Tag: dipecat

  • PN sedia terima ahli UMNO yang digantung, dipecat

    PN sedia terima ahli UMNO yang digantung, dipecat

    PERIKATAN Nasional (PN) sedia menerima sesiapa sahaja ahli UMNO, yang digantung dan dipecat parti itu.

    Pengerusi PN Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar percaya semua yang terbabit itu ketika ini masih berkira-kira untuk mengatur langkah selanjutnya.

    “Setakat ini, kita masih belum menerima sebarang permohonan daripada sesiapa. Saya percaya mereka masih berkira-kira langkah seterusnya…perkara baru sahaja berlaku malam tadi.

    “Kita tunggulah daripada mereka sendiri, bagaimana langkah seterusnya,” katanya.

    Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam, memutuskan memecat bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Noh Omar.

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, Khairy dan Noh, yang juga bekas Pengerusi UMNO Selangor, dipecat parti kerana pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Selain itu, Ahmad Samsuri, yang juga Naib Presiden Pas berkata, pihaknya masih belum membuat keputusan berhubung permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mendapat 10 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    “Insya-Allah kita boleh berbincang. Pas akan bincang secara adik-beradik dengan Bersatu, kerusi mana, di mana, munasabah atau tidak, kita kena duduk dan bincang.

    “Setakat ini, masih belum ditetapkan tarikh untuk perbincangan itu. Insya-Allah dalam waktu terdekat,” katanya lapor BH.

    Terdahulu, Ahmad Samsuri, yang juga Menteri Besar Terengganu, merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan D’Gate Sura Mall/Jeti oleh Artha Global dan Majlis Perbandaran Dungun, di Dungun, hari ini.

    Projek pembinaan 72 unit lot komersial itu yang bernilai lebih RM20 juta dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

    Turut hadir ke majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Datuk Dr. Alias Razak serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Azizul Ab. Hadi.

    Projek pembinaan 72 unit lot komersial itu yang bernilai lebih RM20 juta dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

  • PKR secara rasmi pecat Tian Chua

    PKR secara rasmi pecat Tian Chua

    BEKAS naib presiden PKR Tian Chua secara rasmi dipecat parti itu berikutan keputusannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu sebagai calon bebas pada pilihan raya umum ke-15.

    Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Tan Yee Kew memberitahu Malaysiakini bahawa keputusan itu dibuat semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti malam semalam.

    “Ya, semalam MPP ada mesyuarat dan kami memutuskan untuk memecatnya secara rasmi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya lagi, seramai lima anggota PKR telah dipecat termasuk Tian Chua.

    “Semua dipecat kerana bertanding sebagai calon bebas atau atas tiket parti lain. Mereka yang akan dipecat kerana tindakan tatatertib lain akan diumumkan kemudian,” katanya.

    Menurut Tan, empat lagi anggota ialah Puah Chee Haur dari cabang PKR Parit Buntar, Ahmad Tarmizi Mohd Ghazali dari cabang Gopeng dan M Mohganan dari cabang Taiping.

    Puah dan Ahmad Tarmizi masing-masing bertanding di bawah tiket Warisan di Keranji dan Chenderiang manakala Mohganan bertanding di Taping sebagai calon bebas.

    Sementara itu, Nur Khairunisa Abdullah dari cabang Sadong Jaya turut dipecat kerana bertanding di Sadong Jaya semasa pilihan raya Sarawak 2021.

    Chua memegang kerusi Batu selama dua penggal antara 2008 dan 2018.

    Selepas hilang kelayakan sebagai calon semasa pilihan raya 2018, Chua menyokong Prabakaran, ketika itu calon bebas, yang akhirnya menang dan kemudian menyertai PKR.

    Semasa pemilihan pucuk pimpinan PKR awal tahun ini, Prabakaran menewaskan Chua dalam perebutan jawatan ketua PKR cabang Batu dan dicalonkan parti itu untuk mempertahankan Batu pada PRU15.

    Lantaran itu, Chua mengumumkan pencalonannya di Batu sebagai calon bebas tetapi akhirnya kehilangan depositnya.

  • TDM perjelas isu anggota dipecat enggan ambil vaksin

    TDM perjelas isu anggota dipecat enggan ambil vaksin

    SETELAH tular laporan sebuah portal berhubung pemecatan seorang anggota tentera kerana menolak untuk mengambil vaksin, Tentera Darat Malaysia (TDM) hari ini tampil menjelaskan perkara itu.

    Menerusi satu kenyataan media dikeluarkan Sel Perhubungan Raya Tentera Darat menjelaskan, pengambilan vaksin dalam kalangan anggota TDM adalah diwajibkan.

    Namun pengambilan vaksin dikecualikan kepada mereka yang tergolong dalam kumpulan tidak layak berbuat demikian.

    Menurutnya, tindakan seseorang anggota tentera yang ingkar atau enggan untuk menerima vaksin, boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah atau melanggar perintah tetap.

    “Pengambilan vaksin dalam kalangan anggota TDM diwajibkan atas dasar anggota TDM hidup secara berkelompok. Selain itu, peranan dan tanggungjawab TDM kini sebagai petugas barisan hadapan dalam melaksanakan penugasan mahupun latihan, turut berdepan dengan kebolehjangkitan COVID-19,” jelas kenyataan itu.

    “Sehubungan itu, adalah wajar untuk kesemua anggota TDM mengambil vaksin bagi mengekang penularan yang bukan sahaja akan berlaku dalam kalangan anggota TDM, bahkan boleh menjangkiti keluarga anggota TDM dan masyarakat keseluruhannya,” kata kenyataan itu lagi.

    Kenyataan itu menambah, vaksinasi juga bertujuan mendokong hasrat dan aspirasi kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok, seterusnya memutuskan rangkaian penularan Covid-19 di negara ini.

    “Setiap anggota TDM hendaklah mematuhi dan menuruti perintah yang telah dikeluarkan, bagi menentukan misi/kesiapsiagaan organisasi tercapai,” katanya.

    Terdahulu, sebuah portal melaporkan anggota tentera dikenali Sarjan Wan Ramly Wan Seman mendakwa perkhidmatannya hampir 20 tahun ditamatkan berkuat kuasa Khamis ini, selepas ingkar arahan untuk mengambil vaksin.

    Wan Ramly, 39, daripada Batalion ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Rasah, Negeri Sembilan dikatakan akan kehilangan pencen yang sepatutnya diterima 16 bulan lagi.

    Anggota itu turut mendakwa setiap rakyat mempunyai hak untuk tidak mengambil vaksin dan berkhidmat sebagai tentera tidak menjadikan beliau berbeza dengan individu lain.