Tag: diklasifikasi NFA

  • Laporan Shahrir terhadap Thomas diklasifikasi ‘NFA’

    Laporan Shahrir terhadap Thomas diklasifikasi ‘NFA’

    LAPORAN polis oleh veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad terhadap bekas peguam negara Tan Sri Tommy Thomas berhubung dakwaan salah guna kuasa diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).

    Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai berkata, polis tidak akan menyiasat laporan itu kerana Thomas bertindak mengikut undang-undang.

    “Seorang peguam negara mempunyai kuasa mutlak untuk mendakwa sesiapa mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada Free Malaysia Today.

    Peruntukan itu menyatakan bahawa “peguam negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di Mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera”.

    Shahrir dibebaskan daripada tuduhan pengubahan wang haram RM1 juta bulan lalu selepas pihak pendakwaan memberitahu mahkamah ia tidak mahu meneruskan kes itu.

    Ini berlaku selepas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu mahkamah, Thomas berkeras mahu mendakwa bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu walaupun kertas siasatan kes tidak lengkap.

    Shahrir, bekas pengerusi Felda, kemudian membuat laporan polis terhadap Thomas kerana didakwa menyalahguna kuasa.

    Beliau juga mendakwa terdapat unsur pendakwaan berniat jahat dilakukan terhadapnya selaku seorang ahli politik dan pemimpin Barisan Nasional (BN).

    Pada masa sama, beliau mendakwa kes mahkamah itu mencemarkan nama baiknya dan keluarga yang turut sama diheret dan diaibkan.