Tag: diperluas

  • Peranan GIACC sepatutnya diperluas, bukan dimansuh

    Peranan GIACC sepatutnya diperluas, bukan dimansuh

    PERANAN Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) sepatutnya diperluas, bukannya dimansuhkan atas alasan yang tidak rasional.

    Menurut Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais, penubuhan GIACC banyak membantu kerajaan dalam menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah di negara ini.

    “GIACC ini adalah di bawah Jabatan Perdana Menteri, sepatutnya ia lebih mudah ditadbir dan diurus mengapa ia tidak diteruskan sedangkan kewujudannya bermanfaat untuk negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kerajaan akan meneliti cadangan untuk membubarkan Pusat GIACC selepas didapati berlaku pertindihan antara agensi penguat kuasa iaitu SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Menurut Mahathir, GIACC bertanggungjawab merancang, menggubal strategi dan menilai polisi dalam memastikan semua urusan kerajaan dilaksana dengan penuh integriti dan tiada toleransi kepada perbuatan rasuah.

    “Mereka yang menerajui GIACC adalah terdiri daripada mereka yang profesional, sepatutnya kerajaan yang wujud hari ini menyokong supaya lebih banyak lagi usaha bantu banteras rasuah dan salah guna kuasa.

    “Selain itu ia juga dapat bertindak melindungi rakyat daripada pemimpin dan penguat kuasa korup yang boleh menyebabkan institusi masyarakat musnah dengan amalan rasuah,” katanya.

    Tambah Mahathir, alasan mahu mengurangkan kos kerajaan dan pertindihan kuasa juga seolah-olah sengaja dicari bagi menghalalkan pemansuhan itu.

    “Kajian mengenai GIACC mesti dilakukan dengan cara tidak berat sebelah dan perlu melibatkan pihak berkuasa yang sepatutnya.

    “Jika keputusan itu nanti sekadar menyatakan bahawa GIACC terpaksa dimansuhkan kerana peranan badan itu yang kecil, ia satu kesilapan.

    “Rakyat juga tahu bahawa GIACC mampu membawa perubahan besar terhadap kestabilan politik negara,” ujarnya.

    Selain GIACC, Mahathir juga menyarankan agar Majlis Pemulihan Negara (MPN) dapat diteruskan.

    “MPN telah memainkan peranan penting mengharungi keadaan kritikal ekonomi global akibat pandemik Covid-19.

    “Sudah pasti peranan MPN amat besar dalam menyelaras semula ekonomi dan keselamatan makanan serta platform untuk kerajaan bersiap sedia menghadapi keadaan tidak dijangka,” kata Mahathir, lapor BeritaBersatu.

    Jelasnya, sejak ditubuhkan, pakar-pakar tempatan, menteri-menteri terpilih, pegawai-pegawai kerajaan yang senior duduk bersama dalam MPN bagi membincangkan langkah mempercepat proses pemulihan ekonomi negara.

  • Vaksinasi ‘walk in’ untuk golongan khas akan diperluas ke seluruh negara

    Vaksinasi ‘walk in’ untuk golongan khas akan diperluas ke seluruh negara

    Oleh:Bernama

    INISIATIF vaksinasi jumpa terus atau walk-in yang sedang dilaksanakan di Lembah Klang akan diperluaskan ke pusat pemberian vaksin (PPV) awam di seluruh negara untuk golongan khas dalam masa terdekat, menurut Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF).

    CITF memaklumkan vaksinasi jumpa terus tanpa janji temu itu dikhususkan untuk kumpulan tertentu iaitu warga emas, orang kurang upaya (OKU), individu dengan komorbid berusia 18 tahun dan ke atas, individu yang terlepas suntikan dos kedua serta guru, anggota kumpulan pelaksana dan pekerja perkhidmatan sokongan kontrak di institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM).

    Menurutnya, individu yang terlepas suntikan dos kedua boleh pergi ke mana-mana PPV yang berhampiran dengan kediaman dan sekiranya PPV tersebut tidak menawarkan vaksin daripada jenis yang sama dengan dos pertama mereka, mereka akan dirujuk ke PPV lain.

    “Perincian pelaksanaan vaksinasi secara walk-in akan dimaklumkan oleh CITF Negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri masing-masing. Ini termasuklah penjadualan vaksinasi dan kuota harian vaksinasi secara walk-in di PPV bagi setiap negeri,” menurutnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    CITF memberitahu jumlah walk-in harian adalah bergantung kepada kapasiti bekalan vaksin di PPV dan bagi individu yang tidak berpeluang mendapat vaksinasi pada hari tersebut ekoran kehabisan bekalan vaksin di PPV, nama mereka akan disenaraikan sebagai keutamaan untuk mendapatkan vaksinasi pada keesokannya.

    Jelasnya, inisiatif walk-in kepada warga emas telah dimulakan di Perak, Kedah, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Sarawak termasuk Kelantan yang membuka secara pratempahan.

    Bagi penduduk Lembah Klang yang tidak tergolong dalam mana-mana kategori di atas, tetapi ingin datang terus untuk dos pertama kerana tiada janji temu, mereka perlu pergi ke PPV yang telah disenaraikan sebelum ini.

    Menurut CITF, walk-in ke PPV yang telah disenaraikan sebelum ini juga dibenarkan mengikut waktu operasi PPV masing-masing dan tidak lagi bermula hanya pada pukul 2 petang.

    Bagi wanita hamil, CITF menyatakan golongan ini tidak digalakkan untuk jumpa terus, sebaliknya akan diberikan janji temu melalui MySejahtera mengikut jangkaan tarikh bersalin (EDD) ke PPV yang bersesuaian.

    CITF juga menyeru orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memberi kerjasama kepada petugas di PPV ketika hadir untuk mendapatkan vaksinasi secara walk in bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 dan memastikan kelancaran proses vaksinasi dan keselamatan di PPV.- BERNAMA