Tag: disenarai hitam

  • Crackhouse Comedy Club disenarai hitam seumur hidup

    Crackhouse Comedy Club disenarai hitam seumur hidup

    PEMILIK Crackhouse Comedy Club disenarai hitam seumur hidup daripada mendaftarkan lesen perniagaan mana-mana premis di sekitar ibu negara ini.

    Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata Jawatankuasa Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bermesyuarat pada 29 Julai lalu, bersetuju membatalkan lesen perniagaan kelab komedi berkenaan berkuat kuasa 30 Julai lalu.

    “Malah, kita juga mengambil keputusan untuk menyenarai hitam pemilik kelab ini untuk mendaftarkan lesen perniagaan di Kuala Lumpur buat selama-lamanya.

    “Ini bermakna pemilik kelab itu tidak boleh mendaftarkan sebarang aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur walaupun menggunakan nama dan syarikat berlainan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Operasi Bersepadu di Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini.

    Jalaluddin berkata, pihaknya juga sedang memantau beberapa kelab yang disyaki terbabit dengan aktiviti seumpama itu di sekitar ibu negara.

    “Sebarang lesen hiburan yang kita kemuka dan keluarkan kepada setiap premis mesti mengikut peraturan ditetapkan.

    “Bagi pihak yang melanggar syarat pelesenan, maka mereka tidak akan terlepas daripada tindakan tegas.

    “Pada masa sama, tindakan, pemantauan serta pemeriksaan akan dilakukan secara berkala oleh DBKL kerana kita tidak mahu ada yang terlepas daripada tindakan kami,” katanya.

    Pada 13 Julai lalu, media melaporkan Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, yang digantung sementara operasi oleh DBKL pada 10 Julai lalu didapati tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.

    Jalaluddin dilaporkan berkata, pemilik premis itu hanya diberikan lesen restoran dan minuman keras tetapi tiada lesen hiburan.

    Sebelum ini, media melaporkan pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memuat naik video di tiga platform media sosialnya yang menyentuh isu sensitiviti perkauman pada 22 Julai lalu.

    Rizal menjadi tumpuan kontroversi selepas video yang tersebar di media sosial menyebabkan pihak tertentu tidak berpuas hati dengan persembahan komedinya.

    Terdahulu, Siti Nuramira Abdullah, 26, yang tular selepas menanggalkan baju kurung dan tudungnya di kelab komedi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni menggunakan agama di kalangan sesama Islam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu.

    Malah, teman lelakinya yang juga penulis bebas, Alexander Navin Vijayachandran turut didakwa di mahkamah berasingan atas tuduhan memuat naik kandungan jelik di media sosial pada hari sama.

  • Agensi pelancongan tipu badal haji boleh ditarik lesen, disenarai hitam

    Agensi pelancongan tipu badal haji boleh ditarik lesen, disenarai hitam

    INDIVIDU yang menjalankan aktiviti penipuan berkaitan pakej haji dan umrah boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk lesen operasi syarikat boleh ditarik balik selain agensi pelancongan boleh disenarai hitamkan.

    Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya peka akan isu penipuan badal haji dan membuat pemantauan bagi mengelak pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan ketika umat Islam di negara ini menunaikan ibadah berkenaan, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan atau mengesan mana-mana syarikat yang melakukan perkara terbabit.

    “Sebelum ini kita memang ada mendengar mengenai penipuan badal haji ini, tetapi setakat ini belum terima sebarang laporan lagi.

    “Bagaimanapun, (sekiranya ada) kita boleh ambil tindakan mahkamah kerana tindakan yang mereka lakukan keterlaluan, tidak mengikut terma dan syarat pelesenan itu,” katanya.

    Beliau berkata sedemikian selepas menyampaikan sijil kepada 333 graduan pada Majlis Konvokesyen Badan Peneraju Industri Seni Budaya oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Putrajaya, hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan beberapa agensi haji dan umrah menawarkan khidmat mengerjakan badal haji musim ini dengan pelbagai pakej dan bayaran murah antara RM1,700 hingga RM3,000 seorang.

    Tawaran harga itu dilihat meragukan serta tidak sepadan disebabkan beberapa peraturan ketat ditetapkan Kerajaan Arab Saudi bagi ibadah umrah dan haji.

    Ini berikutan untuk mengupah penduduk bermastautin di Arab Saudi melakukan ibadah itu, mereka perlu mempunyai permit untuk memasuki Arafah dengan bayaran SR12,000 (RM14,000) seorang berbanding sebelum ini SR2,500 (RM2,900) sahaja.

    Selain itu, terdapat gelang khas yang perlu dipakai jemaah haji untuk melepasi pintu di Arafah bagi mengelakkan lambakan jemaah haji di kawasan tersebut.

    Badal haji boleh ditakrifkan sebagai ibadah haji yang diupah kepada seseorang untuk dilaksanakan sebagai ganti kerana halangan tertentu seperti sakit, usia tua (uzur) atau kematian ke atas orang yang seharusnya mengerjakan haji.

    Orang yang melaksanakan haji badal pula disyaratkan sudah melaksanakan haji untuk dirinya terlebih dahulu.

    Nancy berkata, lebih 1,000 agensi pelancongan sedang memohon lesen bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), namun ia perlu melalui beberapa proses sebelum ia boleh diluluskan.