Tag: Dijangkiti

  • Hampir 90 peratus populasi wilayah Henan, China dijangkiti COVID-19

    Hampir 90 peratus populasi wilayah Henan, China dijangkiti COVID-19

    HAMPIR 90 peratus penduduk wilayah Henan, China dijangkiti COVID-19, kata seorang pegawai kerajaan tertinggi hari ini, ketika negara itu berdepan dengan kenaikan kes yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

    Pengarah Suruhanjaya Kesihatan di wilayah ketiga paling padat China itu, Kan Quancheng dalam sidang akhbar berkata, sehingga 6 Januari lalu, kadar jangkitan COVID-19 di wilayah itu adalah 89.0 peratus.

    Angka itu mengandaikan seramai 88.5 juta daripada 99.4 juta penduduk di wilayah tengah China tersebut dijangkiti COVID-19.

    Menurut Kan, jumlah penduduk yang mendapatkan rawatan demam di klinik memuncak pada 19 Disember dan selepas itu, ia mula menunjukkan trend penurunan.

    China bergelut dengan lonjakan kes susulan keputusan pada bulan lalu untuk menarik balik pelbagai sekatan yang dikuatkuasakan selama bertahun-tahun.

    Ia termasuk prosedur kuarantin dan ujian saringan secara besar-besaran yang telah menjejaskan ekonominya dan mencetuskan protes yang jarang berlaku sebelum ini di seluruh negara.

    Beijing bagaimanapun tekad meneruskan pembukaan semula negara itu semalam dengan menarik balik kuarantin wajib untuk semua ketibaan antarabangsa dan membuka sempadannya dengan wilayah selatan separuh autonomi, Hong Kong.

    Bagaimanapun, jangkitan dijangka melonjak semula ketika negara itu menyambut Tahun Baru Cina pada penghujung bulan ini dengan berjuta-juta penduduk dijangka mengembara dari bandar besar untuk melawat saudara-mara terutama warga emas yang lebih berisiko di luar bandar.

    Mengikut media kerajaan, dalam gelombang pertama sebelum musim percutian, data rasmi Sabtu lalu menunjukkan 34.7 juta orang melakukan perjalanan dalam negara, ia meningkat lebih satu pertiga berbanding tahun lalu.

    Data rasmi menunjukkan pada minggu lalu, hanya 120,000 orang yang dijangkiti COVID-19 dan 30 individu meninggal dunia sejak China melonggarkan sekatan bagi memerangi wabak itu, awal Disember lalu.

    Namun, memandangkan Beijing meletakkan definisi yang lebih sempit bagi kematian akibat COVID-19 dan ujian saringan besar-besaran tidak lagi diwajibkan, data berkenaan dilihat tidak lagi mencerminkan skala sebenar wabak berkenaan.

  • Doktor kanan dedah 70 peratus populasi Shanghai dijangkiti COVID-19

    Doktor kanan dedah 70 peratus populasi Shanghai dijangkiti COVID-19

    SEORANG doktor kanan di sebuah hospital terkemuka Shanghai berkata, 70 peratus penduduk di bandar mega itu dijangkiti COVID-19 semasa China berdepan peningkatan besar kes pandemik berkenaan, lapor media tempatan semalam.

    Peningkatan mendadak jangkitan direkodkan selepas beberapa tahun pelaksanaan sekatan ketat yang mula dilonggarkan bulan lalu dengan hampir ketiadaan amaran mahupun persediaan sekali gus mengakibatkan hospital dan rumah pembakaran mayat kembali ‘sesak’.

    Naib Presiden Hospital Rujin, Chen Erzhen yang juga panel pakar penasihat COVID-19 Shanghai, menganggarkan majoriti 25 juta penduduk bandar itu dijangkiti.

    “Sekarang penularan epidemik di Shanghai sangat meluas dan ia mungkin boleh mencecah 70 peratus populasi iaitu 20 hingga 30 kali ganda lebih (pada April dan Mei),” katanya ketika diwawancara Dajiangdong Studio yang dimiliki lidah rasmi Parti Komunis, People’s Daily.

    Shanghai diletakkan dalam perintah berkurung selama dua bulan pada April lalu yang mana lebih 600,000 penduduk dijangkiti dan ramai diheret ke pusat kuarantin beramai-ramai.

    Namun ketika ini, varian Omicron menular dengan pantas di seluruh bandar dan pakar menjangkakan jangkitan akan memuncak pada awal tahun ini.

    Di bandar besar lain termasuk Beijing, Tianjin, Chongqing dan Guanzhou, pegawai kesihatan republik itu mendakwa gelombang sudah mencapai kemuncak.

    Di wilayah berjiran Zhejiang, pihak berkuasa kawalan penyakit hari ini berkata, terdapat satu juta jangkitan baharu dalam beberapa hari kebelakangan ini dan wilayah itu sedang memasuki dataran puncak bagi COVID-19.

    Tambah Erzhen, hospital Shanghai pula merekodkan 1,600 kes kemasukan kecemasan setiap hari iaitu dua kali ganda jumlah sebelum sekatan ditarik balik.

    Katanya, 80 peratus daripada kes berkenaan dalam kalangan pesakit COVID-19.

    “Lebih 100 ambulans tiba di hospital setiap hari,” katanya sambil menambah hampir separuh kemasukan ke unit kecemasan membabitkan golongan berisiko berumur lebih 65 tahun.

    Wartawan AFP di lapangan semalam menyaksikan sendiri keadaan di Hospital Tongren yang sesak dengan pesakit sedang menerima rawatan kecemasan di luar pintu masuk fasiliti berkenaan.

    Dalam temubual dengan stesen penyiaran CCTV kelmarin, pegawai Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC), Jiao Yahui mengakui bahawa pihaknya berdepan cabaran besar untuk menangani jangkaan gelombang kemuncak di kawasan luar bandar.

  • Seramai 866 remaja, kanak-kanak dijangkiti COVID-19 di Sabah

    Seramai 866 remaja, kanak-kanak dijangkiti COVID-19 di Sabah


    SERAMAI 866 orang daripada keseluruhan 3,224 kes positif COVID-19 direkodkan di Sabah semalam adalah remaja serta kanak-kanak berusia 17 tahun dan ke bawah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

    Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata, daripada jumlah itu, seramai 565 orang berumur enam hingga 17 tahun, 268 orang berusia satu hingga lima tahun, manakala 33 orang berusia kurang setahun.

    “Kesemua 866 orang didapati positif COVID-19 ini masih belum layak untuk diberikan vaksin. Sehingga semalam, 53.9 peratus penduduk dewasa Sabah telah memperoleh satu dos vaksin dan 32.5 peratus telah melengkapkan pengambilan dua dos,” katanya menerusi kenyataan, malam tadi.

    Beliau berkata, daripada jumlah kes direkodkan semalam juga seramai 2,119 orang positif pandemik itu berusia antara 18 hingga 59 tahun, manakala 239 orang adalah warga emas berusia 60 tahun atau lebih.

    Masidi berkata, seluruh daerah di Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif COVID-19 yang terus meningkat dengan Kota Kinabalu merekodkan kes tertinggi hari ini iaitu 630 kes, Penampang (413) dan Tuaran (348).

    “Dengan jumlah catatan sebanyak 2,098 kes daripada saringan kontak rapat, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan prosedur operasi standard yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan,” katanya.

    Beliau berkata, jumlah kes dicatatkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan di Sabah mencapai 131,030 kes, manakala seramai 2,020 pesakit COVID-19 sembuh semalam menjadikan jumlah kumulatif sembuh seramai 101,624 dan 4,763 pesakit sedang menerima rawatan.– BERNAMA