Tag: diperdaya

  • Diperdaya tebus ‘point’ e-dompet, simpanan wanita lebih RM21,000 lesap

    Diperdaya tebus ‘point’ e-dompet, simpanan wanita lebih RM21,000 lesap

    SEORANG suri rumah berusia 36 tahun dari Raub, Pahang kerugian RM21,399 selepas wang simpanannya lesap diperdaya individu menyamar sebagai wakil syarikat Touch ‘n Go.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kejadian bermula 29 Disember lalu apabila mangsa mahu menebus mata e-dompet bernilai 750 setelah menerima panggilan daripada suspek.

    “Suspek memaklumkan akaun e-wallet milik mangsa tamat tempoh dan terdapat 750 point (mata) yang masih belum dituntut.

    “Mangsa kemudian menyerahkan nombor kad (ATM) bank serta nombor pengesahan transaksi (TAC) selepas suspek meminta kononnya mahu membantunya menebus mata berkenaan.

    “Tanpa mengesyaki mangsa menyerahkan tujuh nombor TAC yang berlainan kepada suspek sebelum menyedari dirinya ditipu apabila mendapati semua wang dalam akaun banknya lesap,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Ramli berkata, berikutan itu orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi berkaitan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

    “Sekiranya diminta untuk memberikan apa-apa maklumat perbankan, jangan dedahkannya,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Warga emas lesap RM426,450 diperdaya ‘Sarjan Ong’

    Warga emas lesap RM426,450 diperdaya ‘Sarjan Ong’

    SEORANG warga emas di Batu Pahat kerugian sebanyak RM426,450 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

    Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian bermula Ogos lalu apabila mangsa wanita, 73, menerima panggilan telefon daripada individu.

    “Individu berkenaan mengaku dan memperkenalkan dirinya sebagai ‘Sarjan Ong’ iaitu pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

    “Dalam panggilan telefon berkenaan, individu itu menyatakan bahawa mangsa mempunyai hutang dengan seorang Datuk Seri dan mangsa didapati terlibat dengan jenayah dadah,” katanya dalam kenyataan, lapor Metro Harian.

    Ismail berkata, suspek menawarkan mangsa bantuan untuk menyelesaikan kes dengan membuat pembayaran ke akaun yang diberikan oleh suspek.

    Menurutnya, mangsa yang percaya dengan kata-kata suspek membuat pembayaran berjumlah RM420,450.00.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan juga denda.

  • WANITA KERUGIAN RM37,330 ditipu ‘love scam’

    WANITA KERUGIAN RM37,330 ditipu ‘love scam’

    SEORANG ejen broker perniagaan kejuruteraan kerugian RM37,330 akibat menjadi mangsa penipuan ‘love scam’ selepas berkenalan dengan seorang lelaki menerusi media sosial, sejak pertengahan Feb lepas.

    Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata wanita dari Felda Gugusan Raja Alias itu mendakwa berkenalan dengan pemilik akaun ‘LinkedIn’ bernama ‘Ali Rahman’ sejak 13 Feb lepas dan mereka sering berhubung melalui aplikasi WhatsApp. 

    “Wanita itu kerap berhubung dengan lelaki tersebut bagi berkongsi pengalaman hidup dan hal berkaitan kejuruteraan memandangkan mereka berada dalam bidang yang sama. 

    “Bagaimanapun pada April lepas, lelaki berkenaan memberitahu wanita itu bahawa dirinya menerima bayaran baki akhir bagi kerja kontrak daripada sebuah syarikat dan menamakan mangsa sebagai penerima manfaat daripada bayaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hoo berkata bayaran itu didakwa dilakukan menerusi Unisys Security Agency Company (UK) dan lelaki tersebut meminta mangsa menghubungi ejen-ejen daripada syarikat tersebut bagi menuntut baki bayaran kontrak berkenaan.

    Katanya mangsa diminta melakukan pembayaran ke enam akaun berbeza yang melibatkan lapan transaksi dengan jumlah keseluruhan RM37,330 bagi kelancaran urusan tuntutan bayaran berkenaan.

    Hoo berkata mangsa menyedari ditipu selepas sekali lagi diminta untuk melakukan pembayaran berkenaan dan kemudian membuat laporan polis semalam.

    Dalam kes lain, Hoo berkata seorang pemandu pengorek-kaut dari Bahau turut kerugian RM20,000 selepas diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar wakil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jumaat lepas.

    Beliau berkata lelaki berusia 56 tahun itu mendakwa dihubungi oleh seorang wakil LHDN pada 3.39 petang dan kemudian memaklumkan namanya tersenarai hitam kerana tidak melunaskan pembayaran cukai tertunggak sebanyak RM176,000.

    “Panggilan itu kemudiannya disambung ke pihak lain yang memaklumkan mangsa mempunyai rekod dalam penglibatan penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram selain akan dikenakan tindakan berkenaan hal tersebut.

    “Akibat percaya, lelaki itu mengikut arahan yang diminta termasuk memberi maklumat ‘nama pengguna’ dan ‘kata laluan’ sistem perbankan dalam talian miliknya untuk tujuan semakan,” katanya sambil menambah pengadu menyedari ditipu selepas mendapati berlaku dua kali transaksi perpindahan wang berjumlah RM20,000 apabila membuat semakan dengan bank dan kemudian membuat laporan polis semalam.

    Beliau berkata kedua-dua kes berkenaan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – BERNAMA

  • Rugi RM46,000 diperdaya kenalan Facebook sertai pelaburan Forex

    Rugi RM46,000 diperdaya kenalan Facebook sertai pelaburan Forex

    PADAH mempercayai individu yang dikenali menerusi laman sosial Facebook, seorang wanita berusia 28 tahun di Butterworth, Pulau Pinang kerugian kira-kira RM46,000 akibat ditipu individu berkenaan.

    Wanita yang bekerja sebagai jurujual itu mula terjerat selepas berkenalan dengan seorang individu di laman sosial terbabit pada pertengahan Julai lalu yang kemudian mengajaknya menyertai pelaburan tukaran wang asing.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, mangsa dan suspek telah berhubung melalui aplikasi Messenger di Facebook sebelum bertukar-tukar nombor telefon dan berhubung menerusi aplikasi WhatsApp.

    Katanya, mangsa dipujuk menyertai pelaburan Forex yang akan didagangkan sendiri oleh suspek melalui aplikasi Cainvest dan dijanjikan keuntungan tinggi beserta pulangan modal.

    “Wanita tersebut yang sudah meletakkan kepercayaan kepada kenalan Facebooknya itu membuat sembilan transaksi pindahan wang berjumlah RM45,979 ke dalam lima akaun bank tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Noorzainy berkata, mangsa bagaimanapun menyedari ditipu selepas suspek gagal dihubungi.

    Malah ujar beliau, aplikasi Cainvest yang digunakan untuk melihat aktiviti dagangan tukaran wang asing juga telah dinyah aktif.

    Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.