Tag: diserang

  • Sanusi, Kedah diserang bagi beri persepsi buruk terhadap PN

    Sanusi, Kedah diserang bagi beri persepsi buruk terhadap PN

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa tindakan pihak lawan menyerang dirinya serta negeri tersebut adalah semata-mata untuk membentuk persepsi bahawa Kedah akan mengalami kerugian jika Perikatan Nasional (PN) terus dikekalkan sebagai kerajaan negeri selepas ini.

    Katanya, pihak yang sama juga seakan cuba memberi gambaran bahawa Kedah akan maju, beruntung dan mendapat bantuan peruntukan dari kerajaan Persekutuan sekiranya memilih Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan di Kedah.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dan Pas itu berkata, beliau bukanlah seorang ‘kaki gaduh’ namun apa yang dilakukannya hanyalah membetulkan kesilapan serta tanggapan dalam kalangan rakyat.

    “Kita bukan nak cari gaduh sebab tak guna ‘sekupang’ pun memerintah sambil bergaduh. Tapi kalau hak kita dicabul serta tak diberikan dan dalam masa sama gambaran buruk ditimpakan kepada kita dengan tidak benar, kita mesti lawan utk betulkan kesalahan tu

    “Kalau perbetulkan kesalahan itu adalah satu tindakan cari gaduh atau isytihar perang, maka saya akan berperang setiap hari.

    “Kalau kita tolong perbetulkan kesilapan orang tetapi dianggap sebagai memerangi mereka, maka itu tindakan bodoh. Orang cerdik biasanya kalau mereka buat silap dan ditegur, mereka akan ucap terima kasih kepada kita,” katanya dalam sesi ceramah di Kompleks Pas Kedah, Simpang Empat dekat sini, malam tadi.

    Menurutnya, apa yang dilakukannya itu menepati syarak kerana kerana kesalahan fakta akan menyebabkan negeri serta negara ini rosak.

    “Apabila perkara tidak benar menjadi asas untuk orang ramai membuat pendiran atau penilaian, maka negara ini akan rosak sehari demi sehari. Pas bejruang untuk perbetulkan keadaan ini kerana negeri ini tak bolh dirosakkan oleh orang yang ‘loq laq’.

    “Jika saja betul, siapa pun ‘mai’ nak lawan, kita lawan. Saya pula kalau lawan, akan lawan sampai menang dan bersandarkan fakta yang betul saja,” katanya.

    Katanya, ketika ini golongan terlibat seakan mengundang pihaknya untuk memperbetulkan kesilapan yang sengaja direka mereka terhadap Kedah.

    “Bila kita perbetulkan kesilapan itu, mereka kata kita cari gaduh. Inilah masalah ‘walanon’,” katanya.

  • Cederakan penguat kuasa MBJB, dua lelaki ditahan

    Cederakan penguat kuasa MBJB, dua lelaki ditahan

    DUA lelaki yang disyaki menghalang tugas dan menyebabkan kecederaan kepada anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang mengeluarkan saman terhadap mereka ditahan polis, semalam.

    Mangsa berusia 23 tahun cedera di kulit kepala akibat dipukul suspek menggunakan tangan dan ditolak jatuh ke jalan raya dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi di Jalan Sutera, Taman Sentosa di Johor Bahru.

    Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, semasa kejadian, anggota penguat kuasa itu mengeluarkan saman ke atas kenderaan suspek yang didapati diparkir dalam keadaan menghalang lalu lintas sebelum suspek yang tidak berpuas hati menyerang mangsa dan berlaku pergelutan.

    “Selepas memukul mangsa, kedua-dua suspek kemudian bertindak melarikan diri.

    “Bagaimanapun, tindakan pantas anggota kereta peronda polis yang tiba di lokasi kejadian berjaya menangkap kedua-dua suspek yang ketika itu sedang bersembunyi dalam kereta mereka kira-kira 500 meter dari tempat kejadian,” katanya yang dipetik Harian Metro.

    Raub berkata, ketika tangkapan dibuat, polis mendapati seorang daripada suspek cedera di bahagian muka dipercayai akibat bergelut dengan mangsa.

    Katanya, suspek yang cedera itu menerima dua jahitan.

    Menurut Raub, suspek warga tempatan yang berusia 42 dan 47 tahun itu akan direman bagi siasatan lanjut yang dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.