Tag: dipertikai

  • Usul dua jawatan tertinggi UMNO tak dipertandingkan dipertikai

    Usul dua jawatan tertinggi UMNO tak dipertandingkan dipertikai

    USUL tambahan dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan yang dicadangkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) semalam, didakwa tidak sempurna dan tidak boleh diteruskan hari ini.

    Tegas Perwakilan UMNO Johor Datuk Pandak Ahmad, usul tambahan itu bertentangan dengan Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan Perkara 10 Peraturan Persidangan.

    Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri berkata, usul itu sepatutnya dibawa secara berasingan, bukan secara serentak dengan usul Ucapan Dasar Presiden.

    “Saya pun pelik, macam mana usul tambahan ini boleh diterima dan dibahaskan. Mungkin UMNO sekarang dah jadi parti asal boleh agaknya.

    “Merujuk Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan Perkara 10 Peraturan Persidangan, saya dapati usul yang dibawa semalam tidak sempurna dan tidak boleh diteruskan di dalam PAU kali ini.

    “Ia perlu dimurnikan mengikut perlembagaan dan peraturan mesyuarat. Jika tidak pasti, silalah rujuk sendiri,” katanya ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden, hari ini.

    Semalam, cadangan usul tambahan itu dikemukakan wakil UMNO Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin ketika berucap sebagai pencadang usul Ucapan Dasar Presiden, namun mendapat reaksi berbeza daripada perwakilan.

    Cadangan dikemukakan dalam perbahasan secara tertutup itu membuatkan Dewan Merdeka di WTC Kuala Lumpur kecoh seketika, dengan ribuan perwakilan UMNO menyambutnya dengan reaksi bercampur-campur.

    Berdasarkan beberapa rakaman video yang tular di media sosial semalam, beberapa perwakilan dilihat bangun selepas cadangan usul itu dibangkitkan sambil bertepuk tangan dengan suara laungan ‘setuju’ kedengaran menyokong cadangan itu.

    Pada masa sama, ada kumpulan perwakilan lain dilihat membantah cadangan usul tambahan itu dengan laungan ‘boo’.

    Pandak pada masa sama mempersoalkan berapa lama lagi ahli UMNO mahu menunggang isu perpaduan dan kestabilan parti semata-mata mahu menyekat pertandingan dua jawatan tertinggi itu.

    Beliau mempersoalkan mengapa hanya dua jawatan itu mahu dihalang daripada dipertandingkan, jika benar kumpulan yang menyokong cadangan berkenaan benar-benar mahukan perpaduan dan kestabilan parti.

    “Kenapa bukan semua jawatan parti di bahagian dan cawangan juga tidak dipertandingkan? Barulah perpaduan dan kestabilan parti terjaga,” katanya sinis.

    Pada masa sama, beliau mendakwa, cadangan menghalang dua jawatan itu daripada dipertandingkan dilihat canggung kerana bertentangan dengan semangat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bersedia mempertahankan jawatan disandangnya.

    “Seingat saya, presiden telah berjabat tangan, menyebut ‘ready to fight’ (sedia bertempur) kepada Khairy Jamaluddin. Seingat saya, presiden pun berjiwa besar. Seingat saya, presiden tidak ada masalah untuk bertanding dan yakin untuk mempertahankan jawatan. Begitu juga timbalan presiden.

    “Tapi semalam kita pula membahaskan usul tambahan untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden atas nama perpaduan dan kestabilan parti,” katanya.

  • Deklarasi G70 sokong Anwar dipertikai penama

    Deklarasi G70 sokong Anwar dipertikai penama

    KESAHAN deklarasi kumpulan 70 profesor Melayu dikenali sebagai G70 menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri dipertikai individu yang berada dalam senarai berkenaan.

    Semalam, seorang ahli akademik dan bekas ahli akademik mengeluarkan kenyataan mempertikaikan keputusan kumpulan itu mengaitkan nama mereka dalam deklarasi berkenaan.

    Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Prof Datuk Dr Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi menafikan terlibat dengan Deklarasi Profesor Melayu G70 serta tidak tahu-menahu namanya dimasukkan dalam deklarasi tersebut.

    Beliau turut menafikan menyokong mana-mana pemimpin parti politik atau memihak kepada mana-mana parti.

    Bagaimanapun, katanya, beliau secara prinsip menyokong ke arah kestabilan politik, pemulihan ekonomi dan kesejahteraan umum.

    “Sewaktu deklarasi dilaksanakan, saya tidak berada bersama dan tidak sama sekali terlibat dengan deklarasi tersebut.

    “Tidak pernah mengeluarkan kenyataan menyokong mana-mana pemimpin parti politik atau memihak kepada mana-mana parti politik.

    “Tidak tahu-menahu bahawa nama saya telah dimasukkan dalam senarai Deklarasi Profesor Melayu G70. Saya juga telah meminta nama saya dikeluarkan daripada senarai tersebut,” katanya di Facebook.

    Bekas ahli akademik, Ishak Yussof pula memberitahu beliau tidak dimaklumkan tentang menyatakan sokongan kepada mana-mana individu untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

    “Saya difahamkan kumpulan ini bertujuan membuat deklarasi dukungan terhadap PRU15 yang telus dalam memilih pemimpin terbaik utk Malaysia. Ini saya setuju!

    “Tidak pula saya dimaklumkan tentang menyatakan sokongan kepada mana-mana individu untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Dengan ini saya menarik diri dari Kumpulan G70 ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

    Bekas Pro Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, sebagai mantan ahli akademik tulen, beliau mengambil pendirian non partisan di dalam politik dan tidak pernah menyatakan sokongan terbuka terhadap mana-mana individu untuk menjadi Perdana Menteri atau sokongan pada mana-mana parti.

    “Sebagai mantan Timbalan Ketua Kluster Ekonomi Majlis Profesor Negara (MPN), saya senada dengan MPN menghormati hak individu bercakap dan bersuara.

    “Pun begitu, bukanlah hasrat saya untuk menggunakan kedudukan sebagai ahli akademik cuba mempengaruhi mana-mana pihak untuk memilih pemimpin atau parti di dalam piliharaya negara yang tercinta ini. Memilihlah secara bijaksana.

    “Saya telah pun bersara dua tahun lepas dan tidak lagi wajar menggunakan gelaran Profesor,” katanya di Facebook beliau.

    Semalam, satu Deklarasi Profesor Melayu G70 yang menyenaraikan enam resolusi menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan untuk mengundi pada PRU-15, 19 November ini.

    Antara lain, deklarasi itu turut menyatakan bahawa menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

    Deklarasi tersebut turut menyenaraikan kira-kira 70 orang ahli akademik bergelar profesor yang didakwa menyokong resolusi berkenaan.

    Perkara itu kemudian mendapat perhatian Majlis Profesor Negara (MPN) yang menyelar tindakan gerakan Profesor Melayu G70 kerana masih menggunakan gelaran itu walaupun sebahagian besarnya sudah bersara.

    Presidennya, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, mereka yang sudah bersara tidak boleh menggunakan gelaran Profesor kecuali jika dilantik sebagai Profesor Emeritus dan juga ahli kepada pergerakan tertentu.

    Isu tersebut turut diulas pendakwah bebas dan ahli akademik, Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang mempersoalkan tentang gelaran profesor yang diguna individu dalam deklarasi terbabit.

    Menurut Ridhuan, kumpulan tersebut bukan sahaja didakwa sebagai menipu berhubung gelaran profesor malah dianggap sangat terdesak semata-mata untuk mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.