Tag: Dirempuh kereta

  • Penonton maut dirempuh kereta di Litar Dato Sagor

    Penonton maut dirempuh kereta di Litar Dato Sagor

    SEORANG lelaki maut akibat dirempuh kereta yang terbabas di Litar Dato Sagor, Kampung Gajah di Pasir Salak hari ini.

    Rakaman kejadian yang tular di media sosial memaparkan dua buah kereta yang sedang berlumba dalam acara permotoran bergesel hingga menyebabkan salah sebuah kereta berkenaan terbabas.

    Lapor Sinar Harian, kejadian itu menyebabkan beberapa individu yang berada di tepi litar segera lari menyelamatkan diri namun mangsa parah akibat rempuhan berkenaan.

    Beberapa orang penonton kemudian dilihat bergegas untuk memeriksa keadaan mangsa sebelum ambulans tiba untuk memberikan bantuan.

    Difahamkan, mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.

  • Pegawai Imigresen maut dirempuh kereta, polis kesan pemandu

    Pegawai Imigresen maut dirempuh kereta, polis kesan pemandu

    SEORANG pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) maut manakala rakan setugas patah kaki kanan selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggang masing-masing terbabit dalam kemalangan di Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala Utara, hari ini.

    Memetik laporan Harian Metro, dalam kejadian pada 9.30 pagi itu, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Muhammad Nizam Samsudin, 46, meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.

    Seorang lagi mangsa, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan Zaili Nizam Muhammad, 43, sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata siasatan awal mendapati dua lelaki berkenaan menunggang motosikal masing-masing iaitu Kawasaki KLE650-C dan mereka dalam perjalanan menghala ke utara.

    “Bagaimanapun, sebuah kereta yang datang dari arah sama merempuh motosikal ditunggang si mati menyebabkan ia hilang kawalan dan terbabas di lorong kecemasan.

    “Pada masa sama, rakannya yang berada di belakang serta menunggang di lorong kecemasan tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal si mati,” katanya.

    Menurutnya, mangsa yang dirempuh kereta meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala seorang lagi penunggang patah kaki kanan dan sedang menjalani ujian X-ray di kepala.

    “Hasil siasatan dan pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua penunggang motosikal berkenaan bertugas sebagai pegawai imigresen di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang.

    “Kita juga sedang mengesan pemilik kereta yang didakwa menyebabkan berlakunya kemalangan itu dan siasatan awal mendapati pemandunya dipercayai melarikan diri,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian terbabit diminta menghubungi balai polis berhampiran.

  • Pemuda maut motosikal ditunggang rempuh kereta dipandu wanita

    Pemuda maut motosikal ditunggang rempuh kereta dipandu wanita

    TINDAKAN seorang pemandu wanita yang dipercayai cuba membelok keretanya untuk pulang ke rumah secara tiba-tiba, menyebabkan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki gagal mengelak lalu dirempuhnya dalam kejadian di Kilometer 15, Jalan Lipis-Merapoh, dekat Kampung Relong, petang semalam.

    Akibat rempuhan tersebut, mangsa, Che Muhammad Fikri Che Hussin, 21, dari Kampung Kemuning Berchang, disahkan meninggal dunia di hospital akibat cedera parah di kepala dan kaki.

    Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd. Noor, berdasarkan siasatan awal mendapati, kereta jenis Perodua Axia yang dipandu seorang wanita berusia 35 tahun dalam perjalanan dari arah Lipis untuk pulang ke rumahnya di Kampung Relong.

    Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu kereta tersebut telah membelok ke kanan jalan secara tiba-tiba menghala ke arah Merapoh untuk pulang ke rumahnya.

    “Ekoran itu, mangsa yang menunggang motosikal dari arah sama secara tiba-tiba telah melanggar bahagian tepi sebelah kanan kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

    Menurut Azli, pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penunggang motosikal itu pula cedera parah dan telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

    Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Kuala Lipis pada pukul 7 malam tadi.