Tag: dilanggar

  • Pegawai kastam lepas tembakan kereta dilanggar ‘tokan’ dadah

    Pegawai kastam lepas tembakan kereta dilanggar ‘tokan’ dadah

    SEPASUKAN pegawai Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah melepaskan beberapa das tembakan selepas sebuah kereta dinaiki dua lelaki disyaki pengedar dadah melanggar kenderaan pegawai penguat kuasa terbabit ketika cuba melarikan diri daripada kepungan.

    Insiden dipercayai berlaku di hadapan sebuah kedai di Jalan Silabukan, di Lahad Datu itu turut disaksikan orang awam di sekitar tempat kejadian dan mereka sempat mengambil gambar sebelum ia tular di media sosial.

    Lapor Harian Metro, difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira 3 petang semalam, selepas sepasukan pegawai JKDM Sabah menahan sebuah kereta Proton Saga kerana disyaki membawa dadah.

    Bagaimanapun pemandu kereta Proton Saga bertindak agresif melarikan diri dan melanggar kenderaan pegawai penguat kuasa JKDM.

    Dalam keadaan mempertahankan diri, pegawai penguat kuasa terbabit bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar hadapan dan belakang bagi memberhentikan kereta suspek.

    Namun suspek terus bertindak agresif meloloskan diri menuju ke arah Kampung Layung, di sini, menyebabkan pegawai penguat kuasa mengejarnya.

    Kereta suspek ditahan selepas masuk ke jalan mati di kawasan kampung berkenaan dan kedua-dua suspek berjaya diberkas.

    Pegawai penguat kuasa turut menemui sebuah bungkusan disyaki berisi dadah syabu.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan ia berkaitan operasi JKDM mengenai aktiviti pengedaran dadah.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Lelaki maut dilanggar kereta api

    Lelaki maut dilanggar kereta api

    SEORANG lelaki warga tempatan berusia 40-an maut selepas dilanggar kereta api di Kilometer (KM) 4.5 Landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berhampiran kawasan perusahaan Perai di Kampung Jawa, Butterworth, Pulau Pinang.

    Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8.20 malam tadi melibatkan sebuah kereta api yang dalam laluan landasan dari arah Butterworth menghala ke Bukit Mertajam.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, dalam kejadian itu mangsa maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada seluruh badan.

    “Mayatnya dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini untuk tujuan saringan Covid-19 dan bedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Menurut Shafee, siasatan awal polis mendapati tidak terdapat sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

    Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai tidak menceroboh mana-mana kawasan yang dipagari atau cuba melintas landasan milik KTMB kerana boleh membahayakan nyawa serta mengundang kepada kerosakan harta benda.