkan diri.

    “Mangsa, Teo Chee Kiong@Tiu Chee Kiong, dikatakan ditemui orang awam yang lalu di kawasan berkenaan.

    Mangsa ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan di kawasan berkenaan.

    “Mangsa kemudiannya telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dipercayai akibat serangan jantung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Norhakim berkata, ketika ditemui mangsa hanya berseorangan dan dipercayai dalam perjalanan untuk turun ke bawah.

    Pasukan penyelamat kemudiannya menurunkan mangsa dari puncak gunung menggunakan alat pengusung dengan bantuan pihak polis dan KKM.

    “Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak terbabit untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada pukul 4.05 petang,” katanya.