Tag: dipersoal

  • Status GEG dipersoal selepas langkah nyahsenarai nikotin

    Status GEG dipersoal selepas langkah nyahsenarai nikotin

    STATUS dan dasar Penamat Generasi atau Generation End Game (GEG) terus dipersoal selepas tindakan kerajaan mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan kawalan Akta Racun, menambah risiko lebih ramai anak muda terjebak aktiviti vape.

    Menurut Ketua Eksekutif Galen Center Azrul Mohd Khalib, kenyataan balas Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi soal jawab perdana menteri di Dewan Rakyat turut menunjukkan kerajaan merasakan tindakan mengharamkan vape atau rokok elektronik yang mengandungi nikotin sebagai tindakan yang drastik dan tak perlu diberi keutamaan.

    “Memandangkan pada asasnya dasar GEG yang mengharamkan penggunaan rokok, vape dan e-rokok daripada generasi yang dilahirkan dari tahun 2007 dan seterusnya, adakah ini bermakna komponen GEG telah dialih keluar daripada RUU (Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022)” katanya kepada MalaysiaNow.

    Anwar dalam jawapan di Dewan Rakyat pada Selasa berkata sukar untuk kerajaan mengharamkan tabiat merokok dalam kalangan rakyat.

    Meskipun beliau memberi jaminan rang undang-undang GEG bagi mengharamkan tabiat itu tetap akan dibentangkan pada Mei, pakar dan kumpulan kesihatan berpandangan kenyataan tersebut seolah-olah memberi bayangan kerajaan tidak bersungguh melaksanakan usaha tersebut.

    Terdahulu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengesahkan pengecualian nikotin daripada Akta Racun 1952.

    Keputusan berkenaan tetap dilaksanakan meskipun bertentangan dengan keputusan sebulat suara Lembaga Racun.

    Sementara itu, pakar kesihatan awam Dr Zainal Ariffin Omar tidak menolak kenyataan Anwar tabiat merokok sukar dikawal memandangkan tiada satu negara pun yang berjaya mengharamkan produk tembakau kecuali di Bhutan pada tahun 2010.

    Ia menjadi negara pertama yang mengharamkan penjualan tembakau dan merokok di tempat awam.

    Bagaimanapun larangan itu hanya bertahan hanya sedekad lebih sehingga tercetusnya pandemik Covid-19 yang memaksa pembuat dasar bertukar haluan kepada menghalalkan penjualan tembakau dalam negara.

    Bagaimanapun, kata Zainal, kerajaan perlu mengawal penggunaan rokok dan vape dari semua aspek bagi mengurangkan penagihan dan kemudaratannya.

    Ini termasuk kawalan yang ketat termasuk mengenakan cukai untuk kurangkan penggunaan dan juga dana “sin – tax,”.

    Mengulas lanjut, beliau menegaskan langkah nyahsenarai nikotin itu sepatutnya dibuat selepas RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok dibentang dan diluluskan.

    “Sekarang kerajaan membuka ‘floodgates’ nikotin, vape dan sejenis dengannya.

    “Dan semua pihak termasuk kanak-kanak boleh dapat dan guna yang akhirnya membawa kepada ketagihan nikotin,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Beliau mengesyorkan kerajaan menangguhkan dahulu keputusan mengeluarkan nikotin daripada senarai Akta Racun sehingga RUU tersebut sudah diluluskan dan menjadi undang-undang.

    Sebelum ini, penggunaan vape sering kali dikaitkan dengan alternatif untuk mengurangkan tabiat merokok.

    Meskipun rokok elektronik atau vape dianggap sebagai alternatif yang jauh lebih selamat daripada tembakau, ia terbukti berpotensi memudaratkan kesihatan.

    Laporan yang diterbitkan dalam American Journal of Preventive Medicine pada Disember 2021 mendapati penggunaan vape secara signifikan meningkatkan risiko seseorang mendapat penyakit paru-paru kronik seperti asma, bronkitis dan emfisema.

    Jonathan Grigg, pengarang bersama dalam jurnal tersebut dan berkhidmat sebagai profesor di Jabatan Pediatrik dan Respiratori berkata vape sepatutnya hanya digunakan untuk membantu orang yang mahu berhenti merokok.

    “Vape tidak boleh digunakan oleh kanak-kanak, orang muda atau bukan perokok.”

  • Kedudukan agenda Bumiputera dalam Malaysia Madani dipersoal

    Kedudukan agenda Bumiputera dalam Malaysia Madani dipersoal

    Oleh DATUK DR. MARZUKI MOHAMAD

    Saya telah meneliti teks amanat YAB Perdana Menteri ketika melancarkan gagasan baharu “Membangun Malaysia Madani”. Gagasan ini boleh dikatakan hala tuju baharu Malaysia di bawah kerajaan PH-BN pimpinan PM-10.

    Saya sebenarnya tercari-cari penekanan khusus terhadap Agenda Bumiputera dalam Malaysia Madani. Saya tak jumpa.

    Adakah ia diselit di mana-mana, saya tak tahu.

    Agenda Bumiputera terpahat dengan jelas dalam Dasar Ekonomi Baru (1970-1990), Dasar Pembangunan Nasional (1990-2000) dan Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (2020-2030).

    Idea Wawasan Kemakmuran Bersama telah dikupas oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau merasmikan Persidangan Perwakilan Srikandi dan Armada BERSATU pada tahun 2018. Pada ketika itu, BERSATU berpandangan bahawa kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad memerlukan satu dasar yang jelas mengenai Agenda Bumiputera.

    Akhirnya, Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) telah dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir pada 5 Oktober 2019. Pelaksanaan dasar ini diteruskan oleh kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin dan oleh kerajaan pimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob selepas itu.

    WKB 2030 yang berasaskan konsep “Shared Prosperity” bertujuan untuk mengagih kekayaan negara secara adil dan saksama bagi mengatasi ketidaksaksamaan (inequality) antara kaum, wilayah, kelas sosial dan rantaian bekalan.

    Sementara pelaksanaan WKB 2030 meliputi semua rakyat tanpa mengira kaum, tumpuan khusus diberikan kepada kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), miskin tegar dan rentan ekonomi, masyarakat dalam transisi ekonomi, Orang Asal, Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Kurang Upaya, belia, wanita, kanak-kanak serta warga emas. Tujuannya ialah untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam
    mengecapi nikmat pembangunan dan kemajuan negara.

    Beberapa bidang utama pertumbuhan ekonomi baharu juga telah dikenal pasti untuk menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara bagi memacu Malaysia sebagai hub ekonomi Asia.

    Sasaran WKB 2030 telah dijajarkan dengan sasaran RMK-12 yang menjadi dasar utama kerajaan sehingga tahun 2025. Pelaksanaan WKB 2030 sepatutnya diteruskan dalam RMK-13 untuk memastikan semua sasaran dasar ini dapat dicapai sepenuhnya.

    Ketika menjadi PM-8, Tan Sri Muhyiddin telah menubuhkan Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama (MTKB) yang bertindak sebagai satu mekanisme pemantauan peringkat tertinggi untuk memastikan sasaran WKB 2030 dapat dicapai.

    Persoalannya, adakah Malaysia Madani telah menggantikan WKB 2030? Di manakah kedudukan dasar dan agenda Bumiputera dalam Malaysia Madani?

    Jika ada, apakah pelan tindakan menyeluruh yang akan diambil oleh kerajaan PH-BN dalam memacu agenda Bumiputera dan memantau pelaksanaannya?

    Hal ini seeloknya dijelaskan secara tuntas oleh PM-10.

    Penulis adalah bekas Setiausaha Sulit Kanan PM8

  • Mulakan inisiatif tuala wanita percuma di pejabat menteri dipersoal

    Mulakan inisiatif tuala wanita percuma di pejabat menteri dipersoal

    USAHA menangani kemiskinan haid wajar disokong semua pihak namun langkah melaksanakan inisiatif itu di pejabat menteri kesihatan dipersoal seorang ahli Parlimen.

    Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, langkah Kementerian Kesihatan (KKM) memulakan inisiatif itu adalah baik dan patut dijadikan program nasional.

    Beliau bagaimanapun mempersoalkan bagaimana langkah itu dimulakan di pejabat menteri ketika pihak yang memerlukannya ialah golongan wanita tidak berkemampuan dan adakah mereka perlu ke pejabat menteri untuk mendapatkan kemudahan berkenaan.

    “Usaha menangani kemiskinan haid (period poverty) adalah baik dan wajar disokong. Ia patut dijadikan program nasional.

    “Tapi apa pula relevannya memulakan pemberian tuala wanita percuma di tandas Pejabat Menteri? Yang memerlukan ialah golongan wanita tidak berkemampuan, bukannya mereka yang duduk di Pejabat Menteri.

    “Kalau Menteri bagi kepada pegawai Pejabat Menteri yang makan gaji beri-ribu ringgit sebulan, itu salah guna kuasa. Takkan nak suruh warga berpendapatan rendah panjat ke tandas Pejabat Menteri?,” katanya di Facebook hari ini.

    Kenyataan itu dibuat susulan pengumumuman Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bahawa KKM merancang untuk mengadakan kerjasama rentas agensi dan kementerian dalam menangani isu kemiskinan haid di peringkat nasional.

    Menurutnya, sebagai permulaan, inisiatif itu akan dilaksanakan dengan pemberian tuala wanita percuma di pejabat menteri dan di bangunan KKM.

    Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan Bersatu berkata, beliau kesal apabila menteri bertanggungjawab tidak memahami kumpulan sasar program bantuan untuk rakyat miskin.

    Beliau juga menyifatkan perkembangan itu agak malang bagi negara ini.

  • Lantikan Tengku Zafrul dipersoal pembantu Tun M

    Lantikan Tengku Zafrul dipersoal pembantu Tun M

    PEMBANTU Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz yang kalah dalam pilihan raya umum ke-15 dalam Jemaah Menterinya, tetapi bukannya Dzulkefly Ahmad.

    Dzulkefly yang juga bekas menteri kesihatan, mempertahankan Parlimen Kuala Selangor untuk Pakatan Harapan ketika berdepan Tengku Zafrul dari Barisan Nasional (BN) dan dua lagi calon.

    Bagaimanapun, Anwar mengumumkan Tengku Zafrul, yang juga bekas menteri kewangan, menganggotai Jemaah Menterinya.

    Tengku Zafrul akan dilantik sebagai senator sebelum menjadi menteri.

    “Kesian Dzulkefly, beliau menang di Kuala Selangor, tetapi tidak dilantik sebagai menteri. Calon yang beliau kalahkan pula dilantik sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri,” kata Adam Mukhriz Mohd Muhayeedin di Twitter.

    Setiausaha akhbar Mahathir itu turut mempersoalkan keputusan Anwar memegang portfolio kewangan.

    “Apa jadi dengan prinsip perdana menteri tidak boleh memegang portfolio kewangan atau portfolio lain?” soalnya, lapor Free Malaysia Today.

    Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya umum 2018 berjanji perdana menteri tidak akan memegang jawatan menteri kewangan secara serentak.

    Jemaah Menteri Anwar terdiri daripada 28 menteri dan dua timbalan perdana menteri, iaitu Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof.